Laman Webantu   KM2A1: 2732 File Size: 29.6 Kb *



KTLBELB 28: Yang Berkibar dan Berkobar
By Marhain Tua

7/9/2000 11:58 am Thu


Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila

Bahagian 28


YANG BERKIBAR DAN BERKOBAR


Ada satu emel yang baru dierima berbunyi begini:


"Di mesyuarat bulanan antara Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan Ketua-Ketua Jabatan Awam pada .....September, 2000 lepas, KSN menyampaikan arahan Perdana Menteri kepada Kementerian dan agensi-agensi awam yang terlibat untuk meningkatkan permantauan ke atas semua laman-laman reformasi supaya lebih berkesan lagi.

"Tujuan meningkatkan permantauan yang sudah pun lama dijalankan adalah untuk cuba mengesan webmasters dan menangkap mereka di bawah ISA.

"KSN juga suruh sampaikan arahan kepada TMNet dan jaring supaya meningkatkan usaha mereka. Juga terlibat adalah suatu unit khas kepunyaan suami Shahrizat yang beroperasi dari Cyberjaya yang diberi RM20 Juta tahun lepas tetapi belum mendatangkan 'hasil'.


"Dr. Mahathir tegaskan bahawa beliau inginkan 'results' secepat mungkin."


Emel di atas datang daripada sumber yang boleh dipercayai, setakat ini. Dengan demikian, isi berita itu perlu dianalisa untuk menjadi satu dorongan kepada rakyat marhaen memahami apa yang sedang dilakukan oleh Pengendali Web Reformasi selama ini. Terutama sekali bahaya dan risiko yang mereka lalui untuk membawa satu arus kesedaran kepada rakyat.


Siapakah Lebih Berkuasa Selain Allah ?


Pernah satu ketika dulu saya menulis dan berkata bahawa manusia boleh lakukan apa saja yang difikirkannya munasabah untuk mengekalkan kuasa yang ada. Tetapi, kuasa veto dalam perencanaan itu tetap berada di tangan Allah Yang Maka Berkuasa. Kalau inilah yang menjadi pegangan hidup kita, bererti nasib masa depan rakyat marhaen dan juga Malaysia bukan di tangan Mahathir atupun para juak dan jongosnya.


Satu ketika dulu ketika Jepun menjajah Malaysia, terdapat satu kumpulan talibarut yang bertungkus lumus memihak kepada penjajah daripada Negara Matahari Terbit itu. Salah satu tugas mereka ialah mengesan sesiapa yang mempunyai radio ataupun yang mendengar radio. Orang Melayu, tidak pun gentar sehingga mencampakkanya ke sungai dan telaga. Mereka terus mendengar radio itu secara senyap-senyap untuk mengetahui kedudukan tentera pembebasan yang dianggotai oleh orang Melayu yang ketika itu berada di dalam hutan.

Begitu juga halnya ketika negara dijajah oleh kumpulan bintang tiga yang berlagak sakan sebaik sahaja Jepun menyerahkan Malaya ke tangan British semula. Di sana sini ramai orang Melayu yang ditangkap dan dibunuh, tetapi masyarakat Melayu pada dasarnya tahu bahawa yang dibunuh itu pernah menjadi talibarut Jepun satu ketika dulu. Tetapi, pembunuhan sebagai membalas dendam itu tentunya tidak boleh berlarutan sehinggakan orang yang tidak berdosa pun boleh ditangkap dan dihukum oleh 'Bintang Tiga' . Bermula dari situ orang kampung mula bersatu dan mempertahankan keselamatan kampung mereka. Kumpulan 'Bintang Tiga' mengalah dan mula berlembut semula dengan orang Melayu di desa. Tetapi, taktik itu tidak menjadi kerana mereka sudah pun dimusuhi.


Setelah muncul kembali British di Persekutuan Tanah Melayu, taktik yang pernah digunakan oleh Jepun dan juga 'Bintang Tiga' telah diciplak oleh British untuk menempatkan para talibarut sekeliling kota, kampung dan desa. Lahirlah satu kumpulan perisik khas British yang diberikan keistimewaan yang tidak ada pada orang kampung. Muncullah benggali roti, penjual susu segar dan penjual gula-kapas dripd India. Kemudian, wujudlah kedai kopi yang diusahakan oleh golongan yang dikenal sebagai Mamak dan Benggali Mendatang, sedangkan orang Melayu sendiri pun amat samar daripada mana mereka datang. Inilah golongan yang berniaga barang makanan, samada yang mentah ataupun yang sudah dimasak. Samada yang baru dimasak ataupun baru dipanaskan sehingga ada kari yang disebut 'Century Curry' kerana ibu kari itu tidak pernah dibuang sehinggalah satu waktu tuannya perlu pulang ke India, Pakistan dan Bangladesh untuk berada di kampung halamannya. Mungkin di Madras (Tamilnadu), Bombay (Mumbai) ataupun di Cochin (Kerala) atau di mana sahaja di Benua India itu.


Kemunculan talibarut khas British yang datang semula itu amat disenangi oleh masyarakat Melayu secara diam-diam sahaja kerana orang Melayu pun masih merempat hidupnya ketika itu setelah dihenyak oleh satu pengalaman yang amat pahit. Maklumlah, baru sahaja melalui satu era penjajahan yang dahsyat oleh Jepun dan Bintang Tiga. Pihak British pula terpaksa melancarkan satu sistem pentadbiran yang perlu diperbarui semula, setelah berlakunya keaiban disebabkan penarikan tentera mereka ketika diserang oleh Jepun dulu. Sistem pembaharuan itulah yang akhirnya dikenal dengan Rancangan Malayan Union.


Toleransi orang Melayu dianggap oleh British dan kaum mendatang sebagai satu budaya Melayu yang murni. "Orang Melayu adalah satu bangsa yang lemah lembut dan mudah bermesra dengan sesiapa." Demikianlah catatan sejarah yang ditulis oleh semua bangsa mengenai orang Melayu. Itulah perangai semula jadi yang ditulis dan dirakamkan sebagai gambaran siapakah orang Melayu itu. Sebenarnya, berlemah lembut dan bersopan santun memang merupakan ciri-ciri semulajadi orang Melayu. Kerana itu, ciri-ciri itu diberikan penekanan sebagai satu tipu helah penjajah yang baru untuk memutarbelitkan minda orang Melayu. Pada dasarnya orang Melayu ketika itu memang sungguh merana hidupnya, kerana mereka masih tertekan dan masih merasakan kehilangan ahli keluarga berperang menentang Jepun dan Bintang Tiga. Apalagi dengan serangan malaria dan penyakit lain yang teruk-teruk yang tidak pun ada ubat mujarabnya, selain bergantung kepada madu dan herba serta jampi serapah untuk mengubatinya. Lagipun masyarakat feudal melayu ketika itu banyak bergantung-harap kepada Tok Pengulu dan Tok Imam untuk membuat keputusan ke atas halatuju kehidupan keluarganya. Orang melayu ketika itu hidup dengan sifat kekeluargaan dan kemasyarakatan. Sifat membuat keputusan untuk diri sendiri tanpa berunding dulu dengan ahli keluarga bukannya satu budaya Melayu lama.


Toleransi yang berpanjangan yang disemai begitu lama oleh penjajah mampu memutarkan minda melayu hingga ke hari ini. Impaknya ialah kesediaan Melayu menerima orang yang bukan Melayu tetapi mengaku dia dan mereka itu Melayu menganggotai parti Melayu yang dianggap parti keramat satu hari dulu. Lihat, berapa ramaikah orang Melayu yang sedar akan kehadiran beberapa individu yang tidak pun ada setitik darah Melayu di badan mereka, untuk menjadi pemimpin dalam UMNO, baik dalam parti induk, mahupun Pergerakan Wanita dan juga Pergerakan Pemuda UMNO. Minda Melayu itu sudah menjadi begitu mudah diputar-putar sehinggakan orang Melayu sanggup menerima kepulangan anak-anak raja yang belajar di istana dengan penuh kesedaran ramai di kalangan mereka itu tidak pun pandai bertutur bahasa ibunda mereka apatah lagi mengamalkan ajaran ugama Islam. Begitulah dahsyatnya minda Melayu yang diputar-putar sehinggakan berhadapan dengan raja-raja yang mereka pertahankan selama ini dengan darah dan tulang empat kerat mereka orang melayu masih rela diajar berampun, berpatik serta berhamba abdi. Orang Melayu sebenarnya tidak belajar daripada sejarah bangsanya apatah lagi daripada sejarah bangsa yang lebih lama bertamaddun darinya.




Implikasi Toleransi Membabi-buta:


Toleransi taat-setia terhadap ketua dan raja-raja menjadi satu kemestian dalam kehidupan orang Melayu sehinggakan minda Melayu itu telah dipahat dengan ajaran yang keras seperti ini:

  • Fahaman bahawa 'di mana bumi dipijak di sanalah langit dijunjung', tetapi apakah itu yang dilakukan oleh hampir semua ketua orang Melayu yang ada? Kalau rakyat dimestikan memberi penghormatan yang tinggi kepada ketuanya bukankah pernghormatan yang sama mesti dicurahkan oleh si ketua kepada rakyatnya? Kalau orang kampung diajar untuk hidup bermasyarakat kenapakah si ketua tidak menghormati fahaman itu?


  • Fahaman biar mati anak asalkan jangan mati adat - Aduh....! Fikirkanlah implikasinya fahaman ini walaupun merupakan ajaran Adat Perpatih, tetapi ia diamalkan juga di merata tempat. Kesannya kita lihat sejak dulu kala lagi sesiapa yang sanggup menyanggah si ketua kampung terpaksa lari keluar kalau tidak rumahnya dibakar dan suku sakatnya dipinggirkan oleh masyarakatnya;


  • Fahaman 'enggang bersama enggang dan pipit bersama pipit'. Inilah fahaman yang membuatkan hampir semua Wakil Rakyat terlupa yang mereka itu adalah proksi kepada rakyat dalam tugas memperbaikki status kehidupan rakyat. Siapakah yang mereka perkayakan selama ini? Inilah juga yang membuat golongan istana lupa daratan. Ramai yang pergi berubat ke luar negara di bulan Ramadhan sedangkan kepakaran yang dicari di luar negara itu memang sudah lama ada di kalangan rakyat jelata. Sehingga kini pun ada golongan istana yang suka berpoya-poya di kasino luar negara. Malahan ada yang masih tidak sedarkan diri betapa ketuanan Melayu yang satu ketika dulu di amanahkan kepada majlis raja-raja kini sudah lama disambar oleh golongan yang rakus yang bertopengkan parti 'keramat' (hehe) orang Melayu.



    Apabila orang Melayu terus bersikap toleran kepada orang atasan yang sebenarnya memegang kuasa sebagai amanah rakyatnya, akhirnya jadilah satu pertembungan di antara golongan atasan dengan golongan bawahan. Hidup orang Melayu itu kini laksana satu kepala keretapi (Loco) dan gerabaknya. Apabila Loco itu mengiring ke kanan mengikuti landasan yang berselekoh, seluruh gerabak yang mengikutinya akan turut mereng sama. Inilah yang dikatakan rukun hidup orang Melayu, semuanya mesti harmoni dengan tingkah laku dan perangai orang atasan. Orang Melayu itu pada dasarnya adalah laksana bidalan orang Parsi Kuno: "Ikan mula busuk daripada kepalanya."


    Inilah fenomena yang menghantui orang Melayu. Apabila orang atasan menjadi terlalu korup, orang bawahan pun terikut sama. Tetapi, kebusukan itu hanya terjadi dalam satu sistem ataupun badan yang sama. Selepas itu barulah ia menular ke tempat lain. Apabila penularan itu berleluasa, usaha untuk memperbaikki keadaan tidak akan berjaya. Laksana penyakit yang mudah merebak contohnya JE; ia tidak dapat dikawal dan dibenteras dengan membendung sumber penyakit di tempat yang sedia ada. Langkah pencegahan terpaksa di seluruh negara.




    Asas Agama Yang Jauh Menyempang


    Putaran minda orang Melayu berjaya dilakukan oleh British satu ketika dulu sehinggakan teknik memutar minda ini mudah disambung sekarang ini oleh parti yang memerintah. Kalau kita perhatikan baik-baik akan perkara ini kita boleh buat rumusan betapa semua itu mampu dilakukan ke atas orang Melayu sejak dulu kala disebabkan ajaran agama Islam yang dipelajari oleh sebilangan besar orang Melayu dulu adalah ajaran yang tidak tepat. Terlalu banyak yang menyimpang daripada ajaran yang sebenar. Bayangkan perkara ini:


    Orang Melayu diajar bertaqwa kepada Allah tetapi di waktu yang sama diminta menyembah kepada raja-raja dengan kata-kata "Ampun Tuanku Beribu ampun....sembah patik harap diampun." Sekaligus kita mampu berkata: Ah......itu budaya lama! Tetapi, itulah budaya ikutan yang menyebabkan orang Melayu itu menjadi satu bangsa yang amat pekat kefahaman taat-setianya sehinggakan kesetiaan kepada ketua itu menjadi satu budaya Melayu. Sehinggakan sistem kesetiaan dan ketuanan Melayu boleh mendorong sesiapa yang tertekan untuk bernekad mengamuk dan akhirnya memusnahkan diri dan harapannya.

    Disebabkan gejala itulah makanya di istana raja-raja hingga ke hari ini masih lagi ada insan yang diberi gaji lumayan untuk menjadi Pawang istana, pawang dalam, pawang luar dan sebagainya. Kerana itu juga kita kerap lihat majlis yang menyalahi ajaran islam diamalkan dan dipraktikkan secara gah dan riak di mana pawang isatana memainkan peranan utama. Bayangkanlah bagaimana perkara ini boleh berlaku sedangkan di istana itu ada guru agama dan ada mufti khas yang menasihatkan raja-raja tentang selok belok beragama. Kalau kepala keretapi boleh berkecamuk tentulah perjalanannya terhencot-hencot sehinggakan ada gerabak yang tergelincir akidahnya tanpa dapat dikesan dengan pantas dan sopan.


    Salah satu contoh bagaimana Islam dicampur-adukkan dengan ajaran yang songsang boleh dilihat dengan apa yang berlaku di Singapura sekarang ini. Berapa ramaikan anak Melayu Singapura yang boleh mengaji dan membaca Al Quran? Berapa ramaikah yang sudah murtad dan kini ada pula yang datang ke Malaysia sebagai pengembang agama Kristian? Kenapakah orang Melayu Singapura tidak bangkit ketika British menyerahkannya kepada Malaysia untuk meredeka dan berapa ramaikah pula yang sanggup berfikir untujk mendapatkan kerakyatan British apabila Singapura menarik diri daripada Malaysia? Apa yang berlaku kepada Melayu Singapura pada dasarnya adalah disebabkan sikap 'Sambil Lewa dan Tidak Apa' di kalangan mereka. Mungkin juga ketika itu orang melayu yang berpengaruh bukan sahaja setakat Osman Wok penulis cerita hantu di utusan melayu ataupun Abdul Samad Said dan Abdullah Ahmad. Masyarakat Melayu Singapura ketika itu lebih perihatin kepada pendapat pelakun dan artis Melayu yang berlagak sakan dalam dunia hiburan dan perfileman, sehinggakan mereka tidak sedar bahawa negara tumpah darah sendiri sudah pun diambil orang. Kerana apa? Kerana terlalu taksub kepada kepimpinan dan ketuanan mereka sahaja. Apabila ketuanan itu sumbang dan pincang, maka sumbing dan terpancunglah martabat masyarakat yang mendewakannya.


    Demikianlah halnya dengan perjalanan kehidupan orang Melayu itu yang terus berada di persimpangan jalan. Tidak mudah mencari jalan lurus yang panjang, sentiasa sahaja dihantui persimpangan jalan yang sengaja diada-adakan.


    Kepimpinan UMNO Dan Landasannya


    Sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan, konsep memutar minda Melayu berterusan dengan galaknya. "ampun tuanku, ampun tuanku dan daulat tuanku...." terus berkumandang, tetapi siapakah yang bersukaria ketika itu dan siapa pula yang hina-dina? Komunis mencabar dan mengancam keselamatan negara. Anak Melayu dikerah merata belantara mengejar mereka sedangkan sebilangan besar pengikut komunis hanya berada di kem perkampungan yang dijaga rapi di setiap malam. Makan dan minum mereka di sediakan, lampu letrik dan bekalan air disalurkan. Orang melayu kampung hidup terus merempat, mencari sesuap nasi untuk terus hidup melarat. Semua ini berlaku ketika UMNO sibuk mengubah sistem ketuanan Melayu daripada berada di tangan raja-raja kepada segelintir ketua yang semakin rakus nafsunya.


    Cuba kita tanya diri kita berapa ramaikan di kalangan keluarga istana yang kini berkhidmat dengan angkatan tentera dan polis diraja ? Berapa ramaikah pula anak-anak dan cucu-cicit pemimpin UMNO yang kini menganggotai pasukan bersenjata? Jangan haraplah.......! kalau tidak ada orang kampung, tidak ada pasukan polis dan tentera. Tetapi, kenapakah anggota polis dan tentera semakin diperlekehkan? Kerana ketua mereka seperti Rahim Noor yang datang daripada desa pun boleh berpaling tadah dan sanggup menjual maruah untuk menentukan ketuanannya terus kekal.

    Kelakuan golongan istana Melayu jauh menyimpang daripada yang terbayangkan oleh Melayu lama yang satu ketika bermati-matian mempertahankan golongan itu. Dari situlah munculnya Hikayat Hang Tuah, Cerita Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Panglima Sagor dan sebagainya. Tingkah laku masyarakat istana itu tidak selari dengan tingkah laku Melayu sejagat kerana inilah kumpulan yang tidak boleh dikritik oleh rakyatnya disebabkan adanya peruntukan khas dalam perlembagaan negara. Impaknya apabila anak raja memukul lawan sepermainan di balapan hoki, dia dibebaskan. Apabila ada anak raja yang memanggil seorang lelaki kerana dia teringinkan si isteri cantik si lelaki itu, sang suami tidak mampu berbuat apa-apa, kerana semangat juang di hatinya memang sudah lama tiada.


    Sejak dua puluh tahun yang lalu, martabat istana itu hanya tinggal indah kabar dari rupa. Istana raja dan keangkuhannya diharumkan kerana dari istana makanya timbul segala bintang gelaran yang menaikkan martabat rakyat marhaen. Melalui gelaran dan bintang, Penyamun Wong bertukar menjadi Tengku Wong, si pembuat batang penyapu bergelar Tan Sri dan terus menyapu khazanah negara dengan lebih bebas lagi setelah dia dilindungi oleh payung negara.

    Tetapi, cuba renungkan siapakah mereka itu asalnya? Bukankah mereka dulunya merempat di hutan rimba mencari bijih dan balak sambil membawa bekalan untuk makanan kumpulan yang memberontak dan berselindung dalam hutan? Apa pula yang terjadi kepada askar dan polis yang dikerah menghambat mereka di hutan belantara itu? Lihat sekarang berapakah pencen mereka? Berdasarkan sarahidup sekarang ini, apakah pencen para parajurit malahan bekas kakitangan kerajaan itu, mencukupi? Adakah sesiapa di kalangan pemimpin politik yang memikirkan hal ini? Di manakah martabat bangsa Melayu kalau kita jenguk kawasan setinggan di merata negara dan terjumpa bekas askar dan polis yang melarat hidupnya? Bukankah itu satu gambaran jelas bahawa wang pencen yang mereka terima itu tidak memberi sebarang makna?

    Tetapi, sebagai perbandingan, warga istana mudah hidup berpoya-poya, walaupun sumbangan mereke kepada negara tidak sebesar mana. Warga wakil rakyat yang sudah pencen hidup penuk eksen kerana mereka menerima pencen walaupun khidmat mereka tidak seberapa. Yang jelas, rakyat marhaen yang pencen hidup terus merempat walaupun khidmat mereka ketika muda dan bertenaga memang khidmat yang sungguh hebat.


    Sejarah golongan yang tertekan hanya akan difahami oleh masyarakat bangsa yang tertekan. Kerana itu kita perhatikan ramai anak-anak muda Malaysia daripada pelbagai kaum bersatu menyanggah kepimpinan Mahathir. Mereka faham akan selok belok sejarah negara selepas perang dunia ke-dua. Mereka tahu apa ertinya Hak Keistimewaan Orang melayu kerana itu adalah sebahagian khazanah negara. Tetapi, mereka juga bukan buta apabila Hak itu dijadikan isu untuk Pemuda Umno mengugut orang lain "agar tidak menjolok sarang tebuan". Sebagai rakyat berpendidikan tinggi, ramai anak muda Malaysia yang membenci Mahathir dan mereka semakin faham bahawa orang Malaysia tidak suka menjolok tabuan kerana mereka lebih pintar memelihara lebah dalam sangkar untuk mendapatkan madunya. Mungkin ramai orang bukan Melayu dalam Pemuda UMNO yang tidak tahu ilmu pengetahuan itu.


    Rekod kerajaan menunjukkan bahawa sebilangan besar anggota tentera dan polis sekarang ini mempunyai saudara tua yang pernah menjadi anggota yang sama. Dengan lain perkataan semangat mempertahankan negara secara memikul senjata sudah menjadi darah daging mereka. Tetapi, cuba lihat kebanyakan Tan Sri, Datuk Seri dan Datok-Datok (dari kalangan yang bukan Melayu) yang mendampingi seorang diktator tua sekarang ini, siapakah mereka asalnya? Majoriti mereka itu tidak pun lulus MCE (Malaysian Certificate of Education), OSC (Overseas School Certificate) ataupun SPM. Kalau mereka mampu mendampingi seorang perdana menteri bererti mereka mampu mempengaruhi pendirian seorang perdana menteri dalam menyalahgunakan kuasanya. Sekaligus mereka mampu memperlekehkan majoriti orang Melayu.


    Di dalam hidup ini kita tidak perlu merasa irihati atas kejayaan sesiapa. Itu terpulang kepadanya kalau mahu jadi seorang hartawan ataupun dermawan. Tetapi, dalam dia meniti tangga kekayaan itu kita dapati dia meyimpang daripada asas hidup sehat sehinggakan mampu menekan sebilangan besar rakyat negara ini. Orang itu layak ditakrif sebagai pengkhianat bangsa. Tidak kira kalau dia masih memegang kuasa politik ataupun tidak. Kita mesti memeranginya mati-matian, kalau boleh.


    Satu ketika dulu, sebilangan besar orang Melayu telah mengamanahkan tugas menyuburkan negara dan tugas memperbaikki taraf hidup rakyat negara ini terutama sekali orang melayu kepada satu kumpulan pemimpin Melayu dalam UMNO. Dengan kata mudah, orang melayu telah bergantung harap kepada UMNO untuk memartabatkan darjat bangsa Melayu ke satu mercu kejayaan yang menyelerakan. Apa jadinya?


    Setelah merdeka selama 43 tahun, orang melayu masih merempat di negaranya. Laksana itek yang kehausan di lautan yang luas dan ayam kematian di kepuk padi, orang Melayu masih merana lagi. Perjalanan hidup orang Melayu itu bukan sahaja panjang, tetapi ia kerap berhadapan dengan persimpangan yang sentiasa diada-adakan. Janganlah ada sesiapa yagn terus berlagak mengatakan perjuangan melayu itu masih panjang, sedangkan di hadapan sana ada satu persimpangan jalan yang masih belum mampu dilalui lagi.


    Bayangkan perkara ini:

    Raja-raja kata orang Melayu mesti bersatu tetapi ada pemimpin Melayu yang berkata kemungkinan Melayu membaling bom molotov untuk berbuat kacau. Pemimpin berkata jangan dengar desas desus dan surat layang, tetapi wira dunia ketiga sanggup mempercayai surat layang seorang dara tua. Pemimpin yang sama pernah mengaitkan kelakuan liar budak sekolah sebagai mereka yang telah dipengaruhi oleh parti pembangkang.


    Rakyat disuruh mengetatkan tali pinggang agar tidak boros. Di waktu yang sama kementerian budaya dan pelancungan memasang iklan di teksi dan kenderaan awam dan juga di setiap akhbar perdana untuk menarik minat oang berbelanja besar untuk satu bulan lamanya. Rakyat disuruh menyokong pembelian kereta PROTON, di waktu yang sama menteri perdagangan mengeluarkan AP (Approval Permit) untuk kemasukan kereta buatan asing.


    Di minggu terakhir bulan Ogos, terpampang berita lesen terbang yang dikeluarkan oleh sindiket haram. Saya pernah menulis akan hal ini kira-kira satu tahun yang lalu. Saya mendedahkan betapa lesen terbang ini bermula sejak sebuah komputer terbakar dalam kebakaran di JPJ Ipoh, dulu . Saya bangga dengan pendedahan sindiket ini. Tetapi kita mahu tanya sedikit, kerana ada peminat yang minta ditulis soalan ini. Di pejabat manakah anak-anak para menteri menerima lesen memandu mereka? Kalau lesen terbang sudah lama berleluasa, berapa ramaikan di kalangan artis galamor dan sukusakat VIP UMNO yang mempunyai lesen seperti ini?


    Memang banyak lagi soalan yang telah dikemukakan untuk disampaikan; cukup dulu setakat ini. Yang lebih penting sekali kita mesti fikirkan betapa halnya dengan pemandu yang bebas di jalan raya dengan lesen terbang itu? Bukankah pemandu seperti itu bakal membunuh orang lain secara 'tidak sengaja' ? Bagaimanakah dosa para ahli sindiket ini dibandingkan dengan dosa seorang insan yang dilebamkan matanya?


    Bila Ular Bersalin Kulit


    Demikianlah berkobarnya semangat bangsa Malaysia di tahun ke 44 negara mengharungi kemerdekaannya. Ia bermula dengan kempen mengibarkan bendera yang gagal segagalnya. Kenapa? Kerana rakyat sudah getek dan muak dengan kepimpinan yang ada. Kini, kita lihat semua lapisan manusia sudah berani bersuara mahukan perubahan dalam kepimpinan negara.

    Sebisa-bisa ular, ia bersalin kulit dengan cara si ular menarik hujung ekornya. Dari situ bermulalah proses di mana otot ular menarik lapisan kepala sehinggalah ke ekornya. Apabila proses bersalin kulit itu berlaku, ular akan terdiam dan kepalanya terus menjadi kaku. Kemedian gamaknya yang akan berlaku kepda orang Melayu. Selama ini kepala asyik menggigit ekornya. Hanya menunggukan masa sebelum ular itu bersalin terus kulit yang jijik dan tercemar itu.




    Memahami Kebangkitan Rakyat


    Rakyat dari pelbagai latarbelakang sudah bangkit. Laksana air yang deras mereka muncul di satu ruang yang sempit selama ini sehinggakan aliran air itu sudah melimpah ke tebingnya. Lihat saja tulisan yang dilakukan oleh MGG Pillai, Sabri Zain, Amin Sapiro, Pengulu Cekau,Ibrahim Baba, Cucu Datok Bahaman, Matdeghih, Gobalakrishnan, S. Raj, Tun Teja, Terabulsi, Tok Misai, Dahlia, HC, CWSK, Ibnu Nawawi, Kemang Suasa, Abang Long, Elniza, Ali alah Ditta, Noreen, Rubber Tapper, Osama ben Laden, Tokey Bas, Fathi Baihaqitullah, Tok Ketampi, Honda Civic, Panglima Sauk, Ummi Nasuha, TV3, Kubang Pasu, webaNtu, Panji Tengkorak, Wartawan Pencen, Polis Pencen, Pena Suasa, TMJ, Mr. Akitek, Mr. Canggih, Banker, Jebat 2020, Kim Guek, Kakak Id, Azahari S., Cik Siti, Damak. Mr. Boo, Mr. Nestea, Jinbravo, Mr. Zack, Siti Nurbaya, Martin Stephen Jalleh, Abuya, anak Melayu Jati, Nettto, Mike Chinnoy,Bomohdin, Rakyat Perihatin, Anak Melayu, Graduan PJJ, Shah1, Pensyarah Komunikasi, Dr. ,Pencarum KWSP, Ustaz Ali Muda, Pemikir, Pembaca MR, Hackerzparadise,Dr. Nologareng, Major ATM, Bob, Bapa Mahasiswa, Kolonel, Abu Abdullah, Punggok Siber, Polong Cyber, Mat Teropong dan banyak lagi. Memang banyak lagi, sehinggakan masih lagi ada yang tidak tecatit di sini kerana terlupa. Semua mereka ini termasuk mereka yang menggunakan nick ('anonymous') adalah rakyat Malaysia daripada berbilang kaum dan agama yang mahukan Mahathir mengundurkan diri sebelum terlambat. Malahan, ada tulisan seorang Cina Kristian yang menggunakan nick Beh Sai Kong (Tak Boleh Cakap). Apakah isi tulisan mereka kalau bukan kerana mahukan satu negara yang maju dan terus maju. Kerana apakah mereka menulis dengan jelas dan bersemangat itu? Kerana mereka tahu tugas menentukan keharmonian negara adalah tanggungjawab bersama. Begitu juga dengan tindakan ramai ulama muda yang sanggup tinggalkan kerja dan gaji lumayan seperti imam besar masjid negara untuk turun ke padang menjelaskan keadaan sebenar daripada kacamata Islam kepada rakyat.

    Sekaligus, amanah rakyat kepada Mahathir dan para jongosnya adalah satu amanah yang lama sudah diaibkan. Mahathir dan orang-orangnya lupa bahawa sebagai wakil rakyat mereka sepatutnya yang menyebut ampun rakyatku, ampun rakyatku .......! Kami wakil mu memang sudah lama menipu....!



    Mahathir mundar-mandir mengelilingi dunia berlagak betapa dia dapat menyelesaikan krisis ekonomi negara tanpa meminjam daripada bank Dunia dan IMF. Siapakah yang boleh percaya laungan itu kalau bukan rakyat di Afrika, kerana mereka bukannya tahu cerita sebenarnya. Kenapa tidak disebut kalau kita meminjam daripada Bank Dunia dan IMF mereka mahukan Malaysia menghentikan amalan korupsi dan kollusi? Mungkinkah anak-anak Mahathir berlagak sakan lagi kalau kita meminjam daripada tabung dana seperti itu? Kerana itu Malaysia terpaksa menjual bon Petronas dengan perimium yang tinggi kerana tidak perlu melakukan perubahan dalam sistem kroni, korupsi dan Detkasi.

    Sepatutnya di alaf baru ini Malaysia melangkah ke hadapan untuk terus maju lagi. Sepatutnya Malaysia berada jauh di hadapan di antara negara dunia ketiga. Sebaliknya yang berlaku kini, gara-gara pendekatan pimpinan yang 'myopic'. Mahathir kerap bersuara lantang ke sana dan sini berlagak betapa dia membetulkan krisis negara tanpa meminjam dana daripada Bank Dunia. Di waktu yang sama Petronas semakin tergadai. Menyedari hakikat ini royalti minyak kepada Terengganu kini bertukar nama dengan Dana Ehsan.


    Antara Royalti Dan Dana Ehsan?

    Sebenarnya siapakah yang mahu ditipu oleh Mahathir, UMNO dan Rais Yatim? Gelagat Mahathir dan UMNO dalam hal ini adalah laksana menjolok sarang tebuan. Lihatlah nanti apa yang akan jadi. Sila ambil perhatian ramalan ini: Kalau Mahathir dan UMNO teruskan rencana menukar royalti kepada Dana Ehsan, sebelum menjelangnya Pemilu-11 nanti, ada kerajaan negeri di bawan BN yang akan bertukar tangan ke tangan pembangkang. Janganlah menipu rakyat lagi, dan janganlah perkecilkan kewibawaan orang Melayu. Terengganu kini ditadbir oleh PAS tetapi itu adalah kerajaan orang Melayu. Menidakkan kerajaan Terengganu yang ada dan rakyatnya kepada hak royalti minyak itu samalah dengan memperlekehkan keseluruhan Bangsa Melayu. Lihatlah nanti bahananya, kalau kepimpinan UMNO masih lagi tidak sedar dan percaya akan hal ini.......! Jangan lupa bangsa apakah yang menganggotai Askar Melayu? Kaum apakah yang dominan dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia? Sejarah sudah menunjukkan kalau orang Melayu diasak hingga ke dinding, bahananya adalah amat menakutkan. Inilah yang difahami oleh semua bangsa di negara ini dan dirakamkan oleh penulis sejarah Portugis, Belanda, China, Jepun, Amerika, British dan lain-lain lagi. Selama ini Mahathir berjaya meyakinkan orang UMNO betapa 'memory' orang Melayu itu hanya mampu mengingat sesuatu untuk satu ratus hari sahaja. Tetapi, bukankah Anwar Ibrahim sudah terpenjara lebih daripada 700 hari? Apakah orang Melayu sudah lupa akan beliau kini? Yang nyata Anwar Ibrahim semakin dikagumi sedangkan Mahathir dan UMNO semakin dikeji.


    Soalnya sekarang Mahathir akan terus menipu dunia sambil kita rakyatnya sanggup duduk ketakutan menantikan keganasannya setiap kali dia pulang untuk berehat seketika di Mahligai Airmata. Sampai bilakah perkara ini akan berlaku? Sampai bilakah anda sanggup bersekongkol dengannya untuk menipu bangsa anda terutama sekali anak-anak dan cucu-cicit yang akan anda tinggalkan apabila anda pergi menghadapi panggilan Tuhan?



    Marhaintua
    5 Ogos, 2000