Laman Webantu   KM2A1: 2683 File Size: 9.7 Kb *



Melihat Isu Hak Melayu Dari Aspek Budaya
By Mat Teropong

1/9/2000 5:10 am Fri

Rencana ini agak menarik kerana penulisannya bercorak nasihat - ia mengajar kita agar tidak mudah melenting sebarangan mengikut seorang ketua (yg berhingus pula) untuk bertindak seperti budak kecil yang menjadi pak turut membabi buta. Mungkin sebab ini pemuda UMNO perlu belajar "sentuhan lembut" daripada meloncat melalut?


Melihat Isu Hak Melayu Dari Aspek Budaya (Oleh L C Fang: Berita Harian Mukasurat 10, 31 Ogos 2000)



Fitrahnya kehidupan, orang akan menuntut apabila sesuatu yang dimilikinya diambil pihak lain atau kepentingannya diabaikan - moralnya 'jangan diperbetulkan barang yang tidak rosak'.

Justeru apabila hak ketuanan Melayu dan rintihan kaum Cina hebat digembar-gemburkan kebelakangan ini, penulis terpanggil untuk memikirkan: apa sebenarnya yang cuba disampaikan? Atau, mungkinkah ada dalang yang sengaja menimbulkan keributan tanpa ada pokok bergoyang?

Tanpa niat menyesakkan nafas berkaitan isu yang jelas meriakkan gusar semua pihak, terlihat masih ada ruang membicarakanya dalam situasi bernada permuafakaan mengikut tuntutan hala fikir budaya.

Apa juga sengketa pendapat, lebih-lebih isu yang dihunjam salah tafsir dalam lingkaran politik, sering kali pandangan mudah kabur, pendengaran didengong hati sendiri, menjadikan penjelasan orang lain bagai kapas dihembus angin.

Datuk David Chua yang didakwa punca kekecohan berikutan 'keberanian luar biasanya' menjentik kemarahan orang Melayu sudah menjelaskan kedudukan bahawa kenyataannya telah disalah tafsir, malah menafikan pernah mengungkit soal itu.


Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad sendiri sudah menerima penjelasan Chua. Justeru, isu itu patut dipadam terus bukan dibiarkan panas. Kita tak mahu melihat kecoh menjadi kucar. Barisan muda seharusnya berdepan dengan masalah ini secara matang. Kenyataan Chua (bertemu PM) sudah cukup menutup keriuhan tanpa perlu menunggu arahan PM.

Selepas berperang saraf lebih dua minggu dan sedang Pemuda UMNO berterusan dengan budayanya, PM terpaksa membuat penjelasan membendung isu itu dari terus berputaran. Budaya memupuk perpaduan sarat tersirat menerusi kenyataan PM di Maputo, Mozambique sebagaimana disiar akhbar tempatan 23 Ogos 2000: "Saya sudah menerima penjelasan beliau (Chua) dan tidak mahu perkara itu dibesarkan. Saya cuma kata, lain kali jangan cakap begitu kerana ini benda sensitif." Kalau PM sendiri bersedia menerima kunjungan Chua bagi mendengar penjelasannya, mengapa tidak dilihat sebagai pilihan terbaik oleh barisan pemimpin muda?

Mungkin barisan pelapis lebih berminat terhadap budaya gedebe yang mampu menguji populariti lantaran peluang memikul peranan untuk tatapan umum kini terhulur, justeru soal cara dan budaya hakiki yang lebih bermoral diketepikan dulu. Apakah degnan memilih budaya toleransi bersemuka dalam sesi perbincangan akn menjadikan kita dicop sebagai pemimpin dayus? Seperti bara menunggu marak, kalut ribut nampaknya terus berbanjar tanpa ada pihak menampil sikap keterbukaan mencari sudut perdamaian, lalu tidak semena-mena diseret pula isu Suqiu.


Salah faham yang diulit hasrat pembelaan terlalu tergesa-gesa tanpa mahu membuka minda menilai secara berbudaya, menyebabkan berlakunya adegan perhimpunan yang sebenarnya menyerlahkan ketidakmatangan budaya berpolitik. Sama ada tindakan berhimpun, berarak, melaung, memaki hamun dan memanjat pagar bangunan dianggap membantah keceluparan atau sebagai tiket menampil diri, yang nyata ialah budaya kekeluargaan sudah diperlekehkan ketika pintu musyawarah belum pun diketuk.


Kalau kita mengutuk demonstrasi jalanan apakah kita tidak boleh berbuat demikian terhadap cara membakar semangat di hadapan Dewan Perniagaan Cina Selangor tempoh hari? Apapun alasannya, budaya murahan begitu tidak perlu dipertontonkan. Yang wajar dipapar adalah kematangan, bukan tindakan kebudak-budakan. Budaya kesantunan Melayu tidak lagi memuji sikap menongkah arus, jauh sekali menyimpangi unsur ketertiban. Ini pun tentulah bukan budaya baru. Menyelak ruang hanya untuk melepaskan pucuk tanpa mahu manyalur sekelumit cahaya kepada enau lain yang juga mahu menikmati hidup, tidakkah tamak namanya?


Bantahan berapi-api bukan cara menzahirkan kekuatan malah jangka panjangnya boleh timbulkan masalah besar iaitu 'budaya ikut-ikutan', lebih kepada resmi 'pak turut', ikut saja dan tanpa selidik. Jika budaya ikutan ini ditebar, ia bakal menjadi jala ketidaktentuan. Bukan saja ketenangan laut berkocak, malah pasti hadir ombak dan badai menampar seluruh pelusuk alam hingga tiada lagi kelibat kedamaian yang kelihatan. Jaguhkan pembawa budaya itu? Kita jadi semakin tidak faham mengapa isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan ringkas diheret berlarutan hampir menandingi rekod Fazida Mat Said dengan ular-ularnya.

Ke mana terlontarnya budaya persefahaman memandangkan semua yang terbabit mampu berkomunikasi, bukan tidak tahu berbasa-basi. Atau mungkinkah ini yang dikatakan 'tidak tahu bahasa'? Benarlah dalam politik, kawan dan lawan sukar dikenal pasti. Kita tidak nampak nama besar di belakang Suqiu, mereka (jawatankuasa terbabit) bukan mewakili masyarakat Cina di negara ini.


"Jadi jawatankuasa ini tidak boleh dianggap golongan berwibawa. Alangkah malunya jika akibat cakap-cakap golongan kecil ini menyebabkan perpaduan negara tergugat. Melayani mereka, samalah melayan kerenah anak-anak kecil yang masih berhingus. Pergerakan Pemuda UMNO mungkin melihat dari perspektif bahawa tidak ada mana-mana golongan, walau sekecil mana pun sekali status mereka, boleh cuba mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu. Jika ada, mereka perlu ditentang habis-habisan. Cuma, mereka juga perlu menyiasat latar belakang kumpulan itu. Mereka boleh membelasah Suqiu tetapi jangan babitkan keseluruhan rakyat Cina yang akur dengan Perlembagaan Negara. Apa yang cuba dielakkan, perkara kecil seperti ini tidak seharusnya dibiarkan merebak menjadi besar. Dalam senario politik hari ini, perpaduan kaum amat penting. Jika isu perkauman disemarakkan, ia tidak membawa apa-apa kebaikan." (Petikan ruangan Dari Lorong Kiri: Mior Kamarul Sahid, Berita Harian 21 Ogos, 2000.


Sebenarnya, 17 perkara yang diangkat Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) itu bukan satu tuntutan tapi lebih berbentuk petisyen tanpa prejudis, apatah lagi kabinet sudah menerimanya kerana tiada syarat dikenakan. Ia bermakna soal tuntutan tidak timbul langsung dalam isu berkenaan.


Perkataan Suqiu adalah gabungan dua perkataan iaitu 'su' dan 'qiu' yang bermakna Rintihan/Keluhan dan Rayuan. Bahasanya cukup lembut, tapi sayang tidak difahami oleh mereka yang terlalu marah, sehingga tidak ketentuan. Dalam budaya kita, apabila orang mengeluh mengenai keperluannya dan membuat rayuan, ia boleh dipertimbangkan kalau pun belum tentu dipersetujui atau diluluskan. Yang pasti, pengertian keluhan dan rayuan sama sekali tidak membawa makna tuntutan. Bahasa dan budaya sopan bukan untuk tatapan semata-mata. Ia wajar diamal, diakari dengan subur malah pemakainnya dalam kehidupan seharian juga perlu dipastikan tidak menyongsang adat. Justeru, Suqiu adalah antara contoh permintaan dan pandangan yang dibuat secara berbudaya dalam lingkungan kesopanan.


Orang politik perlu mengakuri bahaya akar politiking menjalar yang ada ruang menyelinap. Isu remeh yang dipolitikkan hampir pasti membuka medan perbalahan, termasuk budaya yang sepatutnya dipelihara tapi sebaliknya dilacurkan sewenag-wenangnya. Rentetan isu ini menzahirkan budaya yang tidak perlu terakam dalam benak teladan, seperti budaya gedebe tanpa perbincangan. Budaya panas baran, budaya ikut-ikutan. Budaya pembodek, budaya berebut jadi jaguh menerusi pertelingkahan adalah amalan basi yang tidak sesuai dalam iklim perpaduan kaum di negara ini.


Jika diikutkan budaya gedebe seperti yang dipertontonkan, barang kali ada pula golongan yang bangkit menghentam tindakan itu kerana dianggap mencemar keriangan dan keceriaan rakyat negara ini yang sedang bersiap meraikan sambutan kemerdekaan ke-43 negara. Semangat patriotik adalah imbasan budaya kasih sayang tidak berbelah bahagi terhadap negara, maka sewajarnya pencanang kekalutan ditentang habis-habisan.


Keranamu Malaysia, sepakatlah kita mencari penyelesaian masalah mengikut lunas perpaduan. Usah kerana nyamuk seekor, habis kelambu termasuk rumah dan penghuninya dibakar. Erti kemerdekaan lebih besar daripada menjerat diri dengan membesarkan perkara yang boleh diperkecil dan ditiadakan. Merdekalah juga jiwa raga, pemikiran dan tindakan kita yang hampir terperangkap dengan permainan putar belit media asing. Merdeka!



Oleh L.C Fang.


Catatan: Kita cedok tulisan ini kerana ia amat relevan dengan keadaan semasa. Jelas budaya gedebe yang diamalkan oleh pucuk pimpinan Pemuda UMNO merupakan imbasan apa jenis manusia yang satu hari nanti memimpin negara ini. Tetapi, salahkah gelagat mereka itu apabila si Wira Dunia Ketiga sanggup menganggap Suqiu sebagai kumpulan setanding Al Ma'unah dan tindak-tanduk mereka yang "tidak banyak berbeza dengan Komunis?" Nampakkah kita sekarang siapa sebenarnya yang berlagak kaki gedebe?