Laman Webantu   KM2A1: 2722 File Size: 8.5 Kb *



MT: Konspirasi memacu Pasaran Saham BSKL?
By web aNtu

6/9/2000 8:34 am Wed

KONSPIRASI MEMACU PASARAN SAHAM BSKL?

Dipetik dari Laman
MR2

Dengan sedikit perubahan dan format.

Rencana ini diolah dari satu siri penulisan pada penghujung tahun 1999, di mana desas desus Kesan Y2K dan lain-lain faktor menghantui pelabur-labur saham.

PRAKATA:

Mengikut seorang pakar saham, pasaran saham bolehlah diibaratkan laksana lautan yang luas terbentang. Ombak yang bergelora di lautan adalah laksana sentimen pasaran yang dipacu oleh emosi manusia. Sesuatu kaunter saham pula adalah laksana kapal layar yang berada di lautan itu. Turun naik harga sesuatu kaunter saham itu adalah dikuasai oleh beberapa faktor seperti emosi manusia (lautan) dan kekuatan emosi sindiket yang memacu sesuatu kaunter itu (angin yang berkencang), jumlah putaran niaga setiap kaunter (muatan kapal layar itu) dan kuasa jual beli yang disebabkan pembelian yang dibuat lebih awal (tali sauh yang dicampakkan ke dasar laut).

Kalau dinilai akan semua aktibiti yang mengendalikan pergerakan sebuah kapal layar di lautan itu, maka kita akan sedar bahawa sesuatu kaunter saham itu bergerak mengikut emosi manusia yang berkemungkinan besar mengawal pergerakan sesuatu kaunter tersebut. Dengan hal yang demikian, seorang yang pakar dengan pasaran saham boleh meraih keuntungan yang berpatutan kalau dia bersedia meraih kuntungan yang kecil pada setiap hari niaga pasaran itu. Perkara ini amat cocok dengan pelaburan runcit tetapi tidak serasi dengan pelaburan institusi ataupun pelaburan jangka panjang.

Disebabkan ciri-ciri permainan saham, demikianlah makanya pasaran BSKL itu sentiasa bergelora terutama sekali apabila hari perniagaan itu semakin hampir dengan hari lebaran. Kebanyakan para peruncit tidak suka menyimpan pegangan mereka menjelang lebaran. Pegangan yang bersifat 'overnight purchase' adalah merupakan pembelian para pelabur institusi.

Bila BSKL merudum

Sentimen pasaran saham di sesuatu negara mempunyai hubung kait yang rapat dengan sentimen pasaran global. Sentimen ini dipengaruhi pula oleh perbezaan waktu berniaga di antara pasaran di Asia dengan pasaran di Europah dan pasaran di Amerika.

Pedoman sentimen yang paling ketara ialah Indeks pasaran. Indeks pasaran dipengaruhi juga oleh jumlah turun naik saham pilihan dalam sesuatu pasaran itu. Selalunya pasaran di Asia banyak dipengaruhi oleh indeks pasaran di Wall Street dan pasaran Wall Street pula dipengaruhi juga oleh prestasi beberapa pasaran di Eropah. Hubung kait yang amat ketara inilah yang mempengaruhi pasaran BSKL, terutama sekali apabila pasaran kita bermula sedikit lewat daripada pasaran di Australia dan New Zealand, Jepun dan Hongkong dan juga (untuk suatu waktu yang sudah pun disamakan) Singapura.

Kecanggihan elektronik membolehkan pembelian dibuat oleh pembeli dengan menggunakan syarikat proksi. Pembelian cara ini dibuat untuk melindungi identiti si pembeli ataupun untuk dijadikan sebagai kamoflasy (camouflage) bagi kerja-kerja mengeksploitasi keadaan sesuatu pasaran. Kepintaran mengeksploitasi pasaran membolehkan sesuatu sindiket itu membuat keuntungan yang cepat dan tinggi pada sesuatu masa tertentu. Namun kegiatan ini hanya dapat dibendung kalau adanya ulangan aktibiti itu dalam satu waktu yang singkat di mana aktibiti itu menjadi ketara.

Apabila pelabur runcit dapat mengesan aktibiti mengeksploitasi sesuatu kaunter itu, ia akan mencetuskan satu situasi di mana pelabur runcit yang lain akan turut serta. Ini mencetuskan satu situasi di mana kaunter yang terbabit dipacu naik dengan derasnya. Akan tetapi, sebagaimana yang lumrah dalam pasaran, seseorang yang bersedia mengimpikan keuntungan besar dalam pasaran saham semestinya bersedia juga mengigaukan kerugian besar dalam pasaran yang sama. Inilah falsafah pelaburan di pasaran terutama sekali kala pelaburan itu bersifat runcit dan dibuat secara kontra.

Dengan hal yang demikian, apabila pasaran BSKL merudum, ramailah para pelabur yang kerugian besar. Kerugian ini boleh juga membabitkan para pelabur yang mencagarkan saham mereka untuk meminjam wang bagi pembelian saham yang lain.

Fenomena 'Double Whammy'

Apabila seorang pelabur mencagarkan sahamnya kepada bank ataupun institusi kewangan untuk mendapatkan tambahan wang modal, ia akan mengalami taufan kemuflisan disebabkan fenomena 'double whammy'.

Pinjaman yang berdasarkan harga saham yang dicagarkan menjadi tergugat kerana harga saham asal sudah pun merudum begitu jauh sehinggakan memaksa peminjam mencagarkan saham tambahan untuk menampung nilai nisbah pinjaman yang sudah pun berubah. Di waktu yang sama pembelian yang dibuat dulu sudah pun memberikan kesan negatif kerana nilai saham itu sudah pun merudum juga.

Fenomena ini adalah laksana seorang penunggang kuda yang terjatuh dari tunggangannya dan dipijak pula oleh tunggangannya itu. Inilah fenomena yang meranapkan BSKL dan memufliskan begitu ramai pelabur di pasaran itu. Kesan kerugian itu dijangka akan berterusan untuk beberapa tahun lagi. Malahan ramai yang sudah pun menjadi aruah kerana membunuh diri ataupun terlantar di atas katil kerana serangan angin ahmar.

Bila Kroni Tersepit

Implikasi yang amat ketara disebabkan pasaran yang merudum telah dialami oleh para konglomerat yang mempunyai banyak syarikat yang didaftarkan di pasaran saham. Sudah pasti fenomena 'double whammy' menyerang mereka dengan teruk sekali. Kalau mereka merupakan tuanpunya syarikat yang besar-besar di pasaran saham, penglibatan mereka dengan mencagarkan saham persendirian di pasaran itu sudah pasti membuatkan mereka muflis dalam satu masa yang amat singkat sekali.

Sekarang, cuba bayangkan apa yang boleh jadi kepada seorang ahli koperat yang mempunyai lebih dari 50 syarikat yang tersenarai di pasaran saham? Kalau kita mahu mengambil sikap kurang ajar kita boleh ubahsuai soalan itu seperti ini: 'Bayangkan apa jadi dengan anak-anak MAHAFIRAUN ketika BSKL merudum?' Jawapannya ialah 'Sudah pasti mereka menjadi muflis.'

Fenomena Kucing Melepas

Dalam dunia pasaran ada satu undang-undang yang tidak bertulis yang berbunyi; " Do not love your stocks, love your families more!" amat bertepatan sekali maknanya. Dosa yang paling besar bagi seorang pemain saham ialah mengkaitkan perasaan cinta yang amat dalam terhadap saham yang dibelinya. Seorang pemain saham yang pintar tidak akan menyimpan sahamnya untuk bakal hari tua. Ia akan melepaskan pegangannya setiap kali dia sudah meraih keuntungan. Di waktu yang sama dia akan melepaskan pegangannya jika saham itu menurun. Untuk membeli saham ketika ia sedang turun adalah laksana menyambut pisau yang sedang jatuh menjunam (catching the falling knives).

Sebarang usaha untuk menahan kejatuhan saham yang sedang merudum adalah laksana kucing yang mahu melepas. Dia akan menghidu persekitaran tempat dia mahu melepas itu dan menggali sedikit tanah untuk memberi ruang menampung benda yang hendak digugurkannya. Apabila merasa lega dengan yang dilepaskannya itu dia akan mengaut tanah tadi untuk menutupinya. Perangai yang sama selalu dilakukan oleh peruncit yang melabur di pasaran saham. Oleh kerana dia banyak membeli pelbagai jenis saham, setiap kali dia cuba menutup sesatu kerugian yang berlaku pada satu jenis kaunter, dia akan kerugian. Perbuatan ini adalah laksana seekor kucing yang melepas secara beurutan di satu tempat yang sempit. Besar kemungkinannya usaha untuk menutup tempat lepasan yang baru itu membabitkan taik yang baru ditutupnya di tempat yang berdekatan.

-MT-
31.12.1999
(Olahan Semula)