Laman Webantu   KM2A1: 2721 File Size: 6.2 Kb *



TJ: Jambatan Kedua Dan Singapura
By Marhain Tua

6/9/2000 8:27 am Wed

Jambatan Kedua Dan Singapura
(MGG: The Second Bridge And Singapore)

Akhirnya, Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, membuat pengakuan betapa ketiadaan perjanjian rasmi di antara Malaysia dan Singapura telah membantutkan pembikinan jambatan baru untuk menggantikan Tambak Johor. Rancangan pemibikinan 'Southern International Gateway' itu telah diolah tanpa merujukkannya kepada Singapura terlebih dulu. Sedangkan pihak Singapura telah pun membina stesen pemeriksaan kastam, imigresen dan pusat karantina (CIQ) di Woodlands untuk rakyat Malaysia yang keluar masuk Johor Bharu. Tentu sekali Singapura tidak bersedia melihatkan pelaburan mereka membazir sahaja. Pintu masuk baru memanglah dianggap sebagai bersesuaian dengan kehendak semasa, tetapi laluan Gelang Patah ke Singapura masih kurang digunakan lagi sehinggakan usaha pemusnahan tambak itu difikirkan masih tidak perlu. Namun, selagi jambatan baru itu tidak terbina, tambak Johor itu masih lagi diperlukan. Inilah yang mungkin meranapkan peranan Johor, kalau diambil kira akan kepentingan perniagaan itu kepada segelintir insan yang kaya raya kerananya. Kerana itulah kerap disebut akan kesesakan di tambak Johor itu sebagai alasan membikin laluan yang baru.

Akan tetapi para perancang yang berkenaan tidak pun membuat kajian yang menyeluruh seperti yang sepatutnya. Mereka mengambil sikap bahawa Singapura mudah bersetuju dengan pendapat mereka. Kerana itu mereka membuat rencana sendirian bagaimana jambatan itu akan di sambungkan ke Singapura. Hanya selepas itu mereka bersemuka dengan orang Singapura untuk mendapatkan persetujuan mereka. Kedua-dua pihak telah bersidang untuk membincangkan akan laluan baru itu, tetapi perbincangan mereka terbantut kerana pihak Malaysia tidak pernah mengemukakan cadangan untuk menghubungkan CIQ yang sedia ada di Woodlands kepada laluan yang dicadangkan itu. Yang lebih penting lagi, KTM (Keretapi Tanah Melayu) terpaksa menamatkan perkhidmatannya di Johor Bharu kerana keadaan struktur 'gateway' itu telah dibina sungguh tinggi daripada paras tanah untuk kemudahan keretapi. Inilah yang memperlekehkan ketegasan Malaysia agar KTM diberikan hak untuk berkhidmat langsung ke pulau itu.

Perundingan telah terhenti. Malaysia mahu menyambung khidmat KTM lagi. Singapura telah memberi syarat kalau itu yang Malaysia mahukan, struktur yang menyambungkan keretapi kepada jambatan baru akan dibina itu hendaklah bermula beberapa kilometer jauhnya daripada Johor Bharu dan Woodlands. Ironisnya, Malaysia sengaja meneruskan projek mereka dengan membuat pengumuman siapa yang akan membikin projek itu. Saya pernah menghadiri jamuan makan tengahari dengan seseorang yang bersangkutan dengan konsortium yang membina projek itu. Beliau bertegas betapa projek itu akan diteruskan, tidak kiralah samada Singapura akan bersetuju ataupun tidak. Keangkuhan seperti inilah yang mewarnai suasana perbincangan itu pada keseluruhannya.

Dato Ghani pernah memberitahu bagaimana rupa bentuk laluan baru itu: sepuluh lorong bagi kenderaan berat, motokar, motosikal dan pejalan kaki. Ini bererti Selat Tebrau boleh dilalui oleh kapal sekali lagi. Satu sambungan laluan keretapi akan dibina lengkap dengan satu CIQ yang baru untuk menggantikan ruang yang ada di Tanjung Putera. Tidak pula dia memberitahu di mana percantuman itu akan dibuat ke pulau tersebut dan bagaimana pula percantuman ke Woodlands akan dilaksanakan. Kontrak projek telah dianugerahkan mengikut cara yang lazim, mengikut stail pengurusan Bolehland. Tentunya yang membalun projek itu ialah para kroni, adik-beradik, para juak dan jongos dalam rupa bentuk konsortium segera agar segala masalah akan diuruskan secara yang mahal belaka. Kontrak itu telah diberi kepada satu konsortium yang diketuai oleh Gerbang Perdana Sdn. Bhd dengan Merong Mahawangsa Sdn Bhd (60 persen ekuiti), DRB (20%) dan Detik Nagasari Sdn Bhd (20%) Sebuah syarikat di mana seorang menteri kabinet mempunyai kepentingan yang berpadan adalah salah satu kontraktor projek itu.

Akhbar The Star bertarikh 4 September 00 telah menulis satu pojok yang berbunyi "Keizinan Singapura Diperlukan Untuk Projek..." ini menunjukkan kerajaan pulau itu yang melecehkan keadaan. Yang sebenarnya, Kuala Lumpur yang melecehkan semua itu. Sepatutnya, kalau projek itu satu usahasama, ia patut dilakukan oleh satu konsortium Singapura-Malaysia di mana kontraktor dipilih mengikut tender bertaraf antarabangsa. Kaedah menyuap kroni, adik beradik, para juak dan jongos terpaksa dihentikan. Kalaulah projek ini mahu dimulakan, ia mesti memikirkan bagaimana ia tamat di Singapura dengan menggunakan kemudahan CIQ di Woodlands. Terpulanglah kepada Malaysia menentukan pangkalannya di Malaysia pula. Samada projek ini membolehkan KTM berkhidmat semula dalam republik itu, adalah satu soal lain.

Pada yang sudah-sudah, banyak masalah dua-hala dengan Singapura telah dikendalikan secara tergesa-gesa mengikut rentak pertimbangan dan faktor politik setempat sehingga tidak memungkinkan satu penyelesaian yang selesa. Pertimbangan politik dalaman dalam arus yang menyangkuti Insan Yang Mesti Dimusnahkan Dengan Apa Cara Jua, sedang menghantui pihak pentadbiran, sehinggakan mendesak agar sebarang perundingan mengenai 'Southern International Gateway' itu mesti ditangguhkan sehingga satu keadaan yang lebih tenang dan ketika negara dipimpin oleh orang lain. Walau bagaimana pun, tidak ada konsortium ataupun kerajaan yang sanggup berbelanja sejumlah RM1.5 bilion untuk membina projek itu.

Diterjemahkan oleh: -MT-
4 September, 00