Laman Webantu   KM2A1: 2675 File Size: 26.7 Kb *



KTLBELB 27: Mencari Semangat Yang Hilang
By Marhain Tua

31/8/2000 7:46 am Thu

Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila

KTLBELB: Bab 27

MENCARI SEMANGAT YANG HILANG

Kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-43. Tetapi, ramai rakyat negara ini yang merasakan sambutan itu hanya sesuatu yang disogokkan, kerana mereka sudah sedar kini betapa semangat untuk menyambutnya sudah lama hilang.


Pada satu ketika yang terdekat, semangat menyambut ulangtahun kemerdekaan itu memang meriah sekali. Di sana-sini, bendera negara ?Jalur Gemilang? kelihatan berkibar dengan megahnya. Di rumah, di kedai, di gedung, kantor dan pejabat, di kenderaan kepunyaan kerajaan, syarikat swasta dan kepunyaan peribadi rakyat; kibaran bendera itu merupakan sesuatu yang dilihat dengan senyuman panjang oleh sesiapa sahaja. Bukan sahaja anak-anak yang mencari-cari makna kibaran itu, bukan sahaja para pengunjung dan pelawat negara yang terus membuat perbandingan dengan cara negara mereka meraikannya. Golongan lama warga negara ini kerap mengimbau nostalgia lama betapa bendera yang berkibar itu membawa seribu makna mengingatkan zaman muda mereka.


Kini, kibaran Jalur Gemilang itu dilihat sebagai satu gerak-geri yang sungguh simbolik melambangkan cetusan hati sanubari sebilangan besar rakyat negara ini yang hidupnya tertekan. Mereka seolah-olah menantikan kedatangan satu hari yang lebih bermakna dari itu, entah bila dan kalau pun muncul berapa lama lagikah agaknya.


Tidak siapa yang dapat menyangkakan, bagaimana semangat menyambut ulangtahun kemerdekaan itu boleh menurun pada kali ini. Pada tahun yang lalu, semangat itu masih kuat lagi walaupun ketika itu majoriti rakyat masih lagi merasakan kehilangan mantan timbalan perdana menteri Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kini, sudah masuk tahun ke-dua beliau dipenjarakan, secara tiba-tiba pula keadaan berubah serta merta. Semangat keceriaan tahun yang lalu, sudah berubah rupa. Rakyat sudah menjadi hambar untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan negaranya. Seperti hambarnya rakyat dengan keputusan kes mahkamah yang terus menambah deraan terhadap DSAI itu.



Kelunturan Semangat yang Mengejutkan


Pada tahap awalannya, tidak sesiapa yang dapat menjangkakan munculnya kelunturan semangat menyambut ulangtahun kemerdekaan itu. Pihak pemerintah telah membuat pelbagai rencana untuk menentukan semangat sambutan itu terus menggunung tingginya. Di setiap akhbar perdana, kita dapat lihat iklan satu muka penuh yang mencanangkan ?Cuti-Cuti Malaysia?. Sekaligus ia juga mengiklankan muka seorang menteri yang bekerja keras untuk menggalakkan promosi itu. Tetapi, rakyat bukannya dungu sangat hinggakan tidak memahami kenapakah iklan yang mahal seperti itu terpapar setiap saban hari dan saban minggu? Apakah itu caranya regim Mahathir memberikan sokongan untuk menanggung kerugian jualan yang semakin meleset? Dengan duit siapakah sokongan itu kalau bukan dengan duit rakyat jelata?


Iklan ?Cuti-Cuti Malaysia? itu sebenarnya merupakan rencana kerajaan yang memerlukan satu perbelanjaan yang besar. Pelbagai cara telah ditaja dan diadakan. Projek mengisi buku catatan ataupun Rekod Gemilang Malaysia persis Guiness Book of Records masih terus dilaksanakan. Pembikinan ?Popia Terpanjang?, ?Lemang Terpanjang?, ?Bendera Terpanjang? dan penyertaan membuat teh tarik yang paling ramai adalah satu daripada projek yang melucukan kerana apakah sebenarnya yang dapat dibanggakan dalam usaha seperti itu? Kini, menteri pelancongan mahu memperkenalkan pembikinan teh tarik ke seluruh dunia, pula. Kenapakah gerangannya dan apakah dengan memperkenalkan teknik membikin teh tarik itu akan mengharumkan lagi nama Malaysia? Tidak cukupkah ?Malaysia? dipromosikan oleh seorang diktator tua yang bergelar ?Wira Dunia Ketiga?? Tidak cukupkah promosi yang dilakukan oleh penajaan terhadap seorang pelayar solo negara yang telah mencatatkan satu rekod pelayaran dunia? Apakah Malaysia masih tidak dikenal oleh dunia selepas tersibarnya cerita bagaimana pelancong asing diculik dan dilarikan ke Pulau Jolo oleh Kumpulan Al Sayyaf? Sebelum itu tercetus pula kisah Kumpulan Al Ma'unah yang merompak dua kem tentera pada satu malam dan melarikan senjata untuk dicuba di tepi jalanraya.



Iltizam Rakyat Yang Hilang


Setiap pelawat asing kerap senyum sendirian apabila melihatkan negara yang sungguh indah dan penduduknya berbilang kaum dan berbilang agama serta berupaya bertutur berbilang bahasa. Mereka tersenyum kegirangan mengharapkan keadaan kegemilangan yang ada itu dapat berlaku di negara mereka sendiri. Mereka kagum dengan kesediaan rakyat negara ini menyambut ketibaan mereka dan dengan cara hidup rakyat negara ini menerima keadaan hidup yang ada. Tetapi, sedarkah setiap pelawat negara apa yang sebenarnya tersirat di sebalik setiap senyuman rakyat negara ini?


Tidak ada negara lain di dunia ini yang mampu menandingi keupayaan rakyat negara ini dalam cara bersandiwara secara selamba. Sejak Perang Dunia Kedua dulu, rakyat negara ini telah dihujani dengan pelbagai bentuk kesengsaraan. Ketika Jepun datang memerintah, kedaifan telah mengajar penduduknya untuk terus hidup walaupun dengan memakan ubi yang dibakar dan merebus bebunga durian sebagai sayur harian. Apabila Jepun lari kerana kekalahan, negara yang diperintah untuk satu waktu yang pendek oleh ?Gerombolan Bintang Tiga? telah menyaksikan betapa ramainya orang Melayu yang dibunuh oleh kumpulan ganas ini yang mahu menegakkan sebuah negara yang berpaksikan Kerajaan China Komunis. Rakyat negara terutama sekali orang Melayu masih mampu untuk terus hidup lagi sehinggalah penjajah British muncul semula dengan iringan Askar Melayu yang bersenjata.

British datang semula dan menumpaskan kumpulan Cina yang mahu berkuasa selepas tewasnya askar Jepun. Orang Melayu yang masih taat setia kepada sistem beraja, terus mengalukan ketibaan British itu. Mereka akur kepada arahan raja-raja untuk terus taat setia kepada kerajaan British. Kesetiaan yang membabi-buta itu telah menyaksikan penjajahan yang lembut tetapi terang-terangan mengambil tempat unggulan dalam sejarah kehidupan orang Melayu. Sedikit demi sedikit orang Melayu menjadi satu kumpulan manusia yang terpinggir daripada arus kemajuan kerana yang dipentingkan oleh British ketika itu ialah mengambil alih ketuanan Melayu daripada raja-raja untuk dikuasai oleh penasihat raja-raja. Sekaligus, orang Melayu mula hidup berkasta mengikut rentak nafsu-nafsi golongan penasihat British itu. Secara spontan pula orang Melayu menerima pelajaran daripada ketuanan yang baru bahawa ?bangsa yang bergelar Melayu itu adalah satu bangsa yang pemalas dan tidak tahu membangunkan negaranya.?


Alangkah aibnya catatan sejarah bangsa Melayu yang ditulis oleh British ketika itu sedangkan sebelum ketibaan mereka ataupun puak mereka daripada Eropah dulu, Bahasa Melayu digelar bahasa ?Lingua Franca? dan peradaban Melayu dipelajari oleh setiap kaum yang mendatang ke balai istana raja-raja Melayu?


Maka bermulalah satu episod panjang apabila British terus mencengkam penjajahannya di Kepulauan Melayu itu. Bermula daripada Arau di Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Tawau yang terletak dibucu tanah kepulauan Borneo, orang Melayu dijajah mengikut cara yang menyeronokkan pihak yang dilantik pada awalnya sebagai penasihat kepada raja-raja Melayu. Berterusanlah keadaan itu sehingga berlakunya satu semangat kebangkitan di kalangan rakyat untuk memberontak dan menyanggah pemerintahan yang berat sebelah. Golongan penasihat menjadi terkejut dengan semangat kebangkitan itu dan berlakulah putarbalik pemikiran di kalangan raja-raja dan juga rakyat jelata yang berbangsa Melayu. Terbantutlah usaha British yang cuba membuat klassifikasi baru kepada perkataan Bangsa Melayu. Rencana Malaysan Union tumpas, walaupun raja-raja Melayu sendiri sudah hampir menyetujuinya. Tetapi, orang Melayu yang bergelar rakyat itu yang menyanggahnya. Ketika itu British hanya berjaya mengubah sejarah bangsa dengan membuat klassifikasi terhadap orang Bajau, Iban dan Kadazan; terhadap orang Hulu, Hilir, Bukit dan Sungai; orang Murut, Temoi, Sakai dan Jelai. Semua itu adalah Melayu pada asalnya tetapi bagi muslihat penjajahan mereka diberikan taraf baru pula oleh British agar senang untuk memerintah secara ?Pecah dan Jajah?.



Di waktu yang sama, semangat untuk mengembangkan pengaruh Komunis masih bergegar sehinggakan British terpaksa mengisytiharkan keadaan dharurat di negara ini di mana kumpulan yang berpaksikan Parti Komunis Malaya itu diharamkan dan kumpulan itu dikatakan melarikan diri ke hutan belantara. British pun mengembangkan pasukan keselamatan untuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis itu yang sebilangan besarnya dianggotai oleh kaum Cina. Rakyat jelata pun dikerah untuk menjadi polis dan tentera. Sembilan puluh sembilan peratus anggota pasukan keselamatan itu diambil daripada orang Melayu bukan kerana mereka mahu sangat dengan tugas itu tetapi kerana semangat mereka untuk mempertahankan negara yang ?satu? dan semangat mereka mahu mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu dan agama Islam anutan mereka.


Dengan lain perkataan, orang Melayu bangkit semula memikul senjata dan berkorban nyawa dan raga untuk mempertahankan kedaulatan negara, raja-raja, martabat bangsa dan agama Islam. Inilah semangat juang orang Melayu yang ditanam di kalangan mereka sejak British memerintah dulu. Ini jugalah semangat orang Melayu ketika bersatu-padu menuntut kemerdekaan daripada British dulu. Seperti yang berlaku ketika perang melawan Jepun dulu, ribuan nyawa Melayu yang terkorban mempertahankan semangat yang tertanam di sanubari mereka sejak lahir dulu. Ratusan keluarga Melayu tergugat disebabkan keadaan hidup yang daif ketika zaman dharurat dulu. Tetapi, orang Melayu terus bertahan kerana mereka mengharapkan keadaan hidup akan berubah apabila kemerdekaan dapat dicapai.



- 31 Ogos 1957


Inilah tarikh keramat yang menaikkan semula semangat dan martabat orang Melayu. Yang lebih menonjol ketika itu ialah martabat raja-raja Melayu yang diberikan kepada yang berhak. Kemerdekaan itu diisi dengan satu harapan betapa sekumpulan manusia yang dilantik sebagai wakil kepada rakyat yang mengundi mereka di pilihanraya umum itu adalah satu kumpulan yang mewakili rakyat untuk menjadi kerajaan yang memerintah negara. Rakyat jelata tidak pernah menaruh sebarang syak wasangka betapa Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj yang menjadi Perdana Menteri Pertama Negara akan menyeleweng daripada sumpah setianya. Tidak juga kepada Tun Abdul Razak timbalannya ataupun kepada Tun Dr. Ismail, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika itu.



Tunku memimpin negara dengan megah dan dengan penuh sanjungan rakyat jelata. Tidak ada masalah kerajaan yang tidak ditanganinya setelah memberitahu rakyat terlebih dahulu. Tidak ada sebarang masalah yang tidak ditanganinya tanpa disenangi oleh rakyat. Kerajaan Tunku merupakan satu kerajaan rakyat yang ditadbir oleh mereka yang benar-benar bergelar wakil rakyat. Inilah asas keharmonian negara kerana ia telah hidup membesar dengan penuh pengertian bahawa kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang disenangi oleh rakyatnya.


- 13 Mei 1969


Ketenangan dan keharmonian negara tergugat dengan tercetusnya huruhara yang melibatkan pergeseran kaum di antara orang Melayu dan Cina. Pergeseran kaum itu berlaku di Kuala Lumpur pada awalnya tetapi sempat dikekang daripada menjalar ke seluruh negara. Kepintaran segelintir manusia yang bergelar wakil rakyat dengan kerjasama segelintir ketua polis dan tentera bersama segelintir pemimpin masyarakat berjaya membendung huru-hara itu daripada menular.


Dunia menjadi terkejut kerana tidak terfikirkan sebuah negara yang mampu hidup aman damai tiba-tiba bergolak untuk berantakan. Tetapi, dunia tidak sedar ketika itu betapa keadaan huru-hara itu adalah kesan mainan dalang yang mahukan Tunku Abdul Rahman Putra undur daripada jawatannya. Semua kisah pendalangan itu pernah ditulis dan dibukukan oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Di dalam buku itu dia ada menyebut satu nama orang yang membakar semangat membenci kerajaan pimpinan Tunku itu. Nama orang yang jijik itu kini merupakan satu nama yang penuh kontroversi sekali lagi.



Ironisnya menjelang 31 Ogos 2000, nama yang dikatakan sungguh harum itu sudah semakin jijik semula. Kali ini, kejijikan itu bukan sahaja setakat satu kumpulan tertentu seperti yang dialami oleh Kumpulan Tunku dulu. Kini, kejijikan itu dirasai oleh sebilangan besar rakyat jelata negara ini terutama sekali mereka yang bergelar Bangsa Melayu.



Yang Usul Balik Ke Asal


Sejak empat puluh tahun yang lalu, ketuanan Melayu yang diraih kembali daripada British oleh semangat juang orang Melayu dan diserahkan kepada raja-raja Melayu, kini sudah bertukar tangan lagi. Dua puluh tahun yang lalu, ketuanan Melayu itu telah bertukar tangan daripada yang berpaksikan kedaulatan raja-raja Melayu kepada ketuanan parti politik yang bergelar UMNO. Namun, sedikit demi sedikit sejak sepuluh tahun yang lalu, kedaulatan raja-raja Melayu itu terhakis sehinggakan kehadiran mereka hanya simbolik kepada ketuanan Melayu sahaja. Ketuanan sebenarnya pun sudah tidak ada pada UMNO kerana ia sudah bertukar kepada hanya seorang yang kini berkuasa mutlak hingga mampu mencorakkan cara hidup orang Melayu itu mengikut ragam nafsu-nafsinya.


Proses penukaran kuasa mutlak itu dapat dilakukannya melalui pelbagai akta dan perundangan yang diperkenalkan dan dipinda di mana perlu untuk menentukan kuasa ketuanan Melayu itu hanya hak mutlak si insan yang satu itu. Semua lapisan Melayu yang ada, baik daripada golongan istana hinggalah golongan rakyat Melayu yang melata, menjadi kaku, bisu dan seolah-olah terpukau membiarkan ketuanan Melayu itu bertukar tangan. Sekaligus khazanah negara yang sepatutnya menjadi warisan bangsa bertukar tangan juga.




Orang Melayu masih tidak mampu berbuat apa-apa.


Sejarah Melayu berulang kembali. Penjajah dulu melakukan proses ?pecah dan jajah?, kini proses itu berulang lagi. Di zaman British dulu, orang Melayu dikawal pergerakannya melalui satu jaringan lapuran yang dilakukan oleh satu kumpulan masyarakat yang datang daripada India dan Pakistan dan dikatakan beragama Islam. Inilah kumpulan yang menjadi peniaga kedai mamak dan penjual roti dan susu lembu di merata negara. Ada juga di kalangan mereka yang merupakan guru-guru yang akhirnya mengahwini orang Melayu tempatan untuk membiak hingga beranak-pinak pula. Inilah kumpulan yang diberikan tanah lesen ?TOL? untuk berniaga dengan modal yang diberikan oleh British. Inilah juga golongan yang digalakkan oleh British untuk menonjol sebagai golongan yang disegani oleh masyarakat sekelilingnya. Mereka inilah yang merupakan rangkaian talibarut pihak yang memerintah. Mereka berjaya membesar dan membangunkan ekonomi mereka kini disebabkan sikap orang Melayu yang toleran terhadap mereka kerana memikirkan inilah kaum seagama yang patut diiktiraf sebagai ?saudara?. Tetapi apakah jadinya?


Sebagai yang lazim, sesuatu tindakan yang tidak sihat dan yang ditujukan untuk mempengaruhi masyarakat yang bertaqwa, tidak akan dapat bertahan lama. Berlakulah pelbagai usaha untuk mengkucar-kacirkan masyarakat Melayu dalam pelbagai bentuk. Ada yang mencuba melakukan perpecahan melalui ajaran agama Islam yang songsang, sehinggakan berani menonjolkan risalah dan dakyah betapa ?Hadis itu adalah tidak perlu dalam kehidupan ini?. Ada yang berani melakukan pengaruh yang lebih berani memperlekehkan ajaran agama Islam itu sehinggakan mengaibkan nabi junjungan masyarakat Islam. Begitulah seterusnya, penindasan minda Melayu itu terus diganyang oleh pihak yang mempunyai kuasa memerintah negara sehinggakan orang Melayu itu berpecah belah dan berpuak-puak.



Orang Melayu Yang Mudah Mengalah


Ketika British memerintah negara, ada satu falsafah pemerintah yang menjadi amalan mereka. Amalan itu berbunyi........ ?Orang Melayu mudah diperintah kalau perkara ini diberikan perhatian: Islam, raja-raja, gaji, cuti, perkahwinan, sakit dan mati.?


Kerana itu di waktu penjajahan dulu, kalau ada seorang askar yang meminta cuti dengan alasan ?neneknya yang mati?, pegawai pemerintah akan meluluskannya walaupun dia tahu askar itu sudah banyak kali meminta cuti dengan alasan yang sama. Pegawai British itu tidak akan mempersoalkan alasan itu kerana besar kemungkinannya si askar tadi mempunyai seorang datuk yang mempunya empat isteri.

Sikap toleran British yang memerintah, telah dibalas oleh orang Melayu dengan kesetiaan yang tidak berbelah bagi selagi sikap pemerintahan itu dapat menjamin tujuh faktor yang disebutkan di atas tadi. Kerana itu, apabila British melakukan pengasingan kaum bukan Melayu dalam kem perkampungan untuk menjauhkan pengaruh kominis ke atas kaum yang di berikan penempatan itu, orang Melayu tidak pernah membantah. Malahan, ramai orang Melayu yang sanggup pula menerima anak-anak kecil daripada kaum Cina dan India yang sedang kesempitan hidupnya ketika itu. Hasilnya ramai anak-anak angkat itu yang membesar sebagai orang Melayu dan beragama Islam hingga kini.


Toleransi orang Melayu yang semula-jadi itulah yang meyakinkan British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan Singapura. Pihak British yakin, bahawa sikap toleran Bangsa Melayu adalah satu aset yang terpenting untuk menjamin kesejahteraan bekas jajahannya.



Semangat Kemelayuan Yang Mencelaru.


Proses memutarbalikkan minda orang Melayu yang memakan masa lebih dua puluh tahun oleh satu kumpulan yang mahukan ketuanan Melayu sudah membuatkan Bangsa Melayu itu menjadi satu bangsa yang berkecamuk fikirannya.

Sekaligus, kedamaian yang dibawa oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj menjadi tergugat, kerana orang Melayu diberitahu akan bahaya memanjakan kaum asing yang semakin kaya raya ketika itu. Tunku Abdul Rahamn ditohmah sebagai perdana menteri yang amat suka berjudi dan tidak lagi memikirkan masa depan bangsa Melayu. Pemimpin UMNO yang lain yang rapat dengan Tunku pun ditempelak sebagai golongan yang menderhakakan harapan bangsa. Demikianlah, golongan marhaen Melayu itu dipukau dengan kata hasutan. Apabila Tunku bersara, pembantu setianya yang dulu naik memerintah dengan program pemerintahan yang baru. Bangsa Melayu akur lagi tanpa banyak bantahan. Hutan rimba yang dibuka sanggup diteroka oleh bekas perajurit sebagai para peneroka. Sedangkan keadaan hidup di kawasan FELDA, RISDA dan FELCRA ketika itu memang tidak jauh bezanya dengan keadaan hidup yang diharungi oleh kumpulan orang Asli.


Balak yang ditebang telah memperkayakan orang tertentu daripada golongan istana kepada mereka yang baru sahaja melepaskan perusahaan bijih timah yang sudah tidak laku lagi. Para pemimpin Melayu yang bergelar wakil rakyat sudah semakin kehilangan agenda asal ketika mereka dipilih dulu. Hutan rimba yang semakin galak ditebang telah membeliakkan mata mereka untuk turut membalon khazanah negara. Tinggallah orang Melayu di hutan rimba itu untuk memperkayakan negara dan juga para pemimpinnya. Kawasan perladangan itu merupakan gelanggang baru kepada orang Melayu untuk bekerja keras memperbaikki keadaan ekonomi mereka secara kumpulan. Di malam hari mereka berehat sambil mengimpikan sesuatu yang lebih baik lagi.

Dengan kudrat Illahi, harga getah naik mendadak dan dituruti pula dengan harga sawit yang naik mencanak. Harga balak terus naik lagi, tetapi bahannya sudah berkurangan kini. Negara membangun lagi apabila harga petroleum semakin meninggi. Terselamatlah Bangsa Melayu itu dengan penuh keinsafan betapa kenaikan harga sumber negara itu adalah satu rahmat yang datang dari Allah SWT sebagai ganjaran dan pampasan kegigihan mereka untuk bernegara. Sekaligus, orang Melayu lupa bahawa di waktu yang sama ketuanan Melayu itu sudah beransur bertukar tangan, dirangkul oleh seorang insan yang sudah beransur bertukar peranan. Dia bertukar daripada seorang pemimpin yang disegani kepada seorang pemimpin yang semakin berani. Secara bedikit dia menukar agenda kepimpinannya daripada seorang negarawan yang menonjolkan Bangsa Melayu kepada seorang yang mahu dikenal sebagai Wira Dunia yang berasal-usulkan Bangsa Malaysia dan tidak berbangsa Melayu lagi.


Percanggahan Agenda Kehidupan


Percanggahan dalam agenda kehidupan adalah laksana pertembungan anak-anak sungai di satu cabang air yang besar. Matlamat kehidupan itu adalah laksana aliran sungai ke muara. Kalau pertembungan itu berlaku sama kuatnya, akan berlakulah satu jurang yang dalam di situ untuk air bertemu air sebelum terjadi pula lurah aliran yang baru. Inilah yang sedang berlaku sekarang di kalangan Bangsa Melayu.


Pada keseluruhannya masyarakat Melayu itu sudah menjadi terus mencelaru memikirkan serba-serbi kehidupan mereka yang telah tergugat oleh satu arus agenda hidup yang tidak menyenangkan. Mereka telah kehilangan arah sebaik sahaja ketuanan Melayu bertukar tangan. Kini, sebilangan besar masyarakat Melayu itu sudah menjadi keliru siapakah sebenarnya yang mesti mereka pentingkan. Raja-raja Melayu ataupun wakil rakyat Melayu yang amat mereka hormati sejak lama dulu?


Untuk mencari jawapannya, orang Melayu menoleh keliling mereka dan mendapati keadaan hidup yang semakin menekan. Keadaan korupsi yang semakin menjadi-jadi, daya mengejar kekayaan dengan cara yang salah di mana meritokrasi dan kegigihan usaha tidak lagi menjadi ukuran asasnya. Yang penting sekali ialah penekanan kepada sistem Korupsi, Kollusii, Daddykasi dan Detkasi adalah ukuran hidup zaman kini. Semua itu dihayunkan dengan bangganya oleh satu sistem pemerintahan yang berpaksikan seorang diktator tua yang mesti terus berkuasa. Apa jadi akhirnya? Parti politik yang bernama UMNO tidak lagi menjadi parti politik yang disenangi oleh majoriti orang Melayu.

Dengan kehendak Allah jua, ketika negara hampir merayakan ulangtahun kemerdekaan ini terjadi pelbagai drama, sandiwara dan insiden yang mencelikkan mata. Korupsi yang berjuta harganya yang diamalkan di JPJ melibatkan lebih satu ratus ribu manusia yang mempunyai lesen memandu haram mengimbau kenangan akan jumlah kemalangan jalanraya yang semakin meningkat. Sekaligus, korupsi seperti ini mengingatkan rakyat akan kisah projek kerajaan yang banyak terbengkalai sedangkan bayaran lumayan sudah tertunai. Projek PULAREK yang perlu dibaik-pulih semula, keadaan Kompleks Stadium Bukit Jalil yang hanya baru dua tahun usianya tetapi menunjukkan kedaifan pembikinannya, Projek Ampangan Bakun, Projek Perwaja dan banyak lagi. Semua itu mengejutkan orang Melayu kepada apakah yang sudah jadi dengan sistem pemerintahan negara masa kini. Apabila diambil kira semua itu dan disatukan pula dengan segala projek mega di Langkawi yang dibina untuk menaikkan nama Malaysia, semua tandatanya itu merupakan soalan yang memerlukan jawapannya.



Kini, ulangtahun kemerdekaan berulang kembali. Tetapi, rakyat sudah lali dengan segala pujukan yang datang menjela panjangnya agar rakyat mula berpesta lagi. Seratus bait pantun mungkin dibaca semula. Titisan airmata si tua mungkin berjuraian juga ketika membaca segala gurindam dan seloka mengenai kemerdekaan itu. Mungkin mengenai satu iltizam yang baru agar rakyat terus berkorban lagi. Semua itu akan menjadi basi sahaja kerana rakyat sudah lama menyedari lakonan drama dan sandiwara yang disisip di dalamnya.



Perayaan Merdeka untuk apa soal mereka kini. Ulangtahun merdeka untuk siapa pula lagi, tanya mereka kali ini. Perayaan itu boleh diraikan dengan ratusan juta ringgit lagi; tetapi rakyat semakin sedar begitulah simboliknya pembaziran royalti minyak yang sepatutnya tersimpan rapi sebagai warisan bangsa. Rata-rata, sambutan ulangtahun kemerdekaan tidak lagi membawa banyak makna kepada orang Melayu kerana mereka semakin sedar betapa mereka sudah lama tertipu. Alangkah pedihnya perkara ini, sedangkan itulah kaum yang bermati-matian dan bergadai golok untuk menentukan keutuhan negara dan martabat bangsanya?


Kini, orang Melayu masih hidup terumbang-ambing. Setiap gerak langkah mereka mesti bertepatan dengan keserasian seorang diktator tua dan hukum hakam ciptaanya. Perkara ini baru disedari oleh Mufti Johor yang mahukan bakal pengantin lelaki menjalani ujian air kecing untuk mempastikan kebersihan bakal calon perkahwinan itu daripada serangan AIDS. Tetapi siapakah yang menyanggahnya kalau bukan anak si diktator itu. Sebelum ini adakah sesiapa di kalangan masyarakat Melayu yang mempersoalkan samada sang suami yang mengahwini si wanita itu pernah menjalani kursus perkahwinan? Begitu juga dengan anak lelaki si diktator itu yang sudah pun berumah tangga. Adakah mereka pernah menjalani kursus perkahwinan, sebelum mereka berumah tangga?



Rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu lebih selesa mengenangkan nasib yang ditanggung oleh Anwar Ibrahim dan keluarganya. Mereka bersedia berfikiran demikian daripada mengibarkan bendera di kereta mereka. Rupanya rakyat faham bahawa tambahan hukuman yang ditanggungnya bukan lagi tambahan hukuman terhadap dirinya dan juga anak dan keluarganya. Tambahan hukuman itu berarti tambahan kesengsaraan yang perlu ditanggungi oleh segolongan besar rakyat negara ini juga. Tidak kira apa kaumnya dan apa pegangan agamanya. Bilangan Jalur Gemilang yang berkibar di kenderaan yang bergerak di jalan raya bukan sahaja berkurangan secara drastiknya. Kibaran setiap bendera yang ada itu kini membawa satu makna yang amat berbeza daripada makna yang asalnya. Sebilangan besar rakyat yang melihatnya kini, menyedari bahawa setiap gerak kibaran bendera itu adalah lambang gerak hati yang mahukan seorang diktator tua yang mengetuai regim negara ini berundur segera. Bersama dengan para juak, jongos dan kumpulan Kroniputranya. Malahan juga mereka yang sekapal dengannya.





- Marhaintua -
Kucing - 30 Ogos, 2000