Laman Webantu   KM2A1: 2632 File Size: 29.4 Kb *



KTLBELB 26: Yang Bergolek dan Bergolak
By Marhain Tua

25/8/2000 3:54 pm Fri

Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Lagi Elok Bersila

KTLBELB:Bab 26


Yang Bergolek dan Bergolak



Ketika Mr. Lee Kuan Yew menceritakan kisah perbualannya di Davos dengan Mahathir dalam kes penahanan Anwar Ibrahim dulu, menteri kanan Singapura itu ada membuat beberapa pendedahan seolah-olah dia tidak berapa suka dengan perbuatan kawan lamanya itu. Sekaligus ramai rakyat Malaysia yang fikir Lee Kuan Yew cuba memperlekehkan Mahathir. Tetapi, perkara sebenarnya ialah mereka berdua sedang mencari satu formula baru bagaimana Mahathir boleh terus berkuasa dan menjadi satu penghalang utama terhadap kebangkitan arus reformasi di dua belah negara. Kerana itu, Lee Kuan Yew berani mempersendakan Mahathir di Kuala Lumpur sebelum beliau bertolak pulang. Kalau Lee mahu berniat serong dengan Mahathir, tentu sekali dia telah mencadangkan agar Mahathir berundur diri secara hormat selagi ada lagi secebis perasaan hormat rakyat Malaysia terhadapnya. Dengan kata mudah, tentu sekali Lee Kuan Yew menasihatkan Mahathir melepaskan jawatannya dan mengambil peranan sebagai menteri kanan di kabinet Persekutuan pula. Ataupun apakah Mr. Lee ada menasihatkan Mahathir supaya undur dengan hormat sebelum terlambat?


Mr. Lee Kuan Yew memang terkenal sebagai seorang negawaran terulung di rantau ini. Tidak ada lagi sesiapa negarawan (di rantau ini yang masih hidup) yang mampu menandinginya. Tidak juga Mahathir. Kerana itu dia sudah dapat melihat betapa rapuhnya Mahathir sekarang. Pelbagai peristiwa yang berlalu sejak dua bulan yang lalu adalah satu gambaran yang jelas kepada Mr. Lee betapa Mahathir sedang mencengkam tanah yang dipijaknya laksana seekor anjing tua yang masih lagi mempunyai hati muda melihatkan gelagat suku sakatnya di musim mengawan. Lee sudah nampak dengan jelas betapa Mahathir hanya menantikan hari-hari yang bersejarah untuk menyembah bumi juga. Kerana itu segala taktik Mahathir untuk terus berkuasa itu dianalisa sebaik mungkin oleh negara jiran dan juga para analis professional untuk menilai apakah yang akan terus datang bergolek untuk menjadi isu yang bergolak dan mencemaskan keselamatan rantau ini.


Kalau Mr. Lee Kuan Yew sudah mampu memahami kedudukan Mahathir sekarang ini, siapakah lagi yang mampu berfikiran seperti Lee? Tentunya semua kuasa dunia yang memang mahu melihat bila agaknya Mahathir akan undur ataupun diundurkan. Tentunya para penganalisa korporat bertahap global yang mahu melihat risiko pelaburan mereka di rantau ini. Tentunya para hartawan bukan Melayu yang sudah lama kaya raya di negara ini melalui sistem Kronisme, Korupsi, Daddykasi dan Detkasi. Selama ini mereka pura-pura akur dengan Mahathir, tetapi kita tahu mereka pun sudah lama mengatur strategi apa yang perlu dibawa lari dan bila mesti bersiap sedia untuk lari.


Mampukah Mahathir Menyanggah Sejarah ?


Kalau kita lihat pergerakan dan aktibiti Mr. Lee Kuan Yew sejak dia meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Singapura dulu, kita akan faham beliau adalah seorang insan yang tidak mudah memberi nasihat ataupun kritik terhadap negara luar. Selalunya dia menumpukan fokus kritikannya terhadap negaranya sahaja. Kalau dia lakukan kritikan terhadap negara luar, kritikannya itu adalah simbolik untuk menghentam kuasa yang lebih besar darinya dan juga sebagai ingatan kepada pemimpin muda Singapura yang naik kerana tunjuk ajarnya. Itu sebabnya penganalis professional mengiktiraf Mr. Lee Kuan Yew sebagi 'Mr. History of Singapore'


Satu ketika dulu Mr. Lee ada membuat komen betapa perlunya Singapura memikirkan kemungkinan republik itu berbalik kembali di bawah satu gagasan dan bendera yang memberinya ruang mencapai kemerdekaan dulu. Dengan ringkas beliau membawa kejutan di kalangan masyarakat Singapura betapa mungkinnya Singapura menganggotai Malaysia semula untuk terus berjaya. Lantas, para pemimpin di Malaysia berlagak sakan sehinggakan pemimpin yang baru laksana jagung mentah pun turut terbawa dengan sentimen yang palsu itu. Mr. Lee sebenarnya menyindir rakyat Singapura agar berwaspada untuk bekerja kuat lagi dan menjamin kejayaan republik itu. Inilah yang tidak difahami oleh kebanyakan pemimpin Malaysia ketika itu, apatah lagi para pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO yang ikut melatah tak tentu hala. Ada di kalangan mereka yang berucap betapa Lee Kuan Yew "sudah mendongak muka ke langit untuk menjilat ludahannya". Sekaligus mereka meninggikan suara untuk memuji-muja Mahathir Mohamad sehingga tinggi melangit pujiannya. Pernah terlintaskah di kepala otak pemimpin pemuda UMNO itu kini, apa yang terjadi selepas Mr. Lee Kuan Yew muncul di bumi Malaysia kali ini? Adakah dibincangkan masalah Singapura menganggotai Malaysia? Adakah sesiapa di kalangan pemimin pemuda UMNO yang pernah terfikirkan drama lawak jenaka Lee Kuan Yew mengenai hal ini?


Siapa Lawan Siapa Kawan ?



Kita nampak berapa tersinggungnya Mahathir dengan perbuatan Mr. Lee Kuan Yew ketika berada hanya empat hari di Kuala Lumpur. Risikan Malaysia telah menyatakan siapakah yang ditemui oleh Lee ketika berada di ibukota. Dia tidak pun menghabiskan masa yang panjang dengan Mahathir untuk memberi justifikasi kenapa dia perlu empat hari untuk membuat lawatan itu. Dia tidak pergi ke tempat lain seperti Pulau Pinang ataupun Langkawi. Tidak juga dia pergi ke tanah tumpah darah asalnya di Perak untuk mengimbau sejarah silam. Mr. Lee hanya berada di Kuala Lumpur menikmati keindahan Menara kembar berbentuk 'H' yang mengikutnya adalah satu pembaziran khazanah negara. Apabila dia menoleh kesebelah menara kembar itu dia terlihat Menara Kuala Lumpur yang digunakan untuk tujuan kommunikasi, tetapi dia tidak membuat soalan mengenainya. Dia sudah lama tahu betapa kedua-dua menara yang berbilion harganya itu adalah satu lambang kepada rakyat malaysia di masa depan berapa rakusnya seorang pemimpin yang satu ketika dulu bersuara lantang menghentam Tunku Abdul Rahman Putra. Sayangnya, kita hanya akan mengetahui perasaan Mr. Lee sebenarnya apabila terbit sebuah memoir khas (mengenai semua ini) selepas kematiannya. Untuk ketika ini, sudah tentu perasaannya itu dipendamnya dulu sebagai tanda hormat kepada perhubungan dua negara yang dikatakan ikrab itu.


Namun, seluruh dunia kini faham bahawa di antara Mahathir dan Daim, siapakah orang pilihan Mr. Lee ? "Daim," katanya singkat. Kenapa pula begitu, kita mahu bertanya sedangkan Mahathir dan Lee pernah seangkatan di Singapura satu ketika dulu dalam dunia kewartawanan dan penulisan. Soalan demikian tentu tidak berani disoalkan oleh wartawan negara ini kepadanya di sidang akhbar yang lalu kerana mereka tahu akan bahananya. Begitu juga dengan kisah lain seperti masalah Stesen Keretapi di Singapura (Pasir Panjang) dan harta Malaysia daripada Woodlands ke Tanjung Pagar itu. Sekali lagi soalan mengenai hal itu tidak dikemukakan, seperti juga soalan pandangan beliau terhadap kes-kes lama di Malaysia yang terbeku dan terpendam sahaja. Malahan, ada satu soalan penting yang sungguh relevan yang patut dikemukan oleh wartawan dari Malaysia: kenapakah kerajaan Singapura masih menyekat caruman rakyat Malaysia yang sudah lama berhenti kerja di republik itu? Kenapakah wang itu tidak dikirimkan untuk dimasukkan di KWSP Malaysia? Mungkin juga para wartawan akhbar Malaysia sengaja diajar tidak menyoal soalan sensitif seperti itu, kerana Mr. Lee Kuan Yew adalah kawan baik orang-orang Utusan Melayu?


Jikalau kita lihat kenyataan Mr. Lee ketika sidang akhbar dulu itu, nampak ada satu lakonan juga. Dia tidak banyak menghentam cara negara ini ditadbir dari perspektif pembaziran wang rakyat. Tentunya Mr. Lee amat faham betapa banyak bank di Singapura yang mengaut hasil kekayaan ini disebabkan rakyat Malaysia yang melarikan harta mereka daripada negara ini. Mr. Lee tidak pernah buat komen akan keadaan pencapaian Malaysia dalam arena pelajaran kerana dia tahu anak-anak hartawan Malaysia menerima didikan di Singapura dan bukannya di Kuala Lumpur. Dia tahu semua itu kerana banyak apartment dan kondominium yang mahal-mahal adalah kepunyaan tauke besar Malaysia dan para jongos Mahathir untuk tujuan memudahkan mereka berkumpul ramai-ramai di hujung minggu. Ataupun ketika Mahathir ke luar negara melakukan peranannya sebagai Wira Dunia Ketiga.


Kalau demikianlah halnya, apakah sebenarnya tujuan Mr. Lee datang ke Kuala Lumpur? Kalau mahu bertemu dan makan besar dengan orang kenamaan di Kuala Lumpur dia mampu menunggu ketibaan mereka di Singapura. Dia boleh mengirim salam dan menjemput mereka ke Sri Temasik untuk bersua muka dan berlawak jenaka. Dia mempunyai kekuatan untuk mengetahui nombor akaun rahsia mereka semua di Bank Singapura. Malahan dia tahu nama gundek dan isteri simpanan para hartawan Malaysia di seberang tambak sana. Tentu sekali Mr. Lee tidak perlu datang ke ibukota untuk tujuan itu semua kalau lawatannya itu hanya untuk bersua muka dengan Mahathir sahaja?


Tentu ada sesuatu yang lebih penting daripada apa yang kita tahu secara terbuka mengenai lawatan Mr. Lee itu. Apakah dia (Mr. Harry Lee) datang untuk menyaksikan The Royal Circus of London dengan tujuan menentukan gereja mana di Kuala Lumpur ini yang sepatutnya menerima 5% derma kutipan jualan tiket setiap hari? Apakah dia datang untuk memberi nasihat kepada Mahathir sebelum dia bertolak ke Mozambique ? Ataupun apakah dia datang untuk memberi sokongan kepada Parti Gerakan di atas masalah kepimpinan mereka? Inilah yang masih menjadi tandatanya para analis masakini. Kerana, tidak ada satu masalah yang tidak dapat dibincangkan oleh Mr. Lee dengan Mahathir melalui telefon dan telefaks sahaja. Malahan mereka sentiasa boleh berhubungan melalui sistem 'teleconferencing' yang sulit dan berahsia. Apa juga muslihat sebenar pertemuan mereka, rakyat marhaen tidak akan tahu kerana sistem rahsia di negara ini tidak membolehkan kita mengetahuinya. Sedangkan di negara yang maju setiap aktibiti pemerintah didedahkan untuk kajian rakyatnya setelah satu tempoh yang terhad. Tetapi di negara ini apa juga yang dilakukan oleh pemerintah hanya merupakan hak pemerintah. Rakyat tidak akan mengetahuinya selagi pemerintah tidak mendedahkannya. Alangkah lucunya perkara ini sedangkan yang memerintah itu adalah wakil rakyat, sebenarnya?


Hak Keistimewaan Orang Melayu


Kekecohan mengenai hak keistimewaan orang Melayu tiba-tiba meletup sebaik sahaja Mr. Lee Kuan Yew berlepas daripada Kuala Lumpur untuk pulang ke Singapura. Kenapakah kekecohan itu tiba-tiba sahaja meledak ? Kenapakah Pergerakan Pemua UMNO mampu menunjukkan keberangan mereka mengenai isu ini sedangkan Perdana Menteri sendiri telah diberitahu oleh David Chua betapa pendapatnya sengaja disalah-tafsirkan oleh Utusan Melayu?


Penulis Veteran MGG Pillai telah menulis panjang mengenai hal ini dan mengatakan betapa Pemuda UMNO itu berlagak sakan tidak kena pada tempatnya. Bukankah hak keistimewaan Melayu itu sesuatu yang lama termaktub dalam perlembagaan negara? Dengan hal yang demikian, siapakah yang cuba ditipu oleh Pemuda UMNO ini? Apakah mereka fikir orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya sudah begitu jauh kebelakang dalam bidang sejarah? Soalan ini telah dijawab oleh seorang peniaga gerai makan yang berkata: "Inilah lakonan Mahathir yang terbaru!!! Yang peliknya pergerakan Pemuda UMNO turut berlakon sama!!"

Bayangkanlah sendiri begitu hinanya tafsiran rakyat akan perkara ini terhadap seorang perdana menteri dan juga terhadap pelapis pemimpin negara. Jikalau rakyat marhaen sedar akan lakonan terbaru ini apakah sebenarnya tujuan lakonan itu dicetuskan? Apakah ia bertujuan untuk mengalehkan pemikiran orang Melayu terhadap impak saranan Mr. Lee Kuan Yew mengenai keputusan mahkamah terhadap Anwar Ibrahim? Apakah benar, Mr. Lee Kuan Yew sudah menerima 'advance warning' (amaran awal) mengenai tindakan dunia luar terhadap Mahathir berasaskan keputusan mahkamah terhadap Anwar? Apakah ini sebenarnya maksud kenyataan Mahathir yang berbunyi "Kini kita baru tahu siapa kawan dan siapa lawan...."

Sebenarnya, kita boleh menyoal Mahathir dan juga para pemimpin Pemuda UMNO, apakah sebenarnya yang membuat mereka melatah sekarang ini mengenai Hak Keistimewaan Melayu itu? Apakah mereka tidak sedar bahawa golongan yang paling beruntung dengan Hak Keistimewaan Melayu itu adalah golongan yang bertapa nun jauh di atas pucuk pimpinan parti yang bergelar UMNO. Di samping itu yang paling beruntung dalam keistimewaan ini adalah golongan yang kini mudah dikenal sebagai kumpulan Kroniputra. Inilah segelintir orang bukan Melayu yang berugama Islam dan berjaya menyamar sebagai orang Melayu dan syok sendirian setelah diberi pangkat dan tempat dalam UMNO. Mereka ini lah juga yang berjaya menonjolkan segolongan orang bukan Melayu yang tidak beragama Islam yang diberi segala keistimewaan oleh Mahathir untuk turut sama membalon harta negara yang sepatutnya diwariskan kepada keturunan bangsa Melayu khasnya dan keturunan rakyat Malaysia amnya.


Mr. Lee tahu apa yang sedang di hadapi oleh Malaysia dalam satu dekad yang terdekat. Malaysia akan menghadapi masalah dalam menangani hutang negara, seandainya harga minyak turun dan seandainya simpanan minyak dan gas menurun. Harga minyak boleh turun kalau kuasa besar seperti Amerika mahu harga itu turun. Kerana itu kita dapati pergolakan di Tanah Arab akan berterusan semata-mata kerana Amerika mahu mengawal bekalan minyak dan gas dan juga harganya. Kerja-kerja mengawal itu menjadi mudah kerana Indonesia masih lemah. Indonesia masih lagi tidur kini, seperti yang kerap berlaku kepada presidennya di majlis besar negara, baik di siang hari ataupun di waktu sore. Kalau Indonesia mampu bangkit, industri minyak negara itu dipergiatkan, besar kemungkinannya simpanan minyak Malaysia akan tergugat dan ini akan mencetuskan kerisauan kepada pemimpin seperti Mr. Lee. Dia tahu keharmonian dan kestabilan politik Singapura banyak bergantung kepada kesinambungan kekayaan yang diperolehi oleh Indonesia dan Malaysia. Untuk berdekad lamanya, Singapura menjadi kaya raya kerana menapis minyak keluaran negara Arab dan juga Indonesia. Di waktu yang sama Singapura merupakan 'pejabat pos' besar bagi segala urusan mengenai perkapalan dan pengangkutan udara dan maritim. Lantas sistem perbankan Singapura terus mantap secara tidak langsung disebabkan kemudahan perkhidmatan ini.



Faktor ekonomi yang dituliskan di atas sudah tentu memang difahami oleh Mahathir dan dia tidak perlu satu ingatan ataupun nasihat daripada Mr. Lee yang mesti datang secara peribadi.


Tetapi, kenapakah berlaku satu demonstrasi di Putra Jaya sebaik sahaja Mr. Lee menamatkan lawatannya? Kenapakah secara spontan beberapa kumpulan 'rakyat yang perihatin' mampu menunjuk perasaan dan memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri sehinggakan beliau menangis lagi? Apakah kena mengenanya lawatan Mr. Lee yang baru berakhir itu dengan lakonan si diktator tua menangis lagi? Yang leih menakjubkan bagaimanakah begitu ramai mampu berdemonstrasi tanpa lesen dan iringan kawalan polis?



Bila Diktator Tua Menangis Lagi


"Mahathir menangis lagi, Mahathir menangis lagi" demikianlah ungkapan yang diulang-ulang di Puduraya di sebelah petang itu kerana lakonan tangisan seorang diktator tua hanya diketahui olah rakyat setelah mereka menonton Berita TV Jam 6 petang. Kenapakah ungakapan "PM Menangis tadi," diulang-ulang secara bebas di merata ibukota di satu petang itu, seolah-olah ada satu jentera khas yang melakukan ulang-main tape-recorder yang tersembunyi?


Memang pelik peristiwa itu, kerana ketika itu negara sedang meraikan kedatangan dua tetamu besar yaitu Nelson mandela dan juga Yassir Arafat. Malahan Yassir Arafat terpaksa tinggal lebih lama daripada jadualnya kerana kerosakan pesawat terbangnya sebelum berlepas ke Jakarta.


Kemunculan dua tetamu khas negara yang bukan calang-calang orangnya selepas negara menerima ketibaan 'Mr. History of Singapore' sepatutnya merupakan satu penghormatan yang besar kepada Mahathir dan mampu membuatkan beliau ketawa panjang sentiasa. Lagipun ketika itu beliau sedang bersiap-siap untuk ke Moputo dan kemudiannya ke London sebelum terbang ke Chicago untuk berucap kepada satu forum antarabangsa.



Antara Malaysia dan Mozambique


Pada hari Ahad yang lalu, Mahathir sudah pun berada di Maputo, Mozambique. Hanya dia seorang pemimpin daripada luar Afrika yang menghadari Southern Africa International Dialogue 2000 (SAID 2000). Kalau kita kurang arif tentu kita termakan propaganda yang disiarkan di media kerajaan akan tugas Mahthir di sana. Maklumlah, pemergiannya itu diiringi oleh lebih 30 orang anggota delegasinya. Mak uui....alangkah hebatnya? Akan tetapi kalau kita kaji balik dengan teliti, apa yang disebut sebagai persidangan besar ini hanyalah merupakan satu persidangan yang ditiru daripada Langkawi International Dialogue. Pertama kali ianya diadakan di Afrika ialah di Kasane, Botswana pada tahun 1997. Kemudian di Swakopmund Namibia pada 1998. Tahun lepas di Victoria Falls Zimbabwe.


Kalau kita kaji sejarah Mozambique kita akan sedar bahawa inilah sebuah negara yang baru bernafas kembali setelah mengharungi peperangan saudara lebih dua dekad. Kalau kita teliti negara yang baru bangkit daripada satu keruntuhan disebabkan peperangan saudara, kita akan sedar kebangkitan itu adalah sesuatu yang pedih dan masih goyang. Pembangunan yang baru bermula tentunya mendapat perhatian yang penuh daripada semua agensi PBB dan Bank Dunia. Tentu sekali semua institusi gereja Kristian bertumpu ke sana kerana itu sudah menjadi sikap mereka bekerja. Ciri yang unik inilah yang menyebabkan tidak ada seorang pun pemimpin dunia yang unggul dan ternama menyertai persidangan ini. Hanya seorang pemimpin negara yang ketagih dengan jolokan Wira Dunia Ketiga.

Mozambique adalah sebuah negara yang kaya dengan emas dan hasil galian yang lain. Pada awal tahun ini (Februari - Mac) ia telah dilanda banjir besar yang telah menyebabkan kematian hampir satu ribu manusia. Banjir besar ini telah membantutkan pembangunan negara itu setelah peperangan saudara berjaya ditamatkan pada tahun 1992.

Dalam Forum antarabangsa itu kita diberitahu terdapat 400 wakil delegasi yang turut serta. Beberapa pemimpin negara Afrika telah berucap dengan menggunakan tajuk yang amat digemari oleh Wira Dunia Ketiga - "Globalisasi dan bagaimana mahu menentangnya"

Inilah modal Wira Dunia Ketiga kalau dia berucap di mana sahaja. Tetapi kalau kita tanya pakar yang pernah bertugas di Afrika, apakah yang mereka amat perlu untuk terus kekal dengan kuasa yang ada?

Mereka akan jawab, "kita mesti terus sokong Amerika, Britain, Jepun, Russia, China, Peranchis dan Jarman". Belum ada seorang pun di kalangan mereka yang menyebut kita mesti terus sokong Malaysia. Kenapa? Kerana kita bukannya diiktiraf sebagai sebuah negara yang dalam kategori kuasa besar.


Jika demikian, kenapakah kita terburu-buru mahu menjadi tenaga pengajar di Afrika? Apakah muslihat sebenarnya kita berbelanja besar di sana? Selama ini pun Mahathir amat sering ke benua itu dan menggalakkan syarikat Malaysia melabur dalam pelbagai bidang. Bagaimanakah prestasi mereka dan kenapakah banyak sangat syarikat itu yang sedang menghadapi masalah besar di sana? Bukankah aib kepada Malaysia ketika kebanyakan syarikatnya gagal beroperasi di sana, kerajaannya pula semakin galak berlagak seolah-olah pintar dalam pertadbiran negara? Dalam soal ini siapakah yang mahu menipu siapa?


Setiap negara yang baru betah daripada peperangan-saudara masih lagi dianggap sebagai negara berisiko tinggi dalam aspek keselamatan. Apatah lagi dalam segi pelaburan daripada luar. Risiko ini berlaku disebabkan kekuatan pasukan yang menentang dan menjadi pembangkang kepada kerajaan yang sedang berkuasa. Contohnya di Mozambique sekarang ini ialah masalah yang dihadapi oleh Matola Transport Company, STM yang berpusat di Matola. Kegagalan syarikat bas ini adalah satu pertanda bahawa apa yang dikatakan keadaan pulih di Mozambique itu akan tergugat.

Di samping itu, Mozambique adalah dibawah kawalan USAID yang memberikan banyak bantuan kepada pemulihan ekonominya. Pengaruh USAID adalah kuat sehinggakan ia mampu menentukan kadar faedah bank yang perlu ditetapkan oleh kerajaan Mozambique. Buat masa ini kadar faedah bank adalah sekitar 8 hingga 10 persen.

Seperti yang berlaku di banyak negara di Afrika, apabila USAID mempunyai pengaruh menentukan kadar faedah bank, ia membawa erti kuasa dan pengaruh Amerika Syarikat di negara itu amat kuat. Tidak ada kuasa negara lain yang mampu menandingi kuasa Amerika di situ. Contoh yang paling baik di Mozambique ialah kesediaan negara itu menerima sesiapa sahaja daripada negara jiran yang mahukan suaka politik daripada negara itu. Semua itu adalah di atas anjuran Amerika juga.


Kini, dengan pimpinan Amerika Syarikat Mozambique sedang membangun dengan pesatnya. Satu lebuhraya yang menghubungkannya ke Afrika Selaan semakin siap. Lebuhraya yang dinamakan Maputo Corridor itu merupakan satu jalan yang bertol yang sedang ditentang oleh banyak pihak di Mozambique. Tetapi ia akan merupakan satu ujian besar kepada kerajaan yang sedia ada.


Kini, SAID 2000 sudah pun selesai dan para delegasi sudah pasti mula meninggalkan Maputo.



Kemana Mahathir selepas SAID 2000 ?

Mengikut rencananya Mahathir sepatutnya menghadiri satu Forum di Cambridge Universiti. Di situ beliau sudah dijadualkan untuk memberiakan ucaptama di hadapan para ilmuan yang dijemput khas mendengarnya. Sudah tentu sekali, ucapan Mahathir sepatutnya menjadi satu isu tarikan yang mungkin disebarkan luas oleh media massa di sana. Akan tetapi, secara tiba-tiba muncul pula berita betapa Mahathir tidak jadi berucap di sana kerana adanya satu gerakan memboikot forum itu daripada kalangan cerdik pandai di England. Kepada rakyat marhaen, pemboikotan forum itu oleh para ilmuan barat tentulah merupakan satu tamparan hebat bukan sahaja kepada Mahathir, malahan kepada Malaysia. Bahawa berita ura-ura pemboikotan itu muncul ketika Mahathir sedang berlagak sakan di Maputo tentunya menggugat pemikiran beliau ketika berada di sana, bukan? Apakah ini sebabnya Mr. Lee Kuan Yew datang ke Kuala Lumpur untuk menyampaikan berita buruk itu kepada Mahathir sebagai wakil proksi penaja Forum itu di Cambridge University? Benarkah tekaan kita Mr. Lee hanya mampu memberikan kiasan kepada rakyat Malaysia akan penarikan kehormatan kepada Mahathir oleh University of Cambridge itu dengan mendedahkan berita perbualannya mengenai Anwar di Davos dulu?


Pemboikotan ISNA dan Pertubuhan Islam Dunia.


Pada 14 Ogos yang lalu, ISNA (Pertubuhan Islam Seluruh Amerika Utara) telah membatalkan cadangan menjemput Mahathir berucap di satu persidangan tajaan mereka. Kemudian, muncul pula surat yang ditulis oleh Dr. Sheikh Taha Jabir Al-Alwani mengenai keputusan mahkamah yang menghukum Anwar Ibrahim tanpa mengambil kira hukum Islam. Aduuuuh......inilah satu tamparan hebat ke atas keperibadian seorang insan yang sudah maghrib umurnya. Di waktu yang sama inilah juga satu tamparan yang hebat ke atas sesiapa juga yang pernah menghakimkan kes Anwar Ibrahim itu. Sekaligus mereka itu telah mempertontonkan betapa mereka lebih takut kepada Mahathir daripada takutnya mereka terhadap Allah swt. Bayangkanlah Ariffin jaka pernah satu ketika dulu merupakan Pesuruhjaya PAS di Negeri Sembilan dan pernah bertanding dalam pemilu atas tiket PAS.

Soalnya sekarang, apakah ketibaan Yassir Arafat ada kena mengena dengan berita buruk yang akhirnya menghantui Mahathir itu?




Mahathir yang Semakin Tertekan

Ling Liong Shit selalu menyebut satu peribahasa Parsi yang terkenal: "Ikan mula busuk daripada kepalanya". Begitulah keadaan UMNO sekarang ini. Dan begitulah juga keadaan negara Malaysia yang dipimpin oleh insan yang bernama Mahathir bin Mohammad. Betapa pun beliau berusaha untuk memperbaiki imejnya ia sudah semakin tercemar. Contoh betapa tertekannya Mahathir sekarang ialah dengan tindakannya melantik seorang wakil rakyat muda (yang baru berumur 35 tahun dan baru sahaja memegang amanah rakyat) untuk menjadi menteri besar Selangor. Mahathir memberi alasan lemah dalam pemilihannya itu. Dia tidak boleh membandingkan Dr. Khir dengan Isa di Seremban kerana ayah Isa pernah satu ketika dulu menjadi wakil rakyat. Begitu juga perbandingan yang digunakannya terhadap Hisyamuddin Onn dan Najib Tun Razak dan juga Tajol Rosli.


Sepatutnya Mahathir berpegang kepada falsafah meritokrasi dalam pemilihan menteri besar Selangor. Kini, orang yang diamanahkannya itu sudah menunjukkan kementahannya berpolitik. Baru diangkat sudah mahu bermandi darah. Alangkah gobloknya seorang pemimpin muda yang berdarah Jawa...??? Kalaulah Dr. Khir tidak mampu berubah perangai, dia akan merupakan seorang pemimpin muda Jawa yang akan mengaibkan sukusakatnya.



Yang Bergolek Terus Bergolak?

Keadaan negara semakin mencelaru dan keadaan pasaran saham pun turut mencelaru juga. Mr. Lee Kuan Yew amat sedar akan fenomena ini kerana dia sendiri pernah melaluinya. Satu ketika dulu, masyarakat niaga Singapura memberontak dalam senyap-senyap kerana mereka berpendapat Singapura hanya mampu membangun kembali kalau Mr. Lee melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri. Sebagai seorang pemimpin yang bertaraf negarawan, Mr. Lee akur dengan sentimen rakyatnya. Dia mengundurkan diri dan Singapura kembali membangun dengan pesatnya.

Sayangnya, Mahathir adalah seorang pemimpin negara yang tidak satu kelas dengan Mr. Lee Kuan Yew, walaupun Mr. Lee tidak pernah menerima jolokan Wira Dunia Ketiga.

Kalau Mr. Lee tidak berjaya menasihati Mahathir untuk mengundurkan diri secara terhormat, apakah gerangan yang telah dilakukan oleh Mandela dalam lawatannya yang singkat itu? Apakah benar Mandela mengulangi kembali nasihat Yassir Arafat agar Mahathir membebaskan Anwar Ibrahim? Mandela amat faham akan dilema yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim. Yang lebih penting lagi Mandela amat faham dilema yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dengan terpenjaranya Anwar Ibrahim. Cuma Mandela mungkin tidak mengingatkan Mahathir bahawa hak keistimewaan orang Melayu sudah tergugat kini ke mercu penghinaannya: Dengan menyumbat Anwar Ibrahim untuk satu masa yang panjang di dalam penjara Mahathir sebenarnya sudah menidakkan hak orang Melayu melantik Anwar menjadi pemimpin mereka yang sah di alaf baru ini.


Mandela, Lee Kuan Yew dan Yassir Arafat sudah pun datang dan pergi. Tentu banyak isu yang dibualkan dan tentu ada di antara mereka yang menasihatkan Mahathir untuk undur secara terhormat. Jika tidak, masakan Mahathir menangis secara mudah di khalayak ramai selepas mereka berpergian.


Kini, Mahathir berada di luar negara. Dia sedang diserang oleh satu tindakan yang mengaibkan perwatakannya kerana itulah maruah Mahathir yang sebenar-benarnya, masakini. Dia telah menghina namanya sendiri dan mengaibkan ketokohannya sendiri dengan kerja-kerja jijik semata-mata untuk terus berkuasa. Mungkin ada di antara kerja jijik itu dimulakan oleh para jongosnya yang memang jijik perangainya sejak lahir lagi. Tetapi, Mahathir masih waras lagi dan masih mampu berfikir dengan bijak. Kalau tidak masakan dia boleh berbohong dalam setiap kali berucap kepada rakyat. Hanya Mahathir 'The Compulsive Liar' dan keluarganya yang terdekat yang amat faham akan keadaan kesihatannya yang sebenar. Apakah dia berfikiran waras setiap masa ketika dia celik. Ataupun kewarasannya itu sudah semakin terhad ketika dia berdepan dengan rakyat jelata? Nampkanya Mahathir sedang dihantui satu hukum 'karma' yang dia tahu sebab-mesababnya.


Sebagai seorang tokoh politik yang berasaskan ilmu kedoktoran dan diwarnai dengan pengalaman lama menulis dan berniaga lama di Pekan Rabu (hehehe), Mahathir tentu sedar bahawa sebisa-bisa ular ia bertukar kulit dari ekornya, dan tidak dari kepalanya. Melalui ekornyalah kulit di kepala itu bertukar dulu. Ambillah iktibar daripada kiasan ini dan berundurlah dengan hormat sebelum terlambat. Usah cuba menongkat dunia lagi kerana dunia tidak pernah memerlukan tongkat sesiapa untuk terus berpaksi. Berundurlah sebelum rakyat bertindak dan sebelum yang datang bergolek menjadi bergolak. Sebisa-bisa ular, bila menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Tetapi, sebisa-bisa ular, pergolakan yang dimulakan daripada ekornya akan membuatkan ular itu bertukar kulit akhirnya.


Marhaintua
25 Ogos, 2000