Laman Webantu   KM2A1: 2613 File Size: 18.1 Kb *



HTMT 1: Langkawi Hilang Tanah Maruah Tergadai
By Marhain Tua

23/8/2000 11:54 am Wed

FOKUS KHAS: HTMT: HILANG TANAH, MARUAH TERGADAI

(Ihsan Utusan Pengguna Ogos 2000)


LANGKAWI SIAPA PUNYA??????


Awalkata: Menjelang ulangtahun kemerdekaan, marilah kita renungkan sejenak apa yang sudah jadi kepada Langkawi. Makalah di bawah ini dipetik daripada Utusan Pengguna Keluaran Ogos 2000. Semoga selepas usaha ini, ada Pengendali Laman Web yang akan memberi sedikit ruang kepada satu terbitan yang sungguh tinggi nilai isinya. Utuan Pengguna diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Harganya hanya RM1.00. Semoga pembaca laman web membelinya dan menjilidkannya sendiri sebagai khazanah keluarga. -MT-



LANGKAWI SIAPA PUNYA?


SEJAK Pulau Langkawi diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai kira-kira 10 tahun lepas dan projek-projek dilaksanakan di pulau itu, kesan yang diterima oleh penduduk tempatan selain kehilangan tanah ialah kehilangan jatidiri terutama di kalangan generasi muda yang dirosakkan oleh rempuhan arus budaya asing seperti minum arak, pergaulan bebas, hidup berfoya-foya dan berbagai perlakuan yang mencemarkan maruah dan harga diri.


Dalam tempoh sepuluh tahun itu perubahan fizikal Langkawi bukan sahaja dapat dilihat dengan jelas, dengan binaan-binaan yang cukup hebat dan megah, tetapi perubahan sosial juga dapat dilihat di mana nilai-nilai tradisi yang diwarisi Mahsuri banyak yang telah dirosakkan, seolah-olah pulau itu berada di satu wilayah asing yang terpisah aripada budaya Melayu.

Dapat dilihat golongan remajanya bebas melakukan maksiat seperti minum arak, di mana saja yang mereka suka, malah di depan orang tua sekalipun, manakala pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan begitu berleluasa, menjadikan Langkawi sebagai sebuah pulau yang cukup bebas dalam semua hal.

Inilah antara harga yang terpaksa dibayar oleh penduduk langkawi khususnya orang melayu untuk melihat Pulau Legenda itu membangun dan menjadi tumpuan pelancong.






BEBAS CUKAI, BEBAS MINUM ARAK


Masalah ketagihan arak di kalangan remaja di Langkawi memang cukup ketara. Anak-anak muda, terutamanya daripada keturunan Melayu seolah-olah dirangsang untuk membeli dan minum arak.

Sejak kira-kira 10 tahun lalu, bukanlah suatu yang luar biasa arak dalam pelbagai jenama dijual secara bebas di kedai-kedai runcit dan di kompleks perniagaan terutama di Pekan Kuah. Penjualan arak seolah-olah tidak berbeza dengan minuman ringan lain seperti cola dan kacang soya. Harga minuman keras dalam tin misalnya, cukup laris kerana ia dijual dengan harga RM0.80 - 1.20 setin. Lebih murah lagi jika dibeli dalam jumlah yang banyak.

"Saya sendiri kerap melihat anak-anak muda Melayu minum arak sambil menunggang motosikal. Mereka meneguk arak seperti minum air suam sahaja. Mereka langsung tidak rasa segan, bersalah ataupun berdosa minum benda yang diharamkan agama," keluh Zainab Hashim, 65 dari kampung Behor, Nyiur Cabang, Langkawi.

Bagi orang tua seperti Zainab, untuk memulihkan keadaan Langkawi perlu dibawa balik ke zaman asalnya daripada dijadikan pulau bebas cukai seperti sekarang agar generasi muda tidak tenggelam dan rosak akibat arak dan berbagai gejala maksiat lain.

"Masa makcik muda dulu, pulau ini memang bersih dari segala macam pengaruh buruk. Hidup kami aman walaupun miskin, anak-anak kami baik, berbudi bahasa dan mendengar kata, nak pegang botol arak pun mereka takut. Tetapi, sekarang orang tua seperti makcik cukup bimbang melihat anak-anak dan cucu-cicit hilang iman dan hanyut dalam keseronokan dunia. Tak taulah makcik apa akan jadi kalau keadaan macam sekarang berterusan, "keluhnya.

Haji Ibrahim Drani, Ketua Kampung, Kampung Menghulu, Kuah, sependapat deengan Zainab apabila bercakap mengenai gejala minum arak di kalangan golongan muda di Langkawi. "Ia adalah sejenis penyakit yang dihidapi oleh masyarakat Langkawi akibat taraf bebas cukai. Bebas cukai ini nampaknya disalahanggap sebagai bebas dalam segala hal, termasuk menjadikan minuman keras seperti air sejuk yang diminum sehari-hari," ujar Haji Ibrahim, kesal.

"Cuba bayangkan bentuk masyarakat langkawi di masa depan apabila anak-anak mudanya sudah menerima arak sebagai minuman biasa dan minum di mana sahaja tanpa segan silu lagi," tambahnya.

Selaku Ketua kampung, Haji Ibrahim pernah menyuarakan kebimbangan beliau terhadaap gejala itu kepada pihak berkuasa dalam pelbagai program atau majlis yang memerlukan beliau hadir. "Bagi saya boleh bebas cukai, tetapi jangan sampai bebas segala-galanya sehingga tidak ada lagi garis sempadan di antara halal-haram. Malangnya sehingga ke hari ini masih belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa, termasuk jabatan Agama untuk membendung perkara ini secara bersungguh-sungguh.


- Kawasan Hitam di Langkawi


Menurut sumber dari Pejabat Daerah dan Pejabat Agama islam Langkawi, setakat ini ada empat buah perkampungan Melayu yang telah disenaraikan sebagai "kawasan hitam". Ini berdasarkan rekod yang menunjukkan kadar anak-anak muda yang terlibat dengan pengambilan arak di kawasan berkenaan adalah tinggi dan membimbangkan. Kampung-kampung tersebut ialah kampung Lubuk Setul, kampung Teriang, Kampung Nyiur Cabang dan kampung Lubuk Sembilang.





PEMBANGUNAN LANGKAWI MENURUT PEMIMPIN


Pulangan Tidak Penting Asalkan Langkawi Maju:

"Kerajaan sudah melabur sebanyak RM1 bilion di Langkawi. Peruntukan pelaburan ini dibuat tanpa memikirkan pulangannya kerana yang penting ialah melihat Pulau Langkawi membangun."

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohammad
-The Star, 24 Okt. 1996.



Langkawi Perlu Bertaraf Dunia:

"Kerajaan akan menukar Langkawi kepada pusat percutian dan persidangan yang setaraf denan mana-mana destinasi percutian di dunia."

Tun Daim Zainuddin - Pengerusi Bersama LADA. -NST, 28 Julai 1996.



Hotel Bertaraf Bintang Jadi Ukuran Pembangunan:

"50 tahun dulu, tidak ada hotel lima bintang di Langkawi bermakna tidak ada pembangunan di Langkawi. Kerajaan menyedari potensi Langkawi sebagai pusat pelancungan lalu mengisytiharkan Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai. Status Bebas cukai telah menarik pelabur-pelabur untuk membina banyak hotel dan merebut peluang perniagaan. Bagi melancarkan proses pembangunan ini kerajaan telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA). Alor Setar sebagai ibu negeri Kedah pun tidak boleh menyaingi Langkawi. Tidak ada se buah pun hotel lima bintang di Alor Setar, tetapi di Langkawi ada beberapa buah."

Datuk Seri Mahathir -NST 24 oktober, 1996.



Tanah Tidak Bernilai, Berbanding Dengan Barangan Berjenama:

"Sebuah pusat membeli belah (Taman Raya Dunia) dengan keluasan 160 hektar akan dibina dengan kos RM150 juta di Langkawi. Pusat ini akan menawarkan barang-barang berjenama dunia seperti Christian Dior, Gautier dan Estee Lauder. Kewujudan pusat membeli-belah ini akan mengubah nasib 69 peneroka tanah Felcra yang hanya berpendapatan RM500 sebulan menjadi anggota baru kelas menengah Melayu dengan pendapat RM8,000-RM9,000 sebulan."

Datuk Annuar Musa -
Bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, The Sun 26 Mac, 1997.






Perumahan Kos Rendah Tidak Diberi Tumpuan:


Projek perumahan terbaru di Langkawi ialah pembinaan 192 unit pengsapuri lima tingkat dengan keluasan setiap unit 1,200 kaki persegi. Ia dijual dengan harga antara RM14,000 hingga RM16,000 seunit.

Melihat trend pembinaan rumah mewah seperti ini, timbul pertanyaan mengapakah projek rumah kos rendah kurang diberi perhatian di Langkawi?

Permintaan untuk rumah tersebut sebenarnya tetap ada, kerana tidak semua orang di Langkawi telah berjaya menjadi jutawaan atau kaya, daripada wang penjualan tanah masing-masing. Masih ramai yang memerlukan rumah, termasuk rumah sewa dengan kadar sewa yang berpatutan. Ketiadaan projek perumahan untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah memang menimbulkan masalah.

Ahmadan Ismail dari Kuah berkata, generasi 1990-an di Langkawi, terutama yang berpendapatan sederhana kini sedang berhadapan dengan masalah mendapatkan rumah, termasuk rumah sewa yang dikenakan kadar sewa tinggi.

"Harga rumah sewa di Langkawi kini naik antara RM150 hingga RM200 sebulan. Kadar sewa yang tinggi seperti ini memang tidak mampu dibayar oleh golongan bependapatan sederhana. Pasangan yang baru kahwin juga tidak terlepas daripada masalah ini, menyebabkan mereka terpaksa tinggal terus bersama ibu bapa atau mentua," katanya.

Sumber dari jabatan Pembangunan dan Penilaian Harta Benda Langkawi juga mengakui wujudnya masalah tersebut. Menurutnya semenjak tahun 1992, perumahan kos rendah tidak lagi dibina di pulau itu.

Sehingga 1992, projek perumahan kos rendah hanya terdapat di Taman Desa Ayu dan Taman Kemboja, Kuah. Selepas itu pebinaan rumah kos sederhana, kondominium dan pangsapuri lebih diutamakan.

Sumber itu menambah, antara alasan mengapa projek rumah kos rendah dihentikan ialah kerana kos pembinaannya, termasuk kos pengangkutan bahan-bahan binaan dari tanah besar ke pulau itu adalah terlalu tinggi dan tidak menguntungkan.






Syurga Pembangunan Langkawi Untuk Siapa?


Dalam tempoh kira-kira 10 tahun, begitu banyak projek, terutama untuk tujuan pelancongan telah dibawa ke Langkawi. Projek bernilai berbilion RM itu bertujuan untuk menjadikan Langkawi mencapai status pulau bertaraf antarabangsa dan menjadi destinasi pelancong dalam dan luar negara. Berikut adalah projek-projek samada yang ahanya berjalan separuh jalan mahupun diteruskan di Langkawi, setakat ini:

· Port Langkasuka - RM1 bilion.
· Oriental Village - RM44 juta,
· Menara Langkawi dan Pusat Konvensyen -RM750 Juta, · Laman Padi - RM12 Juta
· Kompleks LADA -RM26 Juta
· Pelabuhan Tanjung Lembung -RM80 Juta · Restoren Admiral Cheng Ho - RM5.23 Juta. · Dataran Lang - RM16.5 Juta
· Legenda Langkawi dalam Taman -RM30 Juta · Istana Musim Panas Anna and The King -RM 3 Juta. · The Treasure Lagoon Resort Langkawi -RM100 Juta · Langkawi Sanctuary Resort - RM530 Juta · Pusat Pelancongan Pelbagai Budaya Antarabangsa- RM560 Juta. · Perdana Beach Resort - RM34 Juta
· Projek Marina -RM4Juta
· Kampung Terapung Kuala Muda - RM1 Bilion.


Memang "Surga Pelancongan Langkawi" menarik perhatian pelancong apabila berlaku lonjakan jumlah pelancong ke pulau berkenaan. Dalam tempoh 1986-1999, bilangan pelancongan bertambah hampir lapan kali ganda daripada 209,763(1986) kepada 1,559,528(1999).

Bagaimanapun untuk tahun 1999 (tempoh paling mutakhir), daripada sejumlah 1,559,528 pelancung yang mengunjungi Langkawi hanya 12.4% (192,987) adalah pelancong dari luar negara, iaitu 52,012 (Thailand), 32,730 (Singapura), 20,168(Australia) 14,775(United Kingdom) 9,394(Taiwan), 9,367(Jepun), 7,133(Indonesia), 4,157(Amerika Syarikat) 2,432(New Zealand) 4,186(Jerman) dan 1,572 (Kanada).


Memang jumlah tersebut boleh dibanggakan, tetapi apakah penduduk tempatan mendapat keuntungan daripada kunjungan para pelancong itu, kerana hotel-hotel dan tempat-tempat yang dikunjungi itu rata-rata adalah milik orang lain. Hasil tinjaun yang dilakukan membuktikan bahawa penduduk tempatan Langkawi cuma mendapat "kuah dan tulang" manakala orang lain pula yang memakan isi.




Fokus Khas : Langkawi Bahagian 2


HILANG TANAH, MARUAH TERGADAI



Pengambilan tanah dikatakan telah banyak mengubah sosio-ekonomi dan budaya masyarakat Melayu di Langkawi. Bagi penduduk yang terbabit dalam pengambilan tanah, mereka tidak ada pilihan lain melainkan menyerahkan sahaja tanah-tanah yang mereka warisi untuk berbagai projek pembangunan di Pulau Legenda itu.

Seorang penduduk, Haji Ishak Ismail, 50 berkata mereka sedar bahawa proses pengambilan tanah oleh kerajaan adalah proses jual beli tanah di antara penduduk tempatan dengan seorang tokoh korporat Cina yang cukup terkenal di pulau itu, manakala pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) hanyalah menjadi orang tengah dalam proses jual beli tersebut.

"Pihak LADA, kami lihat hanyalah orang tengah dalam proses pengambilan tanah. Hakikatnya kerajaan bukanlah mengambil tanah kami untuk dibangunkannya, sebaliknya menjual tanah kami itu kepada tokoh korporat cina tersebut untuk memajukan berbagai projek termasuk pelancongan," dakwa Haji Ishak Ismail, yang kini menetap di Simpang Perana, Bukit Tangga.

Menurut Haji Ishak, jika diberi pilihan, rata-rata penduduk Langkawi tidak mahu menjual tanah-tanah milik mereka kepada sesiapa pun termasuk kerajaan.

"Tetapi, dengan adanya Akta Pengambilan Tanah 1991, kami langsung tidak diberi ruang untuk membuat pilihan. Sekalipun kami membantah, ia tidak memberi apa-apa kesan, sebaliknya kerap ditolak mentah-mentah," katanya mengingatkan bagaimana penduduk menghadapi dilema kehilangan tanah sejak pembangunan Langkawi giat dilaksanakan.

"Memang ada perubahan apabila kami menerima wang pampasan hasil jualan tanah. Dengan wang itulah kami membeli tanah lain untuk dijadikan tapak rumah dan membina rumah dan wang selebihnya kami simpan untuk digunakan bila perlu. Mungkin ada yang menganggap ada di antara kami yang sudah menjadi jutawan, tetapi sebenarnya kebanyakan kami masih meneruskan kerja seperti dulu. Saya sendiri masih pergi ke laut untuk mencari nafkah," tambah Haji Ishak.


Haji Ishak mendakwa peluang telah tidak diberikan kepada penduduk untuk membangunkan tanah mereka, sebaliknya hampir semua peluang itu diberikan kepada pelabur luar. "Hebat sangatkah pelabur luar itu? Cuba lihat projek-projek pelancongan seperti Hotel Langkasuka, Taman Tema Air dan beberapa projek lain di Langkawi yang kini sedang mengalami masalah, kerana tidak mendapat sambutan," katanya.


Seorang lagi penduduk yang ditemui, Haji Sidek Nor, 67, berkata wang pampasan hasil dari pengambilan tanah teersebut memang cukup lumayan, tetapi secara keseluruhannya gagal mengubah corak hidup kebanyakan penduduk Langkawi. "Tidak dinafikan memang ada perubahan hasil dari pengambilan tanah tersebut seperti boleh memilikki beberapa keping tanah, membina rumah kedai, dan membuat simpanan," katanya.

Tetapi, menurutnya, hasil yang diperolehi penduduk tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan keuntungan besar yang dikaut oleh para pelabur yang terbabit dalam pembangunan di pulau itu. "Soalnya mengapakah kami tiak diberi peluang untuk membangunkan sendiri tanah-tanah kami? Mengapakah hak milik tanah-tanah kami ditukarkan? Apa salahnya kalau kami dijadikan rakan kongsi dalam pembangunan berasaskan pemilikan saham menurut nilai keluasan tanah yang kami miliki?


"Jika diberi peluang saya sendiri berupaya untuk membangunkan projek perniagaan. Begitu juga dengan penduduk Langkawi yang lain, jika diberikan peluang dan bimbingan. Malangnya kami tidk diberi sebarang pilihan, melainkan terpaksa melepaskan tanah-tanah kami kepada pihak lain," keluh Haji Sidek.

Haji Sidek menjelaskan bahawa dia dan penduduk yang pernah menentang tindakan pengambilan tanah itu telah tidak diberikan penjelasan yang memuaskan oleh pihak berkenaan mengapa peluang mereka untuk berkongsi pembangunan di Langkawi disekat.

"Kami tidak diberi pilihan sebaliknya kami diminta berkorban jika mahukan proses pembangunan berlaku di tempat kami."

"Cuba lihat apa yang terjadi kepada projek-projek pembangunan yang dijalankan di atas tanah-tanah milik kami dahulu. Adakah ia benar-benar berjaya atapun sebaliknya?" tanya Haji Sidek.

Haji Sidek tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa taraf hidup penduduk telah berubah apabila mereka menerima wang pampasan yang mencecah sehingga jutaan ringgit. Baginya apa yang pasti apabila pemilikan tanah berpindah tangan, penduduk tidak lagi ada hak untuk campur tangan dalam proses pembangunan yang telah dikuasai pihak luar. Namun bagi haji Zainal Hashim, 60 dia melalui pengalaman pahit setelah menerima wang pampasan hasil penjualan tanah.

"Pampasan yang saya terima memang banyak sehingga jutaan ringgit. Selepas mendapatnya saya terus membeli tanah untuk tapak rumah, membina beberapa rumah sewa dan membeli beberapa pintu rumah kedai di pekan Kuah.

"Sebanyak sepuluh lot rumah kedai yang saya beli, di mana tujuh lot dengan menggunakan wang pampasan dan tiga lot melalui pinjaman bank. Pembelian rumah kedai di Pekan Kuah adalah atas nasihat banyak pihak yang memberi keyakinan kepada saya Langkawi akan muncul sebagai kawasan perniagaan dan perdagangan yang berdaya maju," jelas Haji Zainal.

Menurut Haji Zainal sehingga ke hari ini tidak ada satu pun rumah kedai dapat disewakan kepada orang. Lebih buruk lagi apabila tiga lot rumah kedai yang dibelinya melalui pinjaman bank masih terbiar sehingga ke hari ini.


"Nak dilelong pun tak laku." Keluh Haji Zainal yang masih menunggu bentuk tindakan yang akan dikenakan oleh pihak bank ke atasnya.


(Ihsan Utusan Pengguna Ogos 2000)




MURAHKAH HARGA BARANG DI PULAU BEBAS CUKAI?


"Memang ada barang yang murah harganya," tegas Ustaz Ghani Ahmad, seorang tokoh agama di Pulau Langkawi ketika ditanya mengenai harga barang di Langkawi.

"Tetapi yang murah itu hanyalah barangan seperti arak, rokok, pinggan mangkuk, coklat dan lain-lain. Adakah barangan tersebut suatu keperluan harian yang membolehkan kita benar-benar menikmati taraf bebas cukai Langkawi? Harga kereta mewah, juga memang agak murah di Langkawi, tetapi "apalah gunanya ada kereta seperti itu, kalau ia hanya dapat dipandu dalam jarak 40-50 km. sahaja berkeliling pulau," kata Ustaz Ghani lagi.


(Terimakasih Kepada Utusan Pengguna Ogos 2000- Syabas)