Laman Webantu   KM2A1: 2771 File Size: 8.1 Kb *



Roti Canai Cameron Highlands!
By Hj. Mohammad Nor

13/9/2000 9:41 pm Wed


Roti Canai Cameron Highlands yang dingin!

Sudah sekian lama tak ke sana, tapi hari itu pada September 2000 sembilan haribulan kaki ini menjejaki lagi di bandar yang tertinggi di negara kita iaitu Cameron Highlands. Tempat peranginan tanah tinggi ini cukup popular dimasa cuti sekolah, apa tidaknya sinilah satu-satu tempat yang agak banyak sikit aktiviti yang boleh dilakukan apabila kita datang melawat. Nak pergi jungle trekking boleh, nak melawat kebun teh boleh, nak tengok bunga mawar boleh, nak beli bunga boleh, nak beli sayur boleh, tapi kalau berkasino, sorry lah ….setakat ini tak lah lagi, tak tahulah kalau MB Pahang nak meluluskan lesen perjudian di Cameron Highlands. Mana tahukan kalau-kalau duit dalam kantung kerajaan negeri dah kering, nanti nak kena gadai pulak Wisma Sri Pahang itu untuk bayar gaji pegawai-pegawai kerajaan negeri. Walaubagai mana pun kita berterima kasih lah kepada William Cameron, seorang juruukur British yang mula menjejaki tempat ini pada 1885 dan telah berjaya mendapatkan peruntukan sebanyak $ 20,000 pada tahun 1886 untuk membina jalan sejauh 34 batu, dan seterusnya perlebaran jalan dilakukan pada tahun 1902.

Malam itu saya menginap di Hotel Merlin Cameron Highlands. Tawaran harga bilik cukup hebat hanya RM80 sahaja untuk bilik superior, tapi saya tiba pada hari Sabtu, huh ! Tak dapatlah harga itu. Tapi bila dealing dengan mereka ini, lain pulak ceritanya, saya terkejut bila masa untuk melangsaikan bil, RM 200 dikenakan kepada saya……hilang habis tentang tawaran RM80 itu! Dah kena bayar lebih, aduhai…bau dipersekitaran hotel tu pulak sama macam bau dekat reban ayam. Sana-sini bau tahi ayam. Kalau bau bunga tahi ayam itu tak apalah sebab kita tahu ianya datang dari sepohon pokok. Jadi dalam ingatan pertama saya pada masa itu ialah Cameron ini yang pertamanya mahal, dan yang keduanya bau busuk tahi ayam.

Pagi sepuluh haribulan, saya ke gerai makan di Tanah Rata untuk menikmati sarapan pagi. Al-maklumlah yang Hotel Merlin tu kedekut sangat, taklah seperti hotel-hotel di KL yang berlumba-lumba bagi “ buffet breakfast.” Maka singgahlah saya di sebuah gerai yang kelihatan ramai sikit orang. Kata orang kalau kedai itu ramai pelanggan yang datang maknanya makanan dan harganya selalunya special. Waduh! Memang special betul. Gerai yang saya masuk ialah Gerai Hj. Hussein, yang di kategorikan sebagai “B” oleh Majlis Daerah Cameron dan Kementerian Kesihatan. Label tanda “B” itu tandanya bersihlah, dan terpampang di sini sejak mulanya pengkelasan itu dibuat. Tak pasti pulak saya bila tahun mula dilaksanakan. Rasa-rasanya dah lebih 10 tahun. Label itu pun dah nampak usang, tak pernah bertukar, walaupun kedai itu dah bertukar tangan, atau pun tauke kedai itu sudah bertukar perangai…..dari bersih jadi pengotor!

Maka pagi itu sibuklah sikit pegawai-pegawai kerajaan Cameron Highlands yang sedang “makan angin” melayani selera ….ada yang mintak the tarik tongkat Ali , ada yang mintak roti canai jantan (roti canai yang ada telur dua biji), ada yang mintak nasi lemak dan lain-lainlah sehingga tak terlayan tauke kedai itu. Saya, apabila melihatkan suasana dan keadaan kedai yang berkategorikan “B” itu dah hilang selera, dan hanya duduk minum saja. Yang unik sikit di gerai ini ialah seorang nenek yang gigih menebar roti canai (tak lah seterer mamak roti canai dekat Kuantan), Keadaan tempat mencanai dan membakar roti canai itu kus semangat , kotornya, tak lalu saya nak makan roti canai di situ. Tentang roti canai ini, sebenarnya dah lama saya tak makan, ramai kawan-kawan yang menjadikan roti canai sebagai makan asasi mereka, nampaknya seorang demi seorang telah tumbang kena stroke kerana penangan roti canai.

Ada satu lagi cerita tentang roti canai ini. Mungkin sesiapa yang biasa ke Kuantan pernah singgah di Restoren Al-Maliki, sekarang ini dah pun tutup akibat tragedi roti canainya. Pagi itu sekumpulan pegawai kerajaan telah ke restoren itu untuk makan roti canai di situ, tahulah semuanya nak cepat sebab nak kena masuk ofis sebelum 8.30pagi. Si mamak yang tebar roti canai itu pulak pakai cincin besar, dan sedang sibuk lah untuk menyediakan roti untuk para pelangannya. Tiba-tiba mamak ini sakit perut, dan terus berlari ke bilik air nak buang air besar. Oleh kerana nak cepat, bila dia habis melepas, dia basuh tangan lebih kurang saja. Mamak punya perangai, mana nak sabun tangan. Kekadang tu hembus hinguslah dan kesat dekat kain pelikat cap gajah yang dah naik hitam tu ( teringat pulak teka teki tentang perbezaan kain pelikat cap gajah dengan gajah betul…..hah! Cuba teka!).

Berbalik pasal mamak roti canai yang bercincin besar itu. Dia pun terus ke depan untuk menebar roti canainya. Bila roti dah siap dimasak, dan roti itu dilambung-lambung dan ditepuk-tepuk dengan tangannya. Kemudian terus dihidangkan kepada kumpulan pegawai kerajaan yang dah tak sabar menanti roti yang panas-panas itu. Sebaik saja roti canai itu dikoyak-koyakkan dan di masuk ke mulut, huh!!! Mak tuan….bau mamak di bilik termenung harum semerbak! Hilang terus selera pegawai-pegawai itu nak makan. Check punya check….rupa-rupanya masih terdapat kesan najis mamak itu melekat pada cincin besarnya. Sejak itu, restoren itu terpaksa ditutup. Jadi, lain kali kalau tuan-puan nak makan roti canai, tengoklah dulu kuku tangan mamak tu, dah tu dia pakai cincin besar ke atau tidak. Jangan nanti terkena makan najis mamak, nanti jadi bodoh kita terikut-ikut dengan perintah mamak tua yang bukan-bukan dan melalut itu!

Tentang Cameron Highlands ini, Nampaknya peniaga bumiputera di situ masih berada di takuk lama. Bangunan kedai yang ada itu agak lama. Tapi tak apa walaupun bangunannya lama, asalkan ada kerja-kerja penjagaan, cat ke, bersihkan kawasan persekitaran , tukar meja dan kerusi yang dah berkulat dan bergoyang, atau sekurangnya ganti alas meja yang elok sikit. Bunga pulak banyak dan murah di sana, apa salahnya hiaskan sikit dengan bunga asli, bukanlah yang plastik yang tak ada nilai estatik langsung.

Tempat yang sejuk dan lembap ini memanglah membuatkan bangunan itu cepat nampak buruk, kita tak perlu semuanya bangunan baru macam bangunan stesen teksi itu yang baru dibina, tapi teksinya masih juga buruk dan tak terjaga. Apa yang peliknya ialah Majlis Daerah Cameron Highlands ini, rasanya banyak peruntukan untuk membuat bangunan baru, tapi macam mana dengan peruntukan untuk penjagaan bagi mengekalkan kecantikan dan keselesaan bangunan lama. Bukannya tak boleh paksa sikit tauke-tauke kedai tersebut keluarkan sedikit belanja untuk mengecat dan menjaga kedai mereka, tapi initiatif dan penguatkuasaan mestilah datang dari Majlis Daerah atau Pejabat Daerah. Kalau itu pun tak boleh buat, tutup saja pejabat-pejabat kerajaan itu. Tentang label A,B, dan C di gerai makan dan restoren itu, tak nampak pulak saya yang berlabelkan “A” (paling bersih) atau “C” (paling kotor). Betul juga ia….kalau kita labelkan semuanya dengan “B”, kerja pun kurang, tak payah check apa-apa pun. Cuma bila ada orang kena sakit taun, thyphoid ke …barulah semuanya sibuk nak check sana sini. Baru nampak ada kerja sikit!

Tak tahulah saya dengan Negeri Pahang yang tercinta ini, sumber aslinya cukup banyak, tapi sumber yang terpenting sekali iaitu sumber manusianya tak seberapa, yang banyak nya nak menjahamkan, yang nak mengawal dan menjaga sumber yang ada itu hanya segelintir. Saya rasa kerajaan negeri kenalah agresif sikit , lebihkan peruntukan di sini, dah itu pungut hasil hasil dari tauke-tauke yang gunakan tanah di sini. Mereka itu dahlah buat bisnes besar-besar dan untung berlipat ganda, tapi nampaknya mereka menggadaikan keadaan alam sekitar Cameron Highlands yang kian merosot. Tapi kalau pungut hasil itu, jangan pulak bubuh dalam kocek sendiri.

Wassalam!