Laman Webantu   KM2A1: 2800 File Size: 3.0 Kb *



Re: Dimanakah Letaknya Kekuatan Sebuah Perjuangan?
By Dahlia

17/9/2000 9:28 pm Sun

Saya pernah membngkitkan perkara yang sama 4-5 bulan lalu di halaman reformasi/FGR bagaimana komen seorang kenalan yang digelar cendikiawan yang begitu keliru dengan kehadiran begitu ramai penulis tak bergaji di laman-laman reformasi. Malah, angka itu semakin berkembang sehingga kini yang pastinya membingungkan Mahathir.

Rakan tadi mempertikaikan kewibawaan para penulis cyber , malah bertanya pada saya sejauh manakah kebenaran tulisan mereka? Mungkin rakan ini mempertikaikan dari segi fakta/event setiap tulisan berkenaan.

Saya kira soalan berkenaan sangat subjektif untuk dijawab. Apatah lagi berbicara dengan seorang yang bergelar "cendikiawan" (mungkin sama seperti yang dialami oleh Wak Amin Sapiro), kerana senario yang dialami oleh masyarakat kini berbeza dari suasana sebelumnya. Kalau dulu media perdana dianggap sebagai "mode of communication" yang berkualiti, tepat dan benar , malah boleh bukan saja mendidik dan mempengaruhi pemikiran rakyat, malah mampu membohongi rakyat! Namun era itu semakin terhakis apabila media sudah dibolosi oleh tangan-tangan ganas yang berkepentingan !

Jawapan kepada sebuah kebenaran bukan boleh dijawab seperti menjawab kertas peperiksaan. Ia bukan semudah itu. Tidak semudah memberi markah mengikut skima yang ditetapkan, atau paling tidak mengikut "field of reference" atau kemahiran orang yang memberi markah tersebut.

Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa saya sendiri pernah diberi title sebagai golongan kelas bawah ( dari segi pencapaian akademik - mungkin!), hanya kerana saya turut menyumbang tulisan saya di laman-laman reformasi, termasuk di FGR!

Malam tadi, saya menonton NTV7 yang menyiarkan berita bahawa mereka akan mendapatkan berita dari CNN , salah satu stesyen berita TV yang mempunyai rangkaian stesyen berita terbesar di dunia . Penyampai berita menyebut usaha tersebut akan membolehkan rakyat mendapat berita yang LEBIH BERKUALITI , TEPAT dan CEPAT.

Saya kira kenyataan itu sendiri mendedahkan betapa teruknya imej dan pandangan rakyat jelata terhadap kemampuan dan kewibawaan badan-badan media tempatan. Di manakah letaknya peranan Editor/Gatekeeper kalau sekadar menyunting berita untuk kepentingan pihak tertentu/pemerintah (semata-mata) tanpa memikirkan tanggungjawab yang lebih besar kepada massa?? Iaitu tanggungjawab menyiarkan cerita benar dan berkualiti?? Jangan terus-terusan menyebut bahawa peranan media adalah untuk memupuk perpaduan sekiranya media tempatan masih berperanan sebagai agen kerajaan yang pembohong, jahat dan tidak bermaruah!

Demikianlah catitan sejarah yang akan tersimpan dan terpahat di dalam ingatan rakyat bagaimana kecundangnya kewibawaan media perdana di Malaysia!

Dahlia/KL