Laman Webantu   KM2A1: 2762 File Size: 28.4 Kb *



KTLBELB 29: Yang Berkobar dan Berkubur
By Marhain Tua

12/9/2000 9:17 pm Tue

Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila

KTLBELB: Bab 29


YANG BERKOBAR DAN BERKUBUR

Sepatutnya Malaysia sebagai sebuah negara merdeka berada jauh di hadapan dalam semua segi pembangunan negaranya jika dibandingkan dengan semua negara dalam Asean. Jika diambil-kira keahlian dalam pertubuhan negara-negara Islam, Malaysia sepatutnya menjadi negara yang terkaya dalam semua hal. Malangnya semua ini akan hanya menjadi satu impian kosong. Malaysia kini terkenal kerana hutang bertapuknya. Bayangkanlah, kalau simpanan wang yang diperolehi oleh Petronas sepatutnya mencecah RM500 Bilion, yang ada tidak pun sampai sepuluh (10%) dari angka itu, bukankah itu bererti penerajuan negara selama ini adalah satu penerajuan yang pincang dan bengap?


Mungkin sudah sampai masanya untuk semua rakyat Malaysia menyoal dirinya apakah yang akan terjadi kepada negara ini kalau sumber asli yang masih ada di perut bumi sudah kehabisan. Apa yang akan berlaku kepada generasi anak cucu kita satu hari nanti? Simpanan minyak dan gas di dasar bumi Malaysia dikatakan mampu bertahan hanya untuk lima belas (15) tahun lagi. Mampukah segala keuntungan daripada simpanan itu nanti membayar hutang negara yang semakin meninggi? Setakat ini kenapakah tidak ada suara Mahathir memberi bayangan kepada rakyat malahan jua kabinet bagaimana dia dan UMNO mampu menyelesaikan hutang negara yang semakin bertapuk itu? Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh Mahathir sekarang ini selain berbelanja besar seolah-olah khazanah negara yang digunakan sebagai modal projek mega yang berterusan itu adalah harta bapaknya sendiri?


Royalti Minyak Yang Menjadi Hak Terengganu.


Mahathir memang sedang berlagak sakan membohongi seluruh negara terutama sekali orang Terengganu betapa royalti minyak yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan Teerengganu itu adalah satu tabung ihsan. Sayangnya Mahathir lupa bahawa pembohongannya itu menelanjangkan kewibawannya samasekali. Seluruh dunia kini mentertawakannya dan seluruh dunia termasuk mereka yang mendewakannya di Afrika sedar: betapa Mahathir adalah seorang pemimpin hipokrit yang sudah pupus tarikh-gunanya. Soalannya sekarang, bagaimanakah masih ada pemimpin dalam UMNO dan BN yang sanggup diam membisu dengan gelagat Mahthir itu?


Mengikut cakap Mahathir, salah satu sebab Terengganu tidak berhak menerima royalti minyak ialah kerana pelantar minyak tidak berada di perairan Terengganu. Jadi, di manakah letaknya pelantar minyak itu? Mengikut piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sesuatu kawasan yang terletak dalam kawasan 20 batu nautika adalah ditafsirkan sebagai kawasan EEZ (Exclusive Economic Zone). Ini bermakna kawasan itu adalah hak negeri/negara yang diiktiraf berhak ke atas Zon Ekonomi yang Eksklusif. Kita juga faham, tidak ada sebarang syarikat asing yang sanggup melabur dalam sebarang usaha penggerudian di perairan antarabangsa kerana masalah keselamatan. Kalau pelantar minyak itu diletakkan dalam kawasan EEZ bererti segala risiko tertakluk kepada apa yang disebut sebagai 'sovereign risk' yakni risiko kenegaraan. Saya percaya Mahathir faham sangat akan hal ini kerana masalah lokasi penggerudian minyak di dasar bumi bermula sejak 1975 lagi. Tentunya Mahathir yang pernah menjadi menteri perdagangan, menteri pelajaran, timbalan perdana menteri dan kemudiannya perdana menteri, amat arif akan fakta ini.


Mengikut amalan biasa, satu batu nautika ukuran linear adalah bersamaan dengan 1.609 Kilometer. Kalau mengikut takrif ukuran navigation (pelayaran), satu batu nautika adalah bersamaan 1.82 km. Secara logikanya kalaulah pelantar minyak di Lautan Cina Selatan itu tidak berada di perairan Terengganu/Malaysia ia bermakna ia berada di perairan antarabangsa. Tentu sekali sudah banyak pelantar negara asing yang dibina di situ seperti terbinanya beberapa pos (kubu kecil) kawalan yang dibina oleh negara asing di Kepulauan Spratly. Dengan hal demikian, kita amat sangsi bagaimanakah Mahathir sanggup terus celupar dengan cerita pembohongannya itu, sedangkan dia tahu maklumat yang diberikannya itu akan disanggah juga akhirnya.


Kita berkeyakinan Tuan Guru Hj Hadi dan juga Tun Salleh Abas akan mempertahankan hak rakyat Terengganu dalam kemelut yang sengaja dicetuskan oleh Mahathir ini. Kalau boleh, biarlah segala penyelesaian itu menjadi satu iktibar yang dapat mengajar Mahathir sebelum dia mati. Sekaligus ia dapat menjadi satu pengajaran kepada semua para juak dan jongosnya yang diam membisu dalam pembohongan ini.


Pembohongan Yang Berjangkit


Pembohongan Mahathir sebenarnya merupakan satu penyakit yang menjangkit ke seluruh anggota pucuk kepimpinan UMNO dan BN. Kalau kita lihat taktik UMNO sejak Mahathir memberikan ucapan sambutan ulangtahun Kemerdekaan yang ke-43, kita dapat lihat betapa pelbagai isu telah diketengahkannya. Seperti kilat, isu yang disebutnya itu dijulang tinggi-tinggi oleh para juaknya terutama sekali mereka yang memimpin Pemuda UMNO. Sayangnya isu yang basi itu diperbesarkan hingga hampir mencetuskan satu suasana yang tidak menyenangkan.



  • Ketika Mahathir menuduh Suqui sebagai satu kumpulan yang mmempunyai persamaan dengan kumpulan pengganas komunis, Pemuda UMNO terus bangkit tanpa sebarang usul periksa, beratur dan mengibarkan bendera UMNO sambil menjerit 'sarang tabuan jangan dijolok'. Kemudiaan seorang pemimpin yang bertaraf kroniputra (bukannya ada setitik pun darah Melayu dalam sanubarinya) memberi amaran agar pihak Suqui itu menyelesaikan masalah (yang sengaja diada-adakan oleh Mahathir) dalam masa satu minggu. Apa jadinya selepas itu?

    Kini, masa terus berlalu, amaran satu minggu sudah menjadi dua, apakah jadinya? Orang Melayu jua yang malu!!!! Inilah tabiat pemimpin Pemuda UMNO masakini. Ia amat bertepatan dengan apa yang saya tulis pada 5.2.2000 berjodol 'Rentak Juang Yang Hilang'. Saya mengajak para pemimpin pergerakan itu membaca tulisan itu sekali lagi dan kemudian letak muka di hadapan cermin. Cukuplah kalau saya katakan setakat ini:

    Perbuatan anda mencabar orang Suqui bukan semata-mata mencabar MCA kerana Suqui adalah serpihan MCA, sebenarnya anda telah mencabar semua orang Cina di negara ini. Apakah bahananya sekarang? Lihat, apa jadi dengan harga barang makan, hampir semuanya naik melambung. Lihat, apa jadi dengan pasaran BSKL. Kejatuhannya belum lagi dapat dibendung walaupun ada usaha Utusan Melayu untuk mengemis simpati orang Melayu membeli saham yang semakin merudum itu



  • Mahathir telah memberi gambaran yang jelas betapa Suqui adalah sama taraf dengan Al Maunah dan juga pergerakan komunis Malaysia dulu. Alangkah aibnya tuduhan ini sedangkan Kumpulan Al Maunah belum pun diputuskan oleh mahkamah sebagai kumpulan penjenayah bercorak komunis. Mahahir juga ada mengaitkan Al Maunah dengan PAS. Kerana itu kita lihat beberapa penulis upahan sanggup menulis mengenai hal ini dengan menggunakan frasa yang menghina PAS sebagai kumpulan yang memberikan galakan kepada Al-Maunah itu. Ironisnya sehingga hari ini PAS tidak pun membuat sebarang tindakan untuk menafikan hal ini.



  • Kelakuan memburukkan Suqui dan Al Maunah, dilaksanakan selari dengan tindakan mengungkit Amanat Haji Hadi. Apa yang disebut sebagai amanat itu diputarbelitkan menjadi 'Fatwa' kerana dengan penggunaan itu Haji Hadi boleh ditekan sebagai seorang yang tidak layak mengeluarkan fatwa mengikut tafsiran susur-galur majlis fatwa negara ini.

    Tetapi, perkara ini sudah timbul sejak dua puluh tahun yang lalu. Kenapa pula diungkit-ungkit kini? Sekali lagi kita nampak akan muslihatnya. Mahu dikaitkan juga amanat itu dengan Al Maunah. Malahan ada usaha untuk mengaitkan Al Maunah denagn 'Fatwa' itu kepada Kisah Memali. Sekaligus tabung bantuan mangsa Memali ditimbulkan.


    Seorang teman telah bertemu bual dengan balu Al Syahid Ibrahim Mahmud dan mendapatkan banyak cerita daripadanya mengenai Episod Memali itu. Pertemuan itu dirakamkannya tiga hari sebelum tercetusnya Episod Sauk. Balu Ibrahim Mahmud ada mengungkitkan wang simpanan yang dikumpulkan oleh Ibrahim Mahmud daripada sumbangan para penderma; yang puluhan-ribu jumlahnya. Hingga hari ini wang itu belum lagi dikembalikan oleh pihak polis. Begitu juga kitab dan surat rasmi kepunyaan keluarga beliau. Sijil, surat beranak, buku simpanan bank dan sebagainya semuanya masih ditakrifkan sebagai hilang kerana telah diangkut oleh polis ketika berlakunya episod itu. Semua perkara ini masih dibekukan, selagi Mahathir masih berkuasa. Kita harapkan Mahathir dapat bersabar untuk terus bernyawa dan menghadapi 'panggilan pulau' menjawab segala tuntutan keluarga yang mati syahid itu.


  • Salah satu impak pembohongan Mahathir terhadap kes royalti ini sudah dirasakan di Sabah dan Sarawak. Kini, Sarawak sedang bergolak dengan desas-desus akan adanya pilihanraya umum mengikut trend yang dilakukan sejak lama dulu. Kalau mengikut trend itu, pilihanraya selalunya diadakan satu tahun sebelum tarikh sebenarnya. Ramai oang Sarawak tertanya-tanya, apakah yang akan jadi kalau Sarawak jatuh ke tangan pembangkang? Apakah Mahathir akan berkata, pembayaran royalti yang sekian lama di buat kepada kerajaan BN Sarawak adalah satu kesilapan? Mampukah Mahathir berbohong lagi dengan mengatakan royalti itu mesti ditukar menjadi bayaran ihsan juga?



Kenapa Mahathir Berubah Perangai?


Semakin ramai rakyat yang menggelengkan kepala apabila melihatkan perangai Mahathir yang sudah berubah. Banyak berubahnya, sehinggakan budak kecil pun tahu Mahathir sudah semakin gemar berbohong. Setiap kali dia membuka mulutnya dia akan berbohong. Bayangkan perkara ini:



  • Mahathir kata sistem tindakan memperbetulkan ekonomi yang mmerudum sudah pun berjaya. Tetapi dunia luar tahu bahawa FDI (Foreign Direct Investment) yakni pelaburan asing secara terus sudah semakin menurun, sehinggakan kadarnya adalah lebih teruk daripada kadar yang dialami oleh negara jiran.

  • Mahathir kata dia berjaya membetulkan keadaan ekonomi tanpa meminjam daripada Bank Dunia dan IMF. Tetapi, apakah dia ingat semua orang tolol apabila dia menjual bon Petronas dengan premium yang tinggi? Bukankah itu bererti meminjam dengan kadar faedah yang lebih tinggi daripada yang ditawarkan oleh bank Dunia dan IMF? Kenapakah dia berbuat demikian sedangkan ini bererti menambahkan hutang yang tidak sepatutnya? Jawapannya ialah, kalau dia meminjam daripada IMF dan bank Dunia, syarat yang ketat yang dikenakan oleh kedua dana ini ialah agar malaysia menghapuskan sistem kronisma, daddykasi dan Detkasi.

    Bayangkan kalau pinjaman sebanyak 1.8 billion diperlukan untuk menebus kerugian yang ditanggung oleh Mirzan, apakah IMF akan meluluskannya? Soalannya sekarang, pinjaman yang dikenakan faedah tinggi keatas Petronas adalah merupakan pinjaman yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia. Apabila Mahathir menyalahgunakan wang negara yang disimpan oleh Petronas untuk memulihkan kemuflisan anak-anaknya bererti rakyat Malaysia terpaksa menanggung beban hutang itu kerana mereka telah dipulihkan dengan wang rakyat yang diamanahkan kepada Petronas.


  • Salah satu sebab yang besar kenapa Anwar terpenjara ialah keengganannya menurut arahan mahathir untuk membantu Mirzan dan adik-beradiknya yang tertekan dan kesempitan wang satu ketika dulu. Kenapakah Mahathir mendesak Anwar menggunakan harta rakyat untuk menebus malu anak-anak yang bengap berniaga? Kenapakah Mahathir tidak menyuruh beberapa anak emas daripada kaum Cina yang diangkatnya martabat mereka ke tahap yang lebih tinggi daripada anak-anak raja? Kenapakah dia tidak menyuruh mereka menjual aset mereka di luar negara untuk membantu Mirzan dan adik-adiknya?




Mencuri harta Rakyat Secara Terang-terangan


Kini, kita tahu betapa mahathir dan para juaknya telah membalun harta rakyat secara terang-terangan sejak dia mula berkuasa. Harta inilah yang diamanahkan oleh rakyat kepada Petronas. Petronas adalah dibawah kuasa mutlak Mahathir bin Mohammad dan bukan di bawah Kementerian Kewangan ataupun parlimen. Alangkah liciknya si penyamun ini.

Sepatutnya simpanan Petronas sudah mampu memberikan kemudahan kepada rakyat negara ini kepada pelajaran percuma di peringkat universiti. Banyak cara dan kaedahnya perkara ini boleh dipraktikkan. Tetapi Mahathir dan UMNO terutama sekali Pemuda UMNO tidak pernah mahu membuat kajian mendalam mengenainya.


Tetapi, apakah yang dilakukan dengan duit rakyat itu?



  • Kita ulang sikit akan kebodohan Mahathir dalam membina Menara Kembar Petronas yang tidak memberikan pulangan bulanan yang setimpal dengan pelaburan kerana banyak ruang yang tidak disewakan. Pembaziran ini masih lagi tidak dapat menampung kerugian membeli Dayabumi daripada UDA.

    Kemudian, lihat apa yang dilakukan dan dibelanjakan dalam pembikinan Menara Kuala Lumpur, Litar Lumba Formula One, Mahligai Airmata di Bandar Airmata Rakyat yang sungguh membazir itu. Bagimana pula dengan MSC dan Cyberjaya? Kini muncul pula E-Village yang dengan bangganya disebut menelan RM3 bilion. Siapakah di antara orang melayu dan juga rakyat Malaysia lainnya yang akan menikmati kecanggihan E-Village itu?



  • Pembinaan projek mega di atas adalah satu kerja gila. Seperti gilanya pembikinan lingkaran keretapi letrik sebagai pengangkutan di ibukota. Bayangkan apabila seorang penumpang terpaksa turun di Masjid Jame dan berjalan ke Jalan Raja Laut untuk menaikki satu tren yang bukan daripada syarikat yang sama. Cuba lihat di negara maju, sebagai contohnyha di Paris. Pertukaran kenderaan boleh dilakukan di stesen yang sama. Kemudahan ini didapati pada satu struktur yang dibina selepas perang dunia kedua (lebih enam puluh tahun yang lalu). Bagaimanakah empat pengendali projek pengangkutan boleh dibiarkan melakar struktur yang tidak 'customer-friendly' adalah satu perkara yang sungguh mengaibkan. Ia hanya boleh berlaku di Bolehland di bawah Mahathir. Kini, kita nampak projek yang dikendalikan oleh Vincent Tan masih lagi terpacak tiangnya di seluruh ibukota. Hanya kertas iklan yang memaparkan Telefon Maxis tergantung pada setiap tiang itu.

    Bagaimanakah projek yang sepatutnya siap sebelum Sukan Komenwel boleh dibiarkan terbengkalai dan diberikan pula kelulusan untuk pinjaman bank? Inilah sebabnya masyarakat Cina kerap bersuara sinis dan berkata: "Mahathir is the crony of Vincent Tan." Kini, kudis yang digaru oleh Vincent Tan sudah diketahui oleh ramai orang Melayu, kerana satu ketika dulu, cerita bagaimna Vincent Tan dapat 'kaotim' dengan Mahathir hanya menjadi rahsia bangsa (racial secret) oleh kaum Cina. Tetapi, setelah melihat betapa ramai masyarakat Cina yang muflis kerana keadaan ekonomi Malaysia yang disalah-tadbir, ramai orang Cina yang marah dengan Mahathir. Terutama dengan cara dia membiarkan dirinya menjadi kroni si bekas penjual insuran itu.

    Kemarahan masyarakat Cina itu semakin membara apabila tersiar gambar Vincent Tan berpelukan dengan Ketua Hakim Negara dan Ketua Peguam Negara. Bayangkan, alangkah aibnya sistem kehakiman negara apabila gambar itu tersiar secara meluasnya seantero dunia? Bukan sahaja sistem perundangan itu yang dipertikaikan, seluruh masyarakat kehakiman itu menjadi satu cemohan. Yang lebih perit menerima keaiban itu adalah kita orang Melayu. Apakah Mahathir mengambil kira akan perasaan kita yang malu dalam hal ini? Tidak, dia sudah terlalu jauh melencong sebagai pemimpin untuk dikekalkan dengan gelaran itu. Dia sudah mabuk dengan gelaran Wira Dunia Ketiga yang disogokkan ke halkumnya oleh Ibrahim al Kataki, sehingga dia lupa peranan utamanya.


    Salahkah kalau ada orang Melayu yang membuat telahan betapa Vincent Tan berkemungkiann dianugerahkan gelaran 'Tun' tidak lama lagi? Dalam hal ini memang amat sukar bagi majoriti orang Cina yang mahu memaafkan Mahathir, kerana mereka masih teringat ratusan peniaga Cina yang rosak rumah-tangganya kerana ada di kalangan mereka yang membunuh diri kerana jatuh muflis. Yang paling menjijikkan masyarakat Cina sekarang ini ialah gelagat Mahathir yang mudah bangun bila melihatkan jentikan jejari segelintir korporat Cina yang sememangnya amat keparat. Kalau masyarakat Cina boleh mencemuh Mahathir seperti ini, apakah salah apabila segelintir orang melayu yang marahkan Mahathir mencemuhnya dengan perkataan 'laknatullah'?


  • Salah satu sebab kenapa kejatuhan ekonomi negara dapat ditampung sehingga ayunanya ke atas semakin kencang ialah kerana harga minyak yang naik mendadak di luar jangkaan dan penakrifan para perancang ekonomi negara dulu. Kini, harga minyak akan terus naik lagi walaupun OPEC berusaha menaikkan kuota pengeluarannya. Sejarah harga minyak dunia selalunya mengikut satu trend yang seakan sama secara pusingan roda pedati. Harga akan dijangka naik lagi sehinggakan satu tahap ia akan menurun dan terus menjunam.

    Ketika itu kapal minyak yang besar-besar akan terapung-apung di lautan dengan minyak yang tidak ada pembelinya. Itulah ketikanya apabila banyak syarikat multinasional yang hampir muflis dan dijual dengan harga yang murah. Trend turun naik harga minyak ini selalunya menjadi pengamatan Jepun, Taiwan, Singapura, Israel dan China. Mereka kini merupakan tuanpunya banyak syarikat besar di dunia sehinggakan Amerika tidak berupaya menggugat ekonomi mereka sembarangan. Kelima-lima negara ini mengimpot minyak yang mereka perlukan setiap hari.

    Sepatutnya Malaysia berada satu kelas dalam kumpulan ini, kalaulah wang kumpulan Petronas tidak diselewengkan oleh Mahathir. Tetapi apalah yang kerap diucapkannya ketika bersyarahan keliling dunia mengenai ekonomi negara. Dia kerap berkata betapa dia bijak memperbaikki keadaan mengikut acuan fikiran sendiri. Bullshit....!!!! itulah jawapan yang sesuai untuknya.




Sampai Bila Mahathir Mahu Bersandiwara


Negara sedang memasuki gerbang kegetiran ekonominya. Keresahan rakyat semakin ketara. Rakyat semakin sedar kalaulah negara tidak membazirkan harta kekayaan yang dialirkan melalui Petronas, banyak perkara boleh terlaksana di negara ini tanpa Malaysia meminjam dan mengemis di luar negara.

Sepatutnya kalau Mahathir pandai mentadbir negara, kita rakyat Malaysia tidak payah membayar tol di lebuh raya. Malahan, kita tidak perlu membayar cukai jalanraya.

Harga barangan semakin tinggi kerana kita membayar satu perencanaan yang silap besar oleh pihak Barisan Nasional. Banyak projek yang dikendalikan di negara ini telah menggunakan tenaga pekerja asing. Harga kemasukan mereka terlalu tinggi disebabkan kos korupsi dan upah yang berbentuk rasuah. Lihat di Timur Tengah terutama sekali di U.A.E., pendatang asing yang bekerja di sana adalah lima kali ganda daripada penduduk pribumi negara itu (Abu Dhabi, Fujirah, Rasal Khaimah, Dubai dan Sharjah). Kos tenaga boroh tidak tinggi kerana adanya satu program bagaimana kemasukan orang asing dihalalkan secara bersistem. Mereka masuk dengan didaftarkan tanpa perlu bayar banyak wang kepada kerajaan. Tetapi, pengawalan ketat dilaksanakan setelah masuk. Mereka tidak dibenarkan berniaga. Kalau yang lelaki mahu membawa isterinya memang digalakkan. Tetapi, kalau lahir anak mereka, kerajaan tidak memberikan kerakyatan kepada si anak itu. Setiap pendatang asing digalakkan (sebenarnya dimestikan) untuk pulang ke tanahairnya setiap dua tahun dengan membawa apa juga yang mereka perlukan: alat-alat eletkronik dan juga kereta. Kemudian mereka dibenarkan masuk untuk bekerja semula.

Tetapi, kemasukan sebahagian besar rakyat asing di negara ini dikenakan kos yang tinggi kerana permit membawa masuk itu difaraitkan kepada golongan kroni semata-mata. Mereka bergoyang kaki sedangkan kerja sebenar di sabkan mungkin lima lapis di bawah sehinggakan para pekerja memerlukan gaji yang tinggi untuk menampung modal kering kemasukan mereka itu. Ada pekerja yang tidak pun menerima gajinya sehingga hampir tempoh tamat perkhidmatan mereka. Ramai yang terperangkap kerana ditangkap di musim penghujung kontrak kerana majikan yang merancang agar mereka ditangkap.


Di waktu yang sama keadaan kehidupan di negara ini adalah lebih lumayan jika dibandingkan di beberapa negara asal si pendatang itu. Kerana itu mereka sanggup menanggung risiko bekerja tanpa pas dan permit ataupun dengan melanggar aturan permit kerja yang asal. Semua risiko itu mampu ditanggungi kerana konsep rasuah di mana perlu dan bila diperlukan. Kenapakah perkara ini berleluasa, kalau bukan disebabkan orang atasan pun menikmatinya, bukan?


Kerana itulah lesen terbang berterbangan kerana pendatang haram pun boleh membelinya dan mampu diambil bekerja oleh majikan rakyat negara ini. Begitu juga dengan tempoh tinggal pada pendatang itu. Siapakah yang mahu pertikaikannya kalau mereka itu yang membanjiri pusat hiburan dan mampu membeli bir secara berjag-jag dan tikaman judi secara beratus ringgit setiap pertaruhan? Bagaimana pula dengan kemudahan penghibur di rumah jalang? Semua maksiat ini dipermudahkan kepada pendatang asing seperti juga mereka dipermudahkan mendapat tanah (dengan ihsan pemimpin UMNO sahaja) untuk mendirikan rumah batu yang lebih besar daripada yang termampu oleh majoriti orang melayu di negara ini.


Kalau kita lihat keadaan perniagaan di jalan Raja Alang dan persekitarannya, kita dapati 99% peniaga di situ adalah orang pendatang, kebanyakannya tidak pun mempunyai surat kemasukan yang sah. Lihat bagaimana mereka boleh berniaga dengan menutup ruang pejalan kaki di kebanyakan lorong di situ, sehinggakan terang-terangan di siang hari di Chow Kit. Siapakah yang mampu menegahnya? Tetapi, kalau ada orang Melayu tempatan yang cuba berniaga cara itu, segala jualannya itu akan diangkut oleh penguatkuasa bandaraya.

Bagaimanakah perkara begini boleh berlaku? Kawasan ini adalah di bawah penyeliaan Dato' Drs. Sulaiman Mohammad, yang merupakan anak jati Kampung Baharu. Nampaknya sejak media massa memberikan gelaran Doktor kepadanya, Sulaiman sudah semakin tidak berupaya menyekat penaklukan orang seberang ke kawasan parlimennya.


Kalau Bapak Sudah Borek...


Kedaan negara, seperti yang ditulis oleh Mat Teropong memang semakin getir. Mahathir faham akan keadaan itu, kerana itulah juga bunyai laporan perisik kerajaan yang melapor kepadanya. Tidak ada stabiliti dan penentuannya. Orang putih kata: Too many uncertainties (terlalu banyak tidak keruannya). Semakin jelas kini Mahathir sudah gagal menerajui pemerintahan negara. Dia sepatutnya berundur secara terhormat sebelum terlambat:

Mahathir sudah semakin tidak stabil dalam bertindak. Contoh terbaik ialah dengan penamatan khidmat Tajuddin Ali. Apabila Jamaluddin Jarjis diumumkan sebagai pengerusi baru TNB, pasaran saham bergolak dan sejak itu keadaan pasaran terus bergelora. Mahathir cuba memperbaikki keadaan dengan melantik semula Tajuddin Ali. Apakah dia fikir, Tajuddin tidak ada maruah diri? Tindakan menawarkan balik jawatan CEO kepada Tajuddin sebenarnya merendahkan maruah diri Mahathir dan bukannya Tajuddin. Perkara ini lebih diburukkan oleh keperibadian Jamaluddin Jarjis yang memang tidak disenangi oleh para pekerja TNB terutama sekali golongan professional yang sudah lama dicemuh oleh keceluparan JJ sendiri. Apa akan jadi akhirnya, kalau bukan satu organisasi yang berkecamuk kerana berkuburnya semangat 'espirit de corps' (setiakawan) di kalangan para pekerja organisasi itu? Sikap malas untuk bertugas dengan jujur memang sudah lumrah di banyak pejabat kerajaan, kerana mereka terlalu jelek dengan tingkah laku Mahathir dan para juak UMNO beliau. Sekaligus, semangat berkhidmat kepada negara yang berkobar selama ini sudah pun lama terbukur.

Cara menggugurkan Tajuddin tentunya menjadi satu tandatanya kepada banyak pihak. Apatah lagi setelah melihat bagaimana Dato Wira Mohamad Said digugurkan daripada Telekom bulan yang lalu. Harga saham Telekom terus jatuh sejak itu dan belum betah lagi. Kini, keadaan yang sama melanda TNB. Apa pula yang akan berlaku esok dan lusa kepada oraganisasi yang mempunyai dana yang besar?


Dalam banyak hal kita boleh pertikaikan perwatakan Mahathir masakini. Dia telah naik menerajui UMNO kali ini tanpa dipilih oleh ahlinya. Sekaligus dia kekal sebagai perdana menteri. Dia telah mencengkam kuasanya dengan menuduh Anwar dengan barangan bukti yang 'cukup' untuk ditunjukkan kepada mahkamah. Tetapi, dia enggan untuk hadir ke mahkamah apabila diminta. Kini, dia mempunyai bukti betapa Al Maunah dan Siqui adalah kumpulan komunis. Apakah Karpal Singh sebagai peguambela akan berjaya meminta mahkamah mengeluarkan sapina meminta Mahathir menunjukkan bukti itu?



Bagaimana pula kalau ada sekumpulan rakyat Terengganu yang bertindak menyaman Mahathir kerana ura-uranya menukarkan tafsiran royalti minyak menjadi sumbangan ihsan? Kalau di setiap jajahan dan mukim Terengganu itu akan muncul kumpulan yang bertindak demikian, apakah tidak mungkin satu saman itu melekat dan mengenai Mahathir? Mampukah dia menangkis semua itu kalau bukti sahih daripada segi undang-undang akan memperlekehnya? Sudah tentu kali ini Mahathir tidak boleh memproksikan kerja tangkis menagkis itu kepada seorang panglima komando tentera!!!!


Demikianlah bagaimana negara ini akan terus kucar-kacir gara-gara kelakuan Mahathir yang semakin ganjil dan semakin menjijikkan. Keadaan mencelaru ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan, kerana tetamu asing yang bercuti sepanjang karnivel jualan murah "Merdeka" itu akan pulang juga akhirnya ke negara sendiri. Mereka tentu bercerita akan hal Malaysia yang satu ketika dulu merupakan negara pilihan mereka. Tetapi kali ini mereka tentu bercerita akan sebuah negara pilihan itu dalam nada yang negatif. Tentunya mereka akan berkata bahawa Malaysia sedang dilanda musibah kerana perangai seorang diktator tua yang tidak mahu bersara.



Sejak penyingkiran Anwar Ibrahim, Mahathir sudah menyerlahkan betapa dia sanggup memusuhi rakyatnya sendiri. Sejarah tamaddun dunia menunjukkan, apabila seorang pemimpin negara yang popular sanggup memusuhi rakyatnya semata-mata untuk terus berkuasa, maka itulah titik permulaan akan kejatuhannya.


Demi maruah anak-anak dan cucu-cicitnya, kita amat mengharapkan Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri Malaysia dan berundur daripada arena politik untuk sementara waktu. Inilah jalan yang sebaik-baiknya kalau dia mahu menyelamatkan para zuriatnya. Inilah juga jalan yang paling mustajab untuk para juaknya yang kini terperangkap di antara menyokongnya kerana termakan budi dan menentangnya kerana memikirkan kepentingan diri sendiri.


Keranamu Malaysia, hari-hari terakhir untuk Mahathir sudah semakin ketara. Hanya menunggu penentuannya sahaja. Apabila sampai ketikanya, seribu titisan airmata tidak akan membawa kesan. Seratus bait gurindam-seloka tidak akan mengubah perasaan. Mahathir dan para juaknya harus faham akan perkara ini kerana apakala tiba masanya, seribu laras senapang, ratusan belantan dan perisai para penggempur terlatih dan puluhan kereta pancutan air berasid tidak akan mampu membendung arus gelombang manusia yang mahukan kulit kepalanya.



Marhaintua
12 September, 00