Laman Webantu   KM2A1: 2628 File Size: 8.4 Kb *



Terjemahan: Satu Lagi Bangunan Warisan dimusnahkan
By Marhain Tua

24/8/2000 9:57 pm Thu


MGG60


SATU LAGI BANGUNAN WARISAN DIMUSNAHKAN

(MGG: One More Heritage Building in Kuala Lumpur Destroyed)



Pada mulanya, MCA dan Gerakan yang merupakan rakan parti politik yang
menganggotai Barisan Nasional telah bersekongkol membisu apabila ratusan
ekar tanah perkuburan orang Cina, Jepun, Kristian, Singhalese dan Hindu yang
terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dimusnahkan dan ditebus-pakai untuk
dijadikan tapak bangunan beli-belah dan pejabat. Kini, MCA telah
mengizinkan pemusnahan sebuah kuil lama orang Cina yang pada satu ketika
dulu terletak di sebelahan ibupejabat parti itu di Jalan Ampang. Tidak ada
sebarang tanda bantahan kerana pemusnahan banganan itu telah diawasi oleh
jawatankuasa kuil itu.


Secara kebetulan saya terserempak dengan kejadian yang bersejarah ini.
Tengahari tadi saya telah berjalan kaki untuk mendapatkan kereta saya yang
dipakir di Ming Court Vistana Hotel yang terletak bertentangan dengan
bangunan yang saya maksudkan. Tapak kuil lama itu dipagari oleh satu tembok
setinggi dua puluh kaki. Ruang masuk ke kawasan itu masih jelas lagi.
Tetapi saya menjadi tersentak apabila mengintai melalui pintu sampingan yang
sedikit terbuka ketika itu: Kuil (to'kong) orang Budhis yang bernama 'The
Kun Yam Thong Buddhist Temple' telah pun diruntuhkan. Inilah bangunan yang
berusia lebih satu abad. Inilah bangunan warisan yang pernah digambarkan
seorang arkitek terkenal, Hisham Albakri dalam satu buku panduan mengenai
bangunan wwarisan Kuala Lumpur yang diterbitkan pada akhir 1970-1n. Inilah
bangunannya yang diiktiraf sebagai bangunan yang perlu dikekalkan. Kini,
bangunan itu terperusuk kerana dimusnahkan dan sudah pun menyembah bumi.


Surat notis yang melekat di tepi dinding kawasan itu menyatakan bahawa
bangunan itu sedang melalui proses ubahsuai, dan bukannya dibina semula.
Nombor rujukan pelan yang tertulis di situ mencatitkan BP E990037. Saya
telah menghubungi beberapa kawan daripaada masyarakat Cina. Tidak seorang pun
yang mengetahui akan hal ini. Nampaknya orang yang menjaga kuil itu
mempunyai fikiran bahawa sebuah kuil tua tidak layak berdiri di kalangan
bangunan pencakar langit. Apatah lagi kalau berdekatan dengan Menara Kembar
Petronas dan jua beberapa bangunan tinggi yang lain di persekitarannya. Ada
satu gambar lukisan kuil purba itu, tetapi tidak pula ada sebarang kenyataan
yang bangunan purba itu akan dimusnahkan.


Namun, apabila Development and Commercial Bank, kini RHB Bank, membina
ibupejabatnya yang kini merupakan mercu tanda empayar niaga Tan Sri Tajuddin
Ramli, ada satu syarat utama pembinaan bangunan itu. Prasyaratnya ialah
pembinaan ibupejabat bank yang terletak hanya di bahagian belakang to'kong
purba itu, mestilah mengambil kira kesesuaiannya dengan kehadiran to'kong
purba itu; yang tidak pun boleh disentuh langsung. Keperhatinan beberapa
pegawai kerajaan terutama sekali pegawai berbangsa Melayu telah menentukan
bangunan yang dibina pada abad ke-19 itu dulu tidak dinodai oleh pemikiran
abad ke-20an. Begitu jugalah halnya apabila The Anglican St. Mary's
Cathedral yagn terletak di sebelah Royal Selangor Club dan Dataran Merdeka
ketika mahu diubahsuai. Pihak Muzium Negara telah membantah usaha
mengubahsuai rupabentuk bahagian depan bangunan gereja purba itu pada
awalan 1980-an. Pihak muzium tidak mahu rupabentuknya diubah.


Sekarang ini, pegawai kerajaan bersekongkolan dengan ahli politik dan juga
pemaju hartanah untuk memusnahkan bangunan warisan yang diwasiatkan kepada
kita. Semua ini bermula pada awal 1980-an. Sebuah rumah kayu purba yang
indah dan yang pernah menjadi rumah kediaman rasmi seorang perdana menteri
telah dimusnahkan. Ia 'terbakar' dan di atas tapaknya dibina satu bangunan
yang jijik rupanya untuk dijadikan rumah kediaman rasmi sehinggalah
penghuninya beralih kepada sebuah mahligai (Istana Rakyat?) di Bandar
Airmata Rakyat yang juga terkenal dengan nama Putrajaya.. Tidak ada sesiapa
yagn menitiskan airmata ketika bangunan purba itu musnah melainkan mereka
yang berminat untuk mengekalkan warisan bangsanya. Selepas kejadian itu,
setiap benda mempunyai harganya dan perlu dimusnahkan atas nama kemajuan.


Ketika LRT dalam rancangan lagi ada satu cadangan rasmi yang dibantutkan
secara spontan. Cadangan itu mahukan Kuil Sri Mariamman di Jalan Bandar itu
dialihkan, sedangkan itu pun merupakan satu kuil purba yang telah dibina
lebih daripada satu ratus tahun. Memang ada kuil purba yang telah
dimusnahkan. Lihat saja kepada Sri Kandasamy Temple di Brickfields. Ia telah
dibina pada abad ke-19 dulu. Kini ia telah dibina semula.


Pemusnahan bangunan warisan bukan sahaja berlaku di Kuala Lumpur. Kerajaan
Melaka pernah bercadang memushnahkan Bukit Cina yang berusia lebih 500
tahun dan merupakan tapak jirat Cina yang tertua di luar Negeri China.
Tujuannya untuk dijadikan tapak bangunan membeli-belah dan juga tapak
perumahan. Perkara itu hanya dimungkinkan dengan adanya persetujuan pihak
MCA ketika itu. Namun, projek itu dibantutkan kerana tentangan rakyat
biasa. Begitu juga yang pernah berlaku ke atas sebuah jirat Cina lama di
Kuala Lumpur. Pembangunan semula yang dilakukan kepada Jonkers Street di
Melaka telah menimbulkan beberapa bantahan. Kini, ciri-ciri keaslian seni
bina Belanda yang mewarnai lorong yang digunakan oleh peniaga Cina sejak
abad ke-17 itu akan lenyap samasekali. Di Ipoh dan Penang, kerja-kerja
pemusnahan bangunan purba berdasarkan keperluan pembangunan terus berjalan
tanpa rintangan. Pihak kerajaan memang memberi tumpuan ke arah pemusnahan
bangunan lama buatan orang Cina setelah menyedari bahawa MCA dan Gerakan
tidak akan membuat sebarang bantahan. Memanglah pihak kerajaan marah
dengan masyarakat yang kerja sebenarnya melantik mereka ke jawatan awam
mempunyai idea yang bertentangan dalam hal pembangunan. Mereka mahukan orang
awam seperti itu diam membisu sahaja sehinggalah munculnya pilihanraya yang
akan datang. Tetapi, masyarakat awam tidak suka kalau bangunan warisan itu
dimusnahkan, tidak kiralah apa sebab yang ekonomik mengenainya. Kerana itu
mereka sanggup bersatu menentangnya. Sikap membisu pihak MCA dan Gerakan
memang boleh dijangkakan. Parti MCA pernah melancarkan perang (perang
mulut?) terhadap MIC dan pemimpingnya Dato Seri S. Samy Vellu, kerana
membantah pembangunan di atas tapak jirat Sungai Besi. Orang MCA amat marah
kerana dia telah menentang satu arahan yang dipersetujui oleh kabinet yang
pernah dihadiri oleh beliau sendiri.


Walau bagaimana pun, adalah penting bagi MCA dan juga para pemimpinnya
memberitahu rakyat Malaysia, bukan sahaja orang Cina, kenapa ia membenarkan
pemusnahan Kum Yam Thong Buddhist Temple yang terletak di sebelah bangunan
ibupejabatnya. Perkara ini tidak mungkin berlaku melainkan emimpin
masyarakat Cina mengungkit perkara ini secara galaknya seperti yang telah
berlaku ke atas Jirat Sungai Besi dan jua Bukit Cina. Dalam hal ini pihak
MCA harus diajar untuk menggunakan wang mereka dengan lebih berhemah lagi.


Kita tidak boleh berlagak rambang dalam usaha mengekalkan warisan kita.
Sikap beginilah yang menyebabkan To'kong Kun Yam Thong menyembah bumi tanpa
ada sesiapa menyesal akan perbuatan itu. Satu warisan adalah bersifat
demikian, dan tidak ada tolak ansur dalam amalan itu. Tetapi kini ada juga
pegawai yang sanggup membenarkan bangunan warisan dimusnahkan begitu saja.


Apa yang membuatkan saya marah dalam hal ini ialah sikap membisu masyarakat
Cina. Apakah benar adanya satu pengecualian betapa sesuatu bangunan warisan
itu boleh dimusnahkan kalau si penjaganya berkemahuan demikian? Apa yang
menakutkan dalam hal ini ialah Encik Hisham Albakri tidak pun tahu menahu
akan kejadian itu. Begitu juga dengan persatuan yang diwujudkan untuk
menjaga keluhuran bangunan warisan itu. Sekarang, barulah mereka sedar apa
yang terjadi. Tetapi, sudah terlalu lambat.



Diterjemahkan oleh -MT-
24 Ogos,2000