Laman Webantu   KM2A1: 2717 File Size: 7.6 Kb *



Perjuangan Pembangkang Membuka Ruang Rakyat Bersuara
By Amin Sapiro

5/9/2000 9:29 pm Tue

PERJUANGAN PEMBANGKANG MEMBUKA RUANG RAKYAT BERSUARA


RAKYAT makin nampak bahawa pelbagai tuduhan regim Mahathir terhadap Pembangkang makin tidak dapat dibuktikan di mahkamah. Bermula dengan tuduhan aib terhadap Anwar hinggalah mengaitkan PAS dengan peristiwa al-Maunah; rakyat sudah menamakan kejadian itu (dalam bahasa mudah) sebagai “SANDIWARA” saja.

Regim Mahathir makin termalu – ‘malu alah’. Keadaan UMNO/BN makin parah – merudumkan reputasi Mahathir dan UMNO.

Apabila Pemuda UMNO cuba menunjukkan “patriotik” pada waktu dan peristiwa yang salah; dengan menyusun dan melaksanakan “demo” di Putera Jaya dan di pekarangan bangunan Dewan Perniagaan Cina di Kuala Lumpur, rakyat makin sedar dan insaf. Slogan yang berbau perkauman dan ugutan yang tidak diingini rakyat telah menimbulkan tafsiran yang berbagai-bagai.

Kemudian terdengar laungan seorang anak mudah yang baru ‘menyisip keris di pinggang’ dan berlagak sebagai ‘wira panglima’ mengakui sanggup ‘bermandi darah’ – UMNO mencari masalah besar!

Semakin suasana dalam UMNO/BN yang harus dicerahkan secara tiba-tiba dikelamkan oleh kurangnya daya pengawalan nafsu pemimpinnya, maka berakhir dengan UMNO terluka, terpuruk dan parah. Komponen BN makin sedar bahawa UMNO menggunakan sentimen perkauman untuk menyelesaikan masalah dalaman yang mereka sendiri reka dan cipta.

“Pukulan Maut” terakhir terhadap UMNO dilakukan oleh Mahathir sendiri. Ucapan sambutan perajaan ulangtahun Kemerdekaan oleh beliau yang tersiar dalam semua saluran TV, Radio dan mass-media telah mebenamkan “paku terakhir” ke keranda UMNO dan BN. Komponen BN sudah mengesyaki agenda “udang disebalik batu” Mahathir sebenar. Rakyat makin berhati-hati.

Senario tadi memperlihatkan betapa tersepitnya Mahathir, pemimpin UMNO, UMNO sebagai sebuah parti dan BN sebagai sebuah gabungan (coalition); menyebabkan barisan itu makin kecundang. Ini adalah kesan dari pelbagai perlakuan sumbang langkah UMNO yang bermula sejak Anwar dilucutkan semua jawatan dengan bantuan sebuah KONSPIRASI Politik yang tidak bermaruah.

Mahathir mungkin lupa, ditambah dengan keangkuhan mendadak dalam dirinya; mendorong beliau berfikir bahawa rakyat negara ini semudah itu beliau anggap bebal. Mahathir tersilap besar.

Sebaliknya, rakyat semua kaum di negara majmuk yang sudah cukup terdidik dan terpelajar hingga wujud budaya politik toleransi, menghormati kepentingan sesama sendiri, kesanggupan bekerjasama, memahami keperluan dan objektif negara, dan seumpamanya; sekaligus mencabar beliau.

Hematnya, Mahathir masih tercicir 10 tahun kebelakang dalam konteks memahami hati dan budaya politik rakyat.

Dapat ditafsirkan bahawa Mahathir masih mengigau dalam mimpi bila mana beliau mencetuskan ‘Krisis Perlembagaan kali Ke-2”. Memang benar, beliau berjaya menggerakkan emosi rakyat (khususnya orang Melayu) sanggup mengubahpinda Perlembagaan Negara yang melibatkan ‘kekebalan raja-raja’.

Tetapi kejadian pada 2 September 1998 tidak semudah itu beliau selesaikan dengan menggerakkan emosi rakyat. Sebaliknya, Anwar yang dilucutkan jawatan melalui sebuah Konspirasi jelek lagi jijik telah menemukan Mahathir “buku degan ruas”.

Ketakburan Mahathir (kununnya) sokongan rakyat terhadap Anwar akan dapat dipadamkan dalam tempuh seminggu; akhirnya menampakkan gegagalan Mahathir, UMNO/BN paling memalukan.

Kesan yang nampak, dalam Pilihanraya November 1999 menyebabkan UMNO kalah teruk. Kerajaan UMNO/BN di Terengganu terkubur tanpa nisan! Beberapa MP Pembangkang bertambah berlipat ganda. Yang makin menggusarkan UMNO/BN, selain dari Melaka, Johor dan Negeri Sembilan; negeri-negeri lain di Semenanjung sudah hampir dirogoh oleh Pembangkang.

Di Terengganu dan Kelantan, UMNO/BN dikenali rakyat sebagai Pembangkang. Tetapi status Pembangkang UMNO/BN di kedua buah negeri tersebut amat dhaif, berbanding dengan status Pembangkang di negeri-negeri lain.

Sekarang rakyat sudah nampak nikmat dan manfaat mereka memilih Pembangkang dan meletakkan mereka di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Mereka menjadi jurucakap dan penyambung lidah rakyat.

Di Selangor, asakan Pembangkang dengan kerjasama rakyat melalui LamanWeb Pro-Reformasi telah mendedahkan pelbagai skandal dan jenayah yang dilakukan oleh pemimpin dan ketua kerajaan terbabit. Kesan dari pendedahan rakyat terhadap pelbagai kes-kes rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin regim Mahathir (termasuk beliau sendiri, suku-sakat, koni-proksi) telah menggegarkan kewibawaan regim itu.

Seperkara yang paling terpuji, keberanian yang bukan calang-calang yang ditunjukkan oleh pemimpin parti Pembangkang ialah kesanggupan mereka ke mahkamah demi “menegakkan Keadilan dan menumbangkan Kezaliman”.

Walaupun mereka tahu bahawa mereka mengambil risiko peribadi yang tinggi, dan akan menerima proses pengadilan yang tempang; namun sebagai memimpin yang berkeyakinan cukup tinggi – Mahathir wajar merasa malu kerana beliau “kecut-mecut” dan “menggigil kepala lutut” bila saman mengheret beliau ke mahkamah diserahkan kepada beliau. Itu baru setakat menjadi saksi, belum lagii menghadapi tuduhan!

Perbandingan itu amat ketara di mata rakyat banyak. Sekarang mereka dapat membedakan diantara kelompok “pemimpin mengisi mandat rakyat” dengan “pemimpin mengisi tembolok hingga padat”..!!

Ezam dan Azmin adalah diantara puluhan jaguh-jaguh KeADILan yang cukup matang. Secara terbuka mereka memperakukan bahawa semangat cintakan negara, bangsa dan agama itu adalah warisan dan didikan Anwar.

Rakyat sudah dapat menilai, jika pemimpin dalam kelompok Pembangkang begitu konsisten dengan perjuangan yang direstui rakyat, UMNO/BN sudah sahih jauh tercicir jauh kebelakang.

Soalan yang masih belum terjawab, “Apakah UMNO dan sekongkol BN akan terbangun dari tidor lena, didendang dan dilalaikan oleh Mahathir dengan pelbagai RASUAH, PECAH AMANAH, perogohan Undang-undang yang berkesudahan rakyat dizalimi dan diragut Hak Asasi mereka? Jika belum, bila lagi?”.

Dengan perjuangan Pembangkang dan penyertaan rakyat makin ketara, pasti pada tahun 2003/4 ini – rakyat akan memberi satu jawapan yang berakhir dengan UMNO/BN akan menemui kecelakaan paling besar!! Insyaallah!!

Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO atas Pagar Berduri)