Laman Webantu   KM2A1: 2780 File Size: 12.1 Kb *



Penulis Siber: Jika Tidak Dipecahkan Ruyung
By Mat Teropong

15/9/2000 12:13 am Fri


Rencana ini ditulis sebagai respon kepada rencana bertajuk:

JIKA TIDAK DIPECAHKAN RUYUNG (MASAKAN DAPAT SAGUNYA..!!)

Selalunya apabila kita menulis di alam siber, kita amat memerlukan perlindungan daripada Allah SWT kerana kita berinteraksi dengan alam sejagat yang tidak kita nampak dan kenal secara jelas. Rakan siber kita adalah insan dunia elektronik yang kita kenal berdasarkan nada tulisannya dan kecenderungannya berfikiran memihak kepada golongan ataupun kumpulan yang pro dengan kita. Amat sukar untuk mendapatkan penulis yang 'neutral'. Malahan, saya telah menulis sebagai seorang yang neutral begitu lama akhirnya terpaksa mendedahkan bahawa saya anti Mahathir. Sedangkan saya anti-kezaliman.


Apabila kita menulis di alam siber pro-reformasi (tidak ada bezanya dengan 'reformasi') kita tidak tahu siapakah sebenarnya yang membaca tulisan kita sedangkan kebanyakan bahan tulisan kita itu adalah disasarkan kepada orang dewasa yang matang fikirannya. Kerana itu kita terpaksa mengambil pendekatan umum dan ber'generalise' dalam tulisan itu. Kita tidak boleh terlalu ilmiah dan berat sehinggakan pembaca mengantuk dan melepaskan tulisan kita itu. Di sini timbul kepintaran untuk memukau pembaca seperti yang dilakukan oleh Amin dan TT, Tok Misai, Tarabulsi, Damak, Umi Nasuha, Panji Tengkorak, Wartawan Pencen, Bomohdin, Pena Suasa dan beberapa ramai lagi. Mereka ini pandai menulis untuk memukau, cuma ada banyak perbezaan dalam pemukauan itu.


Sudah lumrah alam, apabila seseorang penulis mampu memukau pembacanya dia menarik minat pihak kerajaan kerana:


  1. pemukauannya itu selalunya berlaku kerana dia menyanggah kerajaan, tidak kira secara berkias, berlembut ataupun berkeras.

  2. dia diikuti secara dekat oleh orang yang dipukaunya kerana mahukan lagi bahan tulisannya baik sebagai bahan hiburan, pengetahuan ataupun perbandingan.

  3. Tulisannya itu diikuti oleh banyak pihak untuk meneliti kesinambungan fikirannya dan juga kecenderungan politiknya.

  4. Dia mula diawasi oleh semua pihak, baik pihak kerajaan mahupun yang membangkang pihak kerajaan itu.


Dia mula diekori secara fizikalnya, termasuk sesiapa yang rapat dengannya.


Demikianlah sedikit risiko yang perlu dihadapi oleh seorang penulis siber di Malaysia masa kini. Ia bukan calang-calang risiko kerana orang Melayu mempunyai budaya yang amat terkenal sekali:


  1. berdendam,
  2. bodoh sombong
  3. malu-alah
  4. menggunakan bomoh
  5. sanggup berpatah arang
  6. mengamuk.



Perangai buruk ini lebih menekan dan menyerlah apabila kita kaitkan orang melayu itu dengan alam politiknya. Di sini kita dapati sejarah merakamkan betapa orang Melayu sanggup membunuh, meracun, menghina, mengaibkan, mendera, menipu, menyonglap, menjadi munafik, mengamalkan ilmu hitam, berbohong dan banyak lagi semata-mata untuk mengekalkan kuasa politiknya.


Justeru Melaka jatuh ke tangan Portugis kerana ada orang 'Melayu' membuka pintu di waktu malam. Datuk Taha mati ditembak juburnya kerana dia tidak lut peluru di tempat lain. Dato' Mazlan sanggup menyerahkan dagunya untuk diperasapkan kemenyan sedangkan di waktu itu dia sudah hampir menemui ajalnya oleh seorang syaitan yang bertopengkan manusia. Seorang perdana menteri sanggup 'menyembelih' anak emasnya kerana keturunan darah dagingnya sedang kelupuran di kancah kemuflisan. Seorang 'Datuk' sanggup menggunakan suara isterinya sebagai bahan bukti palsu untuk digunakan di mahkamah; sebagai ganjarannya kini dia akan bergelar senator.


Impak kejijikan perangai orang melayu adalah satu sanggahan yang menjadi risiko besar yang perlu ditangani. Demikianlah besarnya risiko menulis di alam siber reformasi masa kini. Tetapi, seperti yang pernah dikatakan, kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya?


Soalnya sekarang ini tidak ramai orang Melayu yang menebang ruyong kerana mahukan sagunya untuk hidangan di meja makan. Di kampung dan desa, ruyong yang telah dikabung-kabung dibelah untuk dicampak ke kolam ikan. Bergeraklah kabung itu ke hulu dan hilir kerana ikan di bawah permukaannya yang mengontel sagu yang ada. Kalau di kolam itu ada pula itek peliharaan, bertenggeklah pula si itek itu menikmati sagu dari bahagian atasnya. Proses yang berlarutan akhirnya membuatkan kabung itu tenggelam, kerana kemampuannya untuk terus timbul bergantung kepada sagu yang terkandung di batang kabung-ruyung itu tadi.


Demikianlah kiasan yang dapat diberikan kepada masalah ini. Penulis adalah laksana ikan di dalam kolam yang diberikan sagu sebagai makanannya. Ia akan menulis tanpa sesiapa mengenalnya selagi ada bahan untuk ditulis dan selagi sikap menulis dalam 'gelap' itu merupakan satu usaha yang diperlukan oleh bangsanya. Kegiatan penulis itu akan tenggelam sebaik sahaja sagu yang terkandung dalam sesuatu kabung ruyong itu habis terhakis. Tidak semestinya oleh ikan yang berada di permukaan air itu tadi, tetapi oleh itek-itek yang datang menenggek untuk mengerjakan sagu dari permukaan atas.


Dengan lain perkataan, isu hangat adalah laksana batang kabung yang dihanyutkan di kolam ikan. Kalau pun ruyong itu ditebang dan dibiarkan begitu sahaja, tidak siapa yang akan perasaan akan adanya sagu untuk dituai. (Bukan itu yang dimaksudkan oleh Isa Samad kepada para wartawan mengenai isu perletakan jawatannya?) Apabila sesuatu isu itu menjadi panas ia diketengahkan maka ia pun akan dikerutung oleh segala anak ikan, bapak ikan dan emak ikan di kolam air itu sehinggalah satu waktu sagu itu pupus hingga menyebabkan batang ruyung itu tenggelam. Si ikan akan terus hidup, melainkan ia disambar oleh itek-itek yang mampu menyeduknya dari atas kabung itu tadi. Ataupun ada burung rajawali ataupun raja-udang yang datang menyambar dari atas setelah lama mengamati pergerakan ikan itu.


Secara lahiriahnya, kita penulis siber banyak berpandukan kepada nawaitu yang berteraskan ketaqwaan. Kalau ini menjadi asas penulisan kita dan apabila diadun bersama dengan segala pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah, beserta pengalaman hidup yang telah direstuinya, maka jadilah setiap penulisan itu laksana satu hamparan permaidani yang indah yang mahu dinikmati oleh setiap insan yang melihatnya. Berapa ramaikah manusia di dunia ini pernah menikmati keindahan permaidani dan lantas memikirkan siapakah insan yang melakarkan keindahan itu?


Di negara ini, kita sedang meniti zaman kegelapan selagi Mahathir Mohamad tidak melepaskan jawatannya sebagai presiden UMNO dan perdana menteri Malaysia. Segala kebusukan yang dihidu dalam kancah politik negara ini adalah bikinannya. Semua ini akan menjerumuskan negara ke kancah kedaifan. Tugas terbesar para penulis reformasi dalam hal ini ialah menulis dengan tepat kenapa negara sedang terancam dan bagaimana kita harus mengelakkannya. Tulisan yang berkesan dalam hal ini akan membawa satu kesedaran di kalangan pembaca. Apabila kesedaran muncul barulah ia mencetuskan minda untuk rakyat berinteraksi membincangkan masalah itu. Apabila kesedaran timbul dan mencetuskan perbincangan, sesuatu isu yang diketengahkan oleh Mahathir dapat dinilai oleh rakyat akan baik dan buruknya. Kesan penilaian itu memberikan ruang kepada rakyat untuk bertindak secara proaktif ataupun sebaliknya.


Seorang penulis yang berwibawa mampu mengawal minda pembacanya untuk melihat apa yang hitam dan apa yang putih. Daripada dua reaksi warna itu akan terbentuk wajah dan rupa di mata para pembaca untuk menilai di mana satu yang haq dan mana satu yang bathil. Apabila rakyat terus terlatih membuat penilaian seperti ini, rakyat pun semakin matang pemikirannya sehingga mampu menyanggah setiap kali Mahathir dan konco-konconya mahu menyogokkan sesuatu yang mereka katakan haq, sedangkan rakyat sudah nampak akan kebatilan sogokkan itu. Inilah peranan penulis siber yang amat menakutkan Mahathir dan apa juga apparatus pemerintahan yang ada padanya. Inilah juga konsep penulisan yang amat ditakuti oleh segenap pemimpin yang dipilih oleh rakyat melalui peti undi.

Kenapa perlunya penulis siber berterus terang dan bermati-matian menyedarkan bangsanya? Hanya satu jawapan yang tepat kepada soalan itu: 'kewibawaan' ataupun 'kredibiliti' penulis itu sendiri. Penulis yang gigih mungkin tidak dikenali oleh pembacanya, tetapi apakah jaminannya yang dia akan tidak dikenal satu hari nanti? Hanya kredibiliti dalam penulisan yang akan menjaminkan keselamatan seorang penulis siber. Kerana itu dia harus mengenepikan segala ciri-ciri karut-marut yang selalu menjadi ciri-ciri penulis surat layang yang mahu menjatuhkan seseorang. Dengan kata mudah, seorang penulis siber yang berwibawa hanya akan menulis berasaskan kebenaran. Dia tidak akan memberi ruang kepada 'hearsay' ataupun 'cakapan orang' ataupun fitnah dan tuduhan melulu. Ia akan menggunakan fakta dalam penulisannya dan mengenepikan fiksyen yang mudah diminati oleh penulis upahan. Menulis dalam ruang lingkup terhad inilah yang menyulitkan, kerana itu seorang penulis siber yang berjaya harus menulis berasaskan fakta dan pengalamannya yang berasaskan fakta juga.


Apabila penulisan itu menjadi satu karya yang baik, maka hasilnya akan baik juga. Hanya telur yang baik menetaskan zuriat yang baik dan menjadi baka yang baik. Penulis yang baik tidak akan menghadiahkan telur tembelang kepada pembacanya. Telur yang tembelang adalah hadiah seorang penulis yang baik kepada para ahli politik yang rakus dan jijik perangainya.


Berbalik kepada masalah risiko yang perlu dihadapi oleh seorang penulis siber. Jawapannya amat mudah sekali. Kalau penulisan itu adalah satu persembahan yang baik, eloklah jangan difikirkan risiko penulisannya. Tidak kiralah betapa berat dan berbahaya bentuknya yang dapat menandingi kebenaran yang terkandung dalam satu penulisan yang baik itu . Dengan lain perkataan, tulisan yang baik dan yang membawa kesedaran kepada ramai pembaca, lantas membawa perubahan dalam cara kehidupan sesuatu masyarakat itu adalah sebaik pelindung kepada sebarang risiko terhadap seseorang penulis. Kerana itu, ia tidak payah berfikir panjang mengenai risiko itu. Kalau dia melakukan semua itu dia harus berhenti menulis dan menjadi seorang pemerhati yang pasif sahaja, sehinggalah dia percaya kepada keEsaan Allah SWT.

Mat Teropong