Laman Webantu   KM2A1: 2731 File Size: 5.1 Kb *



Fwd: HarakahDaily Kenyataan Akhbar MB Trg
By Dogol

7/9/2000 10:49 am Thu


Kenyataan Akhbar Menteri Besar Terengganu


Merujuk kepada siaran akhbar yang menggunakan letterhead Kementerian Kewangan, kita sedang berusaha untuk mempastikan kesahihan berita ini sama ada ia benar-benar datang dari kerajaan Pusat kerana sumber berita ini tidak jelas.

Siaran ini tidak menjelaskan siapa sebenarnya yang membuat kenyataan tersebut. Kebiasaannya dalam isu yang besar melibatkan hubungan kerajaan Pusat dan negeri ianya dibuat sama ada oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri.

Kita bimbang ia dilakukan oleh orang-orang tertentu yang cuba mengeruhkan hubungan dua hala yang baik yang sedang berlaku sekarang antara Kerajaan Pusat dan Negeri. Tidak ada siapa yang mengaku bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini. Kenyataan ini menimbulkan beberapa implikasi negatif kepada pimpinan kerajaan Pusat.

(i) Ia meletakkan pimpinan kerajaan pusat sebagai bukan sahaja orang yang tidak memahami prinsip demokrasi malah mencabul demokrasi itu sendiri dengan membelakangkan sama sekali kerajaan Terengganu yang dipilih oleh rakyat dengan lebih dari dua pertiga majoriti.


(ii) Meletakkan pimpinan kerajaan Pusat sebagai orang-orang yang jahil tentang konsep federalisma yang menjadi asas kepada kewujudan negara Malaysia di mana prinsip hormat menghormati di antara kerajaan negeri yang menjadi komponan dalam Persekutuan Malaysia dengan kerajaan pusat perlu dipelihara dan dipertahankan.

Dengan meletakkan Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) iaitu satu agensi kerajaan menggantikan sebuah kerajaan bagi mengendalikan pembangunan untuk rakyat sesebuah negeri adalah suatu tindakan yang tidak munasabah boleh dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang waras.


(iii) Meletakkan pimpinan kerajaan Pusat sebagai pemimpin yang bersikap kuku besi (Authoritarian) yang tidak mempedulikan sama sekali sebarang perjanjian yang sah.


(iv) Sekiranya kenyataan itu merujuk kepada perjanjian royalti di antara kerajaan negeri dengan Petronas, maka kesan paling negatif ialah meletakkan pimpinan kerajaan pusat sebagai pemimpin yang tidak lagi boleh dipercayai serta mencemarkan integriti dan kewibawaannya.

Kalau perjanjian yang sah dibuat di antara Petronas dan kerajaan negeri boleh diketepikan, apa lagi yang boleh dipegang? Kewibawaan pemimpin pusat akan terjejas, bukan sahaja di kalangan rakyat negara ini tetapi juga di peringkat antarabangsa.

Petronas adalah sebuah syarikat bertaraf dunia yang mempunyai hubungan dagangan dan perjanjian di peringkat antarabangsa.Kenyataan ini boleh menjejaskan keyakinan syarikat multinasional kepada Petronas.

Implikasi buruk ialah meletakkan pimpinan kerajaan Pusat bukan sahaja sebagai bahan ketawa masyarakat antarabangsa tetapi sebagai orang yang tidak lagi boleh dibuat kira bicara. Sikapnya tidak boleh dipakai, janjinya tidak boleh dipegang.

(V) Kita tidak mahu negara dan pimpinan kita menjadi bahan cemuhan kerana kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh orang-orang tertentu yang mungkin mempunyai agenda tersendiri.


(VI) Kita berharap pihak berkuasa segera menyiasat orang yang bertanggungjawab dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan baik kerajaan pusat dan Kerajaan Negeri yang terjalin sekarang.

Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan terima kasih kepada Presiden Petronas diatas penjelasannya berkaitan deangan isu royalti ini.

Kerajaan negeri akan menghubungi pihak Petronas bagi mendapatkan gambaran sebenar berkaitan dengan royalti minyak kepada Negeri Terengganu kerana perjanjian yang ditandatangani ialah diantara Petronas dan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri akan terus berpegang kepada perjanjian yang dimeterai semenjak tahun 1975 dibawah Akta Pembangunan Petroleum dan kita mempunyai penuh keyakinan Petronas juga akan berbuat demikian.

Kita berharap siapa sahaja yang mempunyai agenda tersendiri tidak akan melakukan tindakannya yang boleh mengeruhkan hubungan kerjasama yang sedia wujud di antara Kerajaan Negeri dengan Petronas dan Kerajaan Negeri dengan kerajaan pusat.

Abdul Hadi Awang
Menteri Besar Terengganu.