Laman Webantu   KM2A1: 2695 File Size: 12.0 Kb *



TJ: MGG Alaf baru yang Kelam
By Marhain Tua

3/9/2000 6:19 am Sun

Alaf baru yang Kelam

Terjemahan kepada rencana:
(MGG: The Millennium: A Far Cry From Midnight)

Sambutan ulang tahun kemerdekaan tahun ini (31 Ogos 00) tidak merupakan pemangkin kepada keriangan ataupun kepuasan hati. Walaupun segala bentuk sambutan seperti perbarisan masih lagi diadakan seperti yang berlaku setiap tahun sejak 1957 lagi, tindakan melaksanakan kawalan keselamatan yang ketat dan ucapan Perdana Menteri yang berat sebelah, tidak memberikan harapan yang baik untuk masa depan. Sebaliknya ia memberikan kiasan akan masa depan yang pancaroba dan kemungkinan masyarakat Malaysia yang berpecah belah. Perdana Menteri telah menyalahkan kumpulan agama dan perkauman yang ekstrim, tanpa menyebutkan namanya (Mahathir) dalam memainkan peranan dalam hal ini. Bagaimanapun perkara ini cuba dilindungkan secara rasminya, dan kalau pun benar (kerana perkara ini dibincangkan secara rasminya sebagai kerja pihak pembangkang yang mencemburui kejayaan kerajaan Barisan Nasional), ia menjadi pemangkin kepada masalah yang lebih besar yang mencuit kredibiliti kerajaan setelah berlakunya proses pengaiban mantan timbalan perdana menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Ucapan Perdana Menteri pagi tadi tidak cuba menjenguk masa hadapan dan mencuitkan rasa kesyukuran kita. Tetapi, ia cuba membelahbagikan negara ini ke satu jurang yang lebih dalam lagi dengan cara menyentuh isu keagamaan dan perkauman. Dalam hal ini parti komponen Barisan Nasional harus turut bertanggungjawab.

Pada pendapat saya, ucapan merdeka Perdana Menteri kali ini, merupakan satu ucapan yang paling jelek yang pernah beliau ucapkan. Bayangkan di waktu yang sama kawalan keselamatan diperketatkan pula. Semua doktor di Hospital Awam Klang, tidak dibenarkan bercuti. Ini merupakan satu arahan yang baru. Apakah agaknya yang merisaukan pihak kerajaan? Ataupun apakah kerajaan takutkan bayangnya sendiri, menaruh syak wasangka akan adanya pembunuh upahan di kalangan mereka yang memakai lencana Barisan Nasional?

Hari Kemerdekaan sepatutnya merupakan hari kenangan dan harapan. Tetapi perkara ini tidak pun berlaku. Kerajaan telah menggunakan kesempatan upacara itu untuk memuji diri sendiri. Tetapi usaha itu meleset sahaja kerana ia tidak dilakukan dengan penuh keikhlasan melainkan untuk tujuan politik yang sempit. Satu bulan diperuntukkan untuk menyambut perayaan itu. Ia bermula pada Ogos 17 sehinggalah September 16. Tempoh keraian itu ditentukan tanpa mengambil kira minat rakyat, apatah lagi persetujuan bersama daripada parti komponen BN. Menteri Budaya dan Pelancongan, Dato Seri Abdul Kadir Sheikh Fadhir, beranggapan perpaduan Malaysia yang robek itu boleh ditampal-tampong dengan mengadakan pesta jual-murah selama satu bulan. Ia berfikir bahawa segala sambutan yang dirangka selama 30 hari itu akan memuncak kehangatannya apabila hari penyatuan Sarawak dan Sabah itu diambil kira.

Rupanya sudah timbul satu kesedaran kini bahawa dua negeri Borneo itu menyambut hari Malaysia enam belas hari selepas hari kemerdekaan itu diraikan. Inilah yang menjadi sungutan di dua negeri itu selama ini. Tetapi, apabila pegawai kerajaan diminta untuk merayu kepada rakyat agar menyokong hari Kemerdekaan dan merayu mereka mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah dan kereta, usaha itu berkecai begitu sahaja. 31 Ogos 00 yang sepatutnya merupakan hari yang paling menggembirakan setiap rakyat Malaysia telah bertukar wajah kepada hari di mana masyarakat Malaysia menjadi berkecamuk dan berbelah bagi.

Akhirnya nanti, masa depan Malaysia tidak bergantung kepada kejayaan ekonomi negara dan prestasinya di kalangan negara lain. Tidak juga kepada caranya menyanggah kuasa besar. Ia lebih bergantung kepada kerukunan negara yang didorong oleh perasaan rakyatnya yang tidak mempunyai syak wasangka, seperti yang diharunginya sekarang, tentang keadilan setiap institusi rasmi kerajaan ataupun cabaran kepada hak perkauman dan keagamaan yang perlu ditanganinya. Malaysia telah berjaya membangun sejak merdeka selama 43 tahun yang lalu dan memang banyak perkara yang boleh dibanggakan oleh rakyatnya. Barisan nasional memang bertanggungjawab kepada kemajuan itu. Di waktu yang sama Barisan Nasional telah menentukan satu persepsi betapa semua pandangannya adalah betul dan benar seolah-olah semua itu adalah suatu keramat yang suci dan tidak boleh dipertikaikan. Perbincangan yang rasional mengenai dasar negara dibenarkan, baik di parlimen mahupun di tempat lain. Kerana itu dasar negara itu kerap disogokkan agar diterima pakai secara paksa tanpa perdebatan ataupun sebarang perbincangan. Perkara ini nampak mudah selagi ada sokongan menyeluruh orang Melayu. Tetapi, ia menjadi satu kemusykilan apabila UMNO dan juga perdana menterinya melakukan tindakan harakiri politik dengan mengaibkan Dato Seri Anwar. Mengikut budaya Melayu seseorang ketua feudal, dalam hal ini ialah si Perdana Menteri, sepatutnya tidak melakukan kesilapan itu.

Sambutan Hari Kemerdekaan kali ini, menjadi satu majlis di mana kita telah memberitahu seluruh dunia betapa kita sudah menjadi satu masyarakat yang berpecah belah. Sebahagian puncanya ialah disebabkan kejayaan kerajaan itu sendiri. Dasar Ekonomi Baru, walaupun bercanggahan di tahap penglaksanaannya, telah berjaya menonjolkan satu kumpulan anak-anak Melayu yang berpendidikan tinggi yang kini tidak dapat menerima bulat-bulat pendekatan yang diamalkan oleh UMNO terhadap menangani masalah yang dihadapi oleh golongan bapa dan datuk moyang mereka dulu. Tersembullah majlis soal-menyoal yang menyanggah toleransi institusi politik feudal. Dato' Seri Anwar memang bersekongkol dengan anggapan feudal ini. Tetapi, apabila dia mula menyanggah Perdana Menteri, bererti masa depannya pun akan disanggah juga.

Dengan mengaibkan Anwar, Perdana Menteri telah sekaligus menukarkan tarafnya menjadi seorang wirawan. Dalam kebudayaan Melayu, perkara seperti ini ditangani dengan senyap dan kebijaksanaan. Cara Anwar menangani masalah yang mengaibkannya ini telah mendedahkan satu rupa bentuk penentangan yang tidak pernah disaksikan dalam ciri-ciri kepahlawanan Melayu, melainkan kalau dia sudah terdesak. Inilah yang menyebabkan Perdana Menteri berada di satu lorong politik yang licin. UMNO pula menghadapi bahaya dipinggirkan. Dua kes mahkamah dan segala bentuk pengaiban dan penderaan yang dikenakan terhadap Anwar dan juga ahli keluarganya menyebabkan perdana menteri semakin tersisih di lorong yang licin itu. Walaupun Perdana Menteri amat liat mahu mengakuinya, kini bukan sahaja masa-depannya yang tergugat, malahan UMNO pun turut akan tergigit juga.

Perpecahan perkauman yang disebut oleh Perdana Menteri dalam ucapan hari merdeka beliau itu bukannya satu imbasan ketidakcurangan budaya ataupun parti pembangkang. Ia memberi imbasan betapa gagalnya parti bukan Melayu yang menjadi komponen barisan nasional. Selama ini mereka hanya leka melihatkan gelagat UMNO menjadikan sebuah kerajaan yang multi-kaum menjadi institusi yang didominasinya. Parti bukan Melayu itu sedia enggeh apa sahaja yang diberitahu kepada mereka, sekaligus mempamerkan gebar bukan-Melayu sebagai lambang perpaduan kaum. Orang Cina dan India di Malaysia telah tertipu oleh perkhidmatan yang diberikan oleh Malaysian Chinese Association, Gerakan Rakyat Malaysia, dan Malaysian Indian congress. Para pemimpin mereka lebih berminat menghangatkan kerusi empuk di kabinet, memang enggan membuat sebarang bantahan. Rakyat negara daripada kaum Cina dan India terpaksa membuat usaha sendiri. Kini, perasaan yang sama telah dirasakan oleh rakyat daripada kaum Melayu pula.

Penyerapan unsur yang bergelodak inilah yang mencetuskan masalah yang menyanggah dasar perkauman dan keagamaan kerajaan masa kini. Barisan Nasional telah memberi amaran kepada rakyatnya agar melakukan apa yang dia kata dan bukan apa yang dia lakukan.

Pihak kerajaan masih rasa selamat kerana ketidakupayaan pihak pembangkang mewujudkan satu parti berbentuk multi-kaum. Usaha ini memang banyak masalahnya. Akan tetapi, parti pembangkang utama, PAS memang telah banyak menerima faedah daripada episod Anwar. Pendekatannya memujuk pembabitan intelek Melayu dan golongan graduan telah menunjukkan hasil yang berkesan yang tidak pernah diimpikannya. Episod Anwar merupakan satu bonus yang memperkuatkan parti. Fahaman fundamental Islamnya yang berasaskan theokrasi tidak bererti ia telah memenangi budaya pegangan perjuangan yang hilang daripada kebanyakan cawangan UMNO, tetapi ia berjaya menggugat setiap kerusi pengundian Melayu di Pemilu 1999 dulu sehinggakan perolehan tambahan satu persen lagi kepada kerusi yang ditandingi oleh pihak pembangkang sudah mampu untuk mewujudkan satu kerajaan campuran yang mengalahkan BN. Dalam hal ini, DAP terpaksa menggerapai-gerapai dalam pendekatannya. Parti Keadilan pula walaupun di waktu kebayian, sudah menunjukkan ciri-ciri memusnahkan diri sendiri. Semua ini tidak memberikan keriangan kepada Barisan Nasional, kerana semangat berantakan pihak pembangkang ini pasti akan berulang lagi.

Kini, sudah muncul desas-desus akan berlakunya satu usaha ganas untuk menghenyak pihak pembangkang seperti Operasi Lalang yang terlaksana lebih satu dekad yang lampau. Setiap usaha pihak Barisan Nasional untuk menguasai pentas - semenjak pengaiban Anwar Ibrahim kepada rompakan Senjata di Gerik - telah gagal perkara itu tidak dipercayai oleh sebilangan besar masyarakat Melayu. Ketika Operasi Lalang dilancarkan dulu, kebanyakan yang ditangkap adalah mereka yang menganggotai parti pembangkang dan organisasi bukan kerajaan. Kali ini jaringan yang lebih lebar akan dilakukan di mana lebih ramai orang Melayu akan tertangkap.

Oleh kerana dasar negara itu dirangka secara terpencil, selalunya tanpa sebarang perdebatan di Parlimen ataupun diluar parlimen, tindakan mengejut yang tercetus darinya akan diperlekehkan sahaja. Kerana itu parti pembangkang sudah merasa gusar akan adanya satu tangkapan yang menyeluruh, hanya sebagai bahan kerajaan untuk menenangkan para penyokongnya akan buruk laku pihak pembangkang. Namun, sudah ada petanda betapa pihak kerajaan tidak membuat pertimbangan yang cukup apakah usaha kali ini akan menghancurkan gagasan Barisan nasional itu.

Sudah ketara, dalam menyambut ulang tahun ke-43 kemerdekaannya, Malaysia telah jauh menyimpang daripada semangat juang dan harapan pencapaian kemerdekaan. Inilah imbasan yang terserlah dan bukannya segala kemajuan yang dibanggakan sangat oleh Perdana Menteri. Sebagai seorang yang amat bijak merenung zaman silam, takkanlah beliau mudah ditipu oleh inti pati ucapannya itu.

Diterjemahkan oleh -MT-
1.9.00 -