Laman Webantu   KM2A1: 2795 File Size: 12.9 Kb *



TJ 'Pandangan Saya Adalah Pandangan Umum Juga'
By Marhain Tua

16/9/2000 9:21 pm Sat

FOKUS KHAS:



"Pendapat Saya Adalah Pandangan Umum Juga"

Oleh: Sadirah K : ("My opinion Is Public Opinion")

{Tulisan asal dipetik daripada HARAKAH 16-30 Sept. muka surat 14.}




"Saya tidak berapa kisah apa yang mereka fikirkan terhadap saya. Yang penting ialah samada saya telah memberikan perkhidmatan yang baik ataupun tidak. Kalau pun mereka tidak memperakui nya, ia tidak menjadi masalah kepada saya. Kerana apabila tiba untuk bersara... akhirnya kita akan mati juga. Apa bezanya nanti apa yang orang fikirkan tentang kita?" Demikianlah kata-kata yang dituturkan oleh Mahathir dalam satu wawancara bulan yang lalu di Putrajaya, ketika ditemubual oleh juruacara TVBS Asia, Grace Chen.

Wawancara itu telah mendedahkan beberapa pemikiran berbahaya yang tercetus daripada minda seorang yang memimpin Malaysia. Pemimpin ini membuat pendedahan betapa pentingnya taksiran sendiri akan sumbangannya itu. Pandangan orang lain tentunya disisihkan begitu saja.


Mahathir tidak berapa peduli akan pandangan umum. Perlekehan begini tentunya akan menggugat kedudukan teman politiknya dalam pemilu yang akan datang. Untuk sementara waktu ini dia tentu mampu berseronok dengan tempoh kuasanya sebagai seorang Presiden Umno yang tidak (perlu) di pilih. Adalah diharapkan apabila muncul pemilu yang satu lagi, Mahathir sudah pun terhumban dalam tong sampah sejarah negara. Jika tidak, Barisan Nasional akan menanggung satu beban besar disebabkan keangkuhannya itu.


Konsep 'Malaysia Boleh' tentunya mampu membantu kita mencapai satu bentuk perbandingan yang setara dengan Marcos dan Suharto. Setiap insan tentunya akan bersara juga pada satu tahap tertentu dan akhirnya mati juga. Ini tidak bererti seseorang itu tidak peka kepada perubahan, pertumbuhan dan juga pandangan serta pemikiran yang alternatif. Seseorang insan yang mempunyai minda yang tertutup tentunya percaya hanya kepada dirinya dan tentunya akan sanggup hidup bersama dengan para kroninya. Lantas, matahatinya jadi tertutup sehinggakan dia menjadi satu ancaman kepada negara.


Seandainya seseorang itu hanya terbuka kepada kepujian, pemujaan dan kata yang molok-molok yang dihamburkan kepadanya sedangkan pada waktu yang sama dia menjadi angkuh terhadap pendirian orang lain, sudah tentu tabiatnya mencetuskan persoalan yang menyentuh kestabilan mental.


Apakah Mahathir begitu rakus sehinggakan tidak menyedari betapa beratnya beban dosa yang perlu ditanggungi oleh ahli keluarganya dan teman-teman yang rapat ketika terhakisnya kuasa di tangannya itu?

Di dalam keadaan yang keterlaluan pemikiran seperti ini adalah disebut sebagai 'Megalomaniak'. Insan yang mempunyai sifat megalomaniak ini selalunya mempunyai nafsu untuk menonjolkan perasaan sombong kerana sesuatu dan berlagak seperti orang yang penting. Mereka yang memegang kuasa terlalu lama memang mudah dihantui perangai ini. Kita telah memberi ruang kepada mreka menghidupkan sifat itu dengan menidakkan peluang kwmunculan pandangan yang aternatif untuk mendapatkan sesuatu kebenaran itu. Golongan ningrat dalam masyarakat kita selalunya bertanggungjawab dalam kewujudan demagog seperti itu. Merekalah yang dulu menyedari dan memahami sesuatu keadaan tanpa mahu melakukan sesuatu. Dalam proses itu mereka juga yang akhirnya menjadi tukang ampu.


Saya kerap terfikir apakah agaknya yang difikirkan oleh Suharto setelah dikemukan pelbagai tuduhan ke atasnya. Jumlah wang yang terabit menggunung hingga berbilion. Dia pernah mempunyai kuasa yang kuat. Sayangnya dia tidak mampu mengangkat darjat negaranya ke satu tahap yang cocok dengan kegemilangan bangsanya dan sejarah mereka.


Sekarang, Suharto sudah tidak ada sebarang alternatif lagi. Dia terpaksa memikirkan apa yang difikirkan oleh orang lain terhadap dirinya dan juga ahli keluarganya. Setelah berkuasa berdekad lamanya, kini dia dirujukkan setara dengan Marcos daripada Filipina. Ketika mereka masih berkuasa dan menguasai aparatus pemerintahan mereka berupaya melindungi imej mereka dan memperteguhkan kuasa. Apabila jatuh daripada mercu kekuasan itu keadaan mereka sungguh mengaibkan dan tentunya amat pahit juga.

Mahathir sudah pun merasakan kehilangan maruah dirinya di negara ini. Beberapa lapuran polis yang difailkan terhadapnya mencetuskan pelbagai soalan kritikal yang menyangkuti etika. Yang menyedihkan banyak lagi yang akan menghenyaknya sebaik sahaja dia kehilangan kuasa.

Seseorang hanya perlu memikirkan keadaan keluarga Marcos untuk menyedari betapa hilangnya kewibawaan beberapa generasi itu disebabkan kebodohan seorang insan. Di peringkat global, media antarabangsa telah mengutuk kesah Anwar Ibrahim dihakimi. Penghakiman itu telah mencetuskan banyak persoalan. Malahan, masyarakat kehakiman negara menjadi sasaran kutukan kerana meminggirkan soal keadilan dan kesaksamaan.

CNN pernah menemubual menteri luar negara yang menyebut betapa yang tertuduh mempunyai satu pasukan peguam yang terbaik membelanya. Dia telah memperlekehkan kelulusan undang-undangnya apabila membuat kenyataan itu kerana ketika itu ramai di kalangan masyarakat antarabangsa yang mengutuk kes itu, prosesnya dan juga keputusan yang telah diambil. Bahawa kita terpaksa menanggung malu disebabkan kebodohan yang dipamerkan oleh menteri kita ketika berdepan dengan media antarabangsa memang memperlekehkan negara kita juga.

Apa juga yang akan dikatakan oleh Mahathir dia masih tidak berupaya melindungi kesakitan yang mendalam yang dicetuskan oleh kehilangan maruah dirinya baik di negaara sendiri mahupun di peringkat antarabangsa. Dia sudah tersungkur malahan sudah melakukan satu lompatan ke kancah keaiban disebabkan keangkuhannya sendiri.

Kita boleh mempamerkan sehelai kain putih dan meletakkan satu tompok hitam di atasnya. Ramai orang akan menumpukan perhatian mereka kepada tompok hitam tadi tanpa mengendahkan keseluruhan kain putih yang terbentang itu. Kita boleh mengaitkan perkara ini dengan kisah beliau menangani 'Krisis Anwar Ibrahim', di mana Mahathir telah mendedahkan kelemahannya dan kerakusannya untuk terus berkuasa. Persaingan korporat pun tidak berakhir dengan cara ini. Pergelutan politik yang berlaku itu telah memperlekehkan beberapa institusi penting dalam pentadbiran negara - dan juga Mahathir.


Mahathir telah mendedahkan betapa jauh dia sanggup pergi untuk mengekalkan kuasanya. Para pengkaji sejarah dan juga orang ramai akan hanya nampak tompok hitam yang dikatakan itu kerana inilah yang menyerlahkan tabiat buruk dalam perwatakan manusia ini. Semua yang berada di sekelilingnya dan mampu akur dengan tindak-tanduknya, sebenarnya turut bersalah dalam hubungan mereka dengannya. Anda mungkin merupakan anak lelaki kepada Tun, Razak, Tun Hussein Onn, ataupun Syed Jaffar Albar. Semua itu tidak boleh diambil kira. Mereka itu sanggup berada di sampingnya secara senyap dan menyerlahkan sikap pemikiran kroni sambil membiarkannya menyalahgunakan kuasa dan pengaruhnya. Walaupun orang seperti ini cukup terlatih tetapi pendidikan yang mereka terima itu boleh dipersoalkan kerana mereka tidak berupaya membezakan di antara yang hak dengan yang batil.

Orang politik yang lemah selalunya mencari isu untuk dijuarai. Perangai inilah yang membawa padah kepada kewibawaan mereka.

Permintaan kumpulan Suqui telah dilakukan ketika pemilu yang berlalu. Tiba-tiba bulan yang lalu permintaan mereka itu dijadikan satu isu yang hangat. Kebanyakan perkara tuntutan mereka itu adalah sama dengan yang tertulis dalam Manifesto Pilihanraya yang dikemukakan oleh Barisan Alternatif di pemilu dulu. Inilah yang membuatkan Mahathir naik berang.

Apakah niatnya sebenar apabila menyebut Suqui dan mengaitkan mereka dengan pergerakan komunis yang lalu? Mungkin juga Mahathir harus jelaskan kenapa dia berpelukan dengan Fidel Castro ketika mereka berada di Amerika Syarikat dulu. Apakah ini membuatkan dia digelar komunis apabila dibandingkan dengan Suqui? Dalam hal berpelukan itu, kelakuan mereka hanya memperlekehkan Fidel Castro.

Tidak ada pemimpin negara bebas yang akan mendapat sebarang menafaat kalau mereka mengalukan kedatangan Mahathir, tanpa menjejaskan kewibawaan mereka sendiri.


Sebelum 1998, lebuhraya Kuala Lumpur kerap dihiasi dengan bendera negara luar sebagai tanda kita mengalukan ketibaan para pemimpin negara itu. Keadaan sudah berubah dan semakin jarang sangat. Inilah gambaran betapa pemimpin agung kita itu sudah semakin lekeh.

Mahathir pernah berkata; "Menggalakkan kebencian tehadap orang lain sebagai cara meraih sokongan terhadap diri sendiri adalah laksana bermain api. Ketika kecil, api itu kawan, tetapi apabila besar ia menjadi lawan. Api yang besar akan memusnahkan kita semua." Sebenarnya Mahathir yang sedang bermain api dan adalah menyedihkan kerana dia telah menggunakan majlis ulangtahun kemerdekaan untuk menyerlahkan kemuflisan fikirannya.

Mahathir tidak berapa minat dengan isu yang dikemukakan oleh Suqui. Dia bersama kroninya sedang memutarbelitkan isu politik usang untuk memecah dan perintah dalam usaha untuk meraih sokongan orang Melayu. Mungkin ini adalah satu gambaran kepada apa yang dikatakan perpaduan negara mengikut acuan Barisan Nasional .

David Chua merupakan Timbalan Pengerusi NEAC (MAPEN II). Mungkin Mahathir menganggapnya seorang ekstremis (pelampau) kini. Anwar dianggap begitu sebaik sahaja dia disingkirkan. Dia menjadi seorang yang mengancam keselamatan negara dalam masa beberapa minggu setelah dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Adalah satu paradoks apabila isu seperti ini tidak boleh dibincangkan dalam bilik yang tertutup. Sedangkan inilah lah strategi yang diamalkan oleh NEAC. Malahan, yang menyerlah ialah kekuatan suku kaum yang terdapat dalam parti komponen BN itu. Mereka tidak pernah berunding sesama mereka, ataupun membincangkan dasar-dasar ataupun merangka strategi secara perundingan. Secara hakikatnya mereka merupakan parti etnik yang dirangkaikan bersama berdasarkan kemahuan sendirian sambil mempamirkan satu sirat nipis yang melambangkan perpaduan.

Kalau muncul satu isu yang kecil sekali pun, mereka akan bingkas dan mula menyerang antara satu sama lain. MCA, UMNO dan MIC memang jarang bersidang untuk berdialog ataupun membincangkan sesuatu isu yang mendatangakan persefahaman. Cara mereka beroperasi ialah setakat kemampuan bertoleransi. Cara mereka menangani isu yang dicetuskan oleh Suqui adalah satu penyerlahan terhadap kemampuan itu.



Kita sedang menyaksikan keupayaan parti yang berasaskan perkauman dalam menangani cabaran Malaysia moden. Pihak pembangkang pun mempunyai batasan mereka. Tetapi masalah perkauman bukan menjadi faktor yang menyulitkan.

Masadepan konsep 'Bangsa Malaysia' untuk anak-anak dan cuu-cicit kita terletak dalam perkara ini. Janganlah kita terjebak kepada sikap keresahan Mahathir, ataupun kepada keadaan UMNO yang semakin kehilangan kuasa dan politik perkauman yang akan membuatkan negara ini gostan ke belakang.


Sebenarnya, Mahathir tidak terdidik dalam menangani hakikat ini. Dia sudah menjadi buta terhadap cadangan alternatif. Para ningrat yang masih cintakan negara ini mesti mengenepikan masalah keperibadian dan juga perkauman untuk bersuara lantang dan memperbetulkan Mahathir. Sesiapa yang kenal rapat dengannya harus memberi nasihat demi masadepan negara ini. Persaraan adalah jalan terbaik untuknya.

Pandangan umum mesti didengar dan dihormati. Ia merupakan suara rakyat dan bukannya hanya pandangan Mahathir sendirian.



Diterjemahkan oleh -MT-
15 September, 2000

Gambar:

MEMELUK KOMUNIS-KOMUNIS ... Apakah ini menjadikan Mahathir lebih komunis dari Suqui? Perbuatan ini hanyalah menjatuhkan darjat Fidel Castro.