Laman Webantu   KM2A1: 2610 File Size: 28.0 Kb *



KTLBELB: 25 Yang Terpukau Dan Terpaku
By Marhain Tua

22/8/2000 7:40 am Tue

Siri KTLBELB: Kalau Tak Larat Bersilat Elok Lagi Bersila


KTLBELB: Bab 25



YANG TERPUKAU DAN TERPAKU


Menteri Kanan Singapura telah membuat lawatan empat hari ke Kuala Lumpur. Dia datang dengan berkereta daripada Singapura, tentunya untuk melihat kemajuan negara ini lebih dekat lagi. Tentunya dia terkejut dengan kemajuan fizikal yang tegak meninggi dan luas terbentang. Tidak kiralah samada yang tinggi itu lambang bikinan manusia berhati syaitan ataupun yang luas terbentang itu adalah lambang airmata rakyat yang berhempas pulas untuk terus hidup. Dengan lain perkataan Mr. Lee Kuan Yew sudah menyaksikan segala bentuk kemegahan negara yang lebih selesa disebut "Malaysia Boleh kerana Mahathir Boleh."


Sememangnya, Mr. Lee muncul sebagai penyelamat kepada seorang diktator tua yang hidupnya semakin tertekan. Sambutan yang diberikan kepadanya amat hangat sekali, diluar jangkaan dan dugaan beliau sendiri, malahan juga kerajaan Singapura. Samada keghairahan itu satu perasaan yang benar-benar ikhlas menyambut kedatangannya ataupun sesuatu yang boleh dianggap sebagai lakonan, adalah sesuatu yang kita akan tahu dalam beberapa hari lagi. Memang tidak susah meneka perkara ini kerana Mahathir kini diberikan jolokan sebagai seorang pemimpin negara yang sungguh pandai berlakon. Sekali fikir sepatutnya dunia politik sudah lama ditinggalkannya dan beralih pula ke dunia perfileman ataupun teater. Keupayaannya menitiskan airmata bila-bila masa adalah sesuatu yang menakjubkan. Tentu Mr. Lee akan akur dengan lakonan spontan Mahathir itu kalau beliau pernah mengikuti rancangan TV di negara ini.



Antara Kawan dan Lawan

Sejak Mr. Lee muncul, ada satu kenyataan Mahathir yang dilaungkan berkali-kali oleh beberapa menteri kabinetnya. Topik kenyataan itu adalah mengenai kecaman-kecaman yang hebat-hebat diterima oleh kerajaan Mahathir daripada negara luar dan juga masyarakat antarabangsa. Inilah kecaman yang ditumpukan kepada keputusan mahkamah yang dihakimi oleh Ariffin Jaka ke atas kes Anwar Ibrahim hingga menjebak beliau untuk merengkok selama sembilan tahun lagi.


Kecaman yang hebat muncul daripada Amerika Syarikat di mana Al Gore bersuara lantang sekali. Begita juga daripada Australia, New Zealand dan juga masyarakat negara Eropah. Soalnya sekarang kenapakah mereka itu semuanya mengecam Mahathir? Bukankah Mahathir seorang wira dunia ketiga yang perlu dihormati oleh semua? Sistem kehakiman negara yang punah ranah dibuat oleh Mahathir melalui Ketua Hakim Negara Eusoff Chin dan Ketua Peguam Negara Mokhtar Ahamad sudah sampai ke satu tahap yang memualkan. Apatah lagi kalau kita ambil kira tingkahlaku yang meloyakan yang dilakukan oleh Augustine Paul dan Ariffin Jaka dalam mengadili kes Anwar. Semua itu memang menjijikkan dan memang melayakkan sesiapa sahaja mengkritik dan mencela sistem kehakiman negara.

Tetapi, kenapakan Mahathir mencemuh balik dengan berkata; "Sekarang kita tahu siapa kawan dan siapa lawan." Apabila terdengar kenyataan Mahathir itu ramai rakyat negara ini yang berkata: Dasar seorang pengecut dan mahu terus membalun harta negara. Sepatutnya Mahathir harus bersyukur kepada Allah kerana masyarakat antarabangsa tidak melancarkan kempen memulaukan Mahathir dan setiap menteri kabinetnya. Kalau masyarakat antarabangsa mahu, mereka boleh melancarkan satu kempen agar diadakan sekatan laksana 'Apartheid' terhadap kerajaan Mahathir. Mereka mempunyai alasan yang baik setelah mengikuti cerita bagaimana Vincent Tan menggula-gulakan Eusoff Chin dan Mokhtar Ahmad di luar negara. Yang lebih menjijikkan rakyat negara ini ialah cara Vincent Tan dan peguam peribadinya memukau Eusoff Chin dan Mokhtar agar terus terpaku kepada kewibawaannya dalam segala hal berkaitan dengan perniagaan dan peribadinya di mahkamah.

Keupayaan Vincent Tan memukau Eusoff Chin dan Mokhtar Ahmad sepatutnya menjadi satu tamparan hebat kepada orang Melayu secara keseluruhannya dan pada rakyat Malaysia secara amnya. Lihat, Tan Seri Vincent Tan mampu memperbodohkan orang Melayu melalui dua peguam yang mempunyai pangkat tertinggi dalam bidang profession mereka di negara ini. Bagimana pula dengan persahabatan Vincent Tan dengan Mahathir? Sebenarnya orang Melayu di Lembah Kelang amat meluat dengan Vincent Tan kerana mereka tahu akan asal usulnya. Tetapi, apabila melihatkan cara beliau mampu mengawal minda Melayu melalui keakrabannya dengan Mahathir dan para jongosnya, Melayu Lembah Kelang merasa curiga sampai bilakah Cina yang satu ketika dulu menjadi penjual insurans ini mampu mengawal minda pemimpin Melayu dalam UMNO? Ramai yang berpendapat, cengkaman Vincent Tan terhadap Mahathir sudah menular begitu dalam kerana adanya proksi khas beliau yang kini menjadi Setiausaha Kerja UMNO. Melalui Tengku Adnan, Vincent Tan mampu mengawal minda keseluruhan pemimpin UMNO di negara ini.



Ada seorang kawan daripada Singapura yang bertanya kepada saya; "Kenapakah Mahathir amat mudah terpesona dengan segelintir peniaga China yang tidak berwibawa?" Lihat pada Vincent Tan, katanya, di Singapura orang akan tertawa apabila mendengarkan namanya. Begitu juga kalau mendengar nama Tan Sri Ting ataupun YTL ataupun Eric Chia. "Kami orang Cina di Singapura tentu tidak akan memberi muka kepada nama-nama yang disebutkan ini, kerana mereka adalah 'opportunist' yang hanya tahu membalun harta rakyat tanpa mahu memberi balik kepada rakyat." Saya tidak tahu memberikan jawapannya kerana saya fikir perkara seperti ini eloklah kita kemukakan kepada orang UMNO kerana ramai yang bergantung harap kepada manusia seperti ini. Bahananya, Perwaja sedang nazak, orang Langkawi semakin azab hidupnya, ramai pegawai kerajaan yang mengeluh dengan kebiadaban ahli koporat Cina yang lain yang menompang kasih sayang Mahathir terhadap mereka. Ironisnya, setiap kali Mahathir bercakap dengan orang Melayu dia selalu cakap besar betapa dia memberi keutamaan kepada pelajaran agar orang Melayu berpendidikan tinggi untuk menerajui negara. Tetapi, cuba lihat kepada semua orang Cina yang berada di keliling pinggangnya. Apakah kelulusan Eric Chia, Ting (tauke ekspot batang penyapu), Vincent Tan, Abdullah Ang dan banyak lagi itu. Di universiti manakah mereka pernah belajar? Perkara semacam inilah yang membuatkan orang Melayu di Langkawi tidak dapat memaafkan Mahathir. Mereka merasa tertipu dengan segala perancangannya di pulau itu. Mungkin Aminsapiro dan rakan penulis siber yang lain boleh menulis lanjut akan hal ini satu hari nanti.

Sebagai perbandingan kini kita disogokkan dengan satu nama baru dalam dunia politik. Namanya ialah Dr. Mohamad Khir bin Toyo, seorang wakil rakyat yang masih belum puas diulit mimpi indah sejak menang pemilu ke-10 dulu. Saya ingin merakamkan tahniah kepadanya. Cuma, saya ingin mengambil kesempatan agar beliau terus ingat apa jadi pada tahun 1986 ketika dia meraih simpati daripada masjid dan surau untuk mencari wang mengongkosi pelajarannya. Yang lebih penting dia mesti ingat, siapakah Menteri Besar Selangor ketika itu. Jangan pula, satu hari nanti kita terdengar Mohamad Khir Toyo melarikan 7.2 kilo wang ke luar negara untuk menandingi apa yang dilakukan oleh bekas Menteri besar itu.



Singapura: Kawan ataupun Lawan



Mr. Lee pernah disoal apakah Singapura bersifat kawan ataupun lawan dengan Malaysia. Mr. Lee menjawab cepat, "Kawan, kerana keakraban antara pemimpin yang terjalin begitu lama." Tetapi, mampukan Mahathir memaafkan Mr. Lee dengan pendedahan bagaimana Mahathir menjawab soalannya terhadap Anwar? Rupanya Mr. Lee pernah menegur Mahathir terhadap cara dia menangkap Anwar dan mengenakan Akta drakonian setelah melebamkan matanya. Nampak sangat bagaimana Mahathir telah berbohong dan menuduh Rahim Noor bertindak tanpa pengetahuannya. Malahan sudah ada kini desas-desus betapa Mahathir pernah merestui perbuatan Rahim Noor membelasah Anwar sehingga lebam matanya.


Pendedahan Mr. Lee yang dibuat di sebuah hotel ternama di Kuala Lumpur mungkin diransang oleh dua faktor;


(a) Perasaan Meluat:

Mr. Lee memang merasa mual dan getek terhadap kelakuan Mahathir seperti yang telah didengarnya selama ini dan seperti yang didapatinya semasa lawatannya. Sebagai seorang menteri kanan Singapura, Mr. Lee adalah satu 'icon' di rantau ini. Dia berundur daripada arus perdana politik dengan terhormat. Kini dia melayari kehidupan sambil berpolitik secara sambilan dengan terhormat.

Di mana sahaja dia pergi Mr. Lee diberikan status negarawan yang unggul kerana demikianlah taraf yang dirangkulnya ketika dia cergas berpolitik dulu. Tetapi, bagaimana dengan Mahathir? Dia tidak mampu melepaskan jawatan politiknya dengan terhormat. Yang lebih menyedihkan dia akan berundur diri dengan suasana yang amat memualkan. Hidupnya selepas dia tinggalkan dunia politik akan merupakan satu kehidupan yang penuh kesunyian. Bayangkan sekarang ini pun (malahan sejak dulu lagi) sudah ada insan yang berani menunggu dia mati untuk menaburkan air kencing di pusaranya. Kita tahu perbuatan itu tidak akan berlaku (minta dijauhkan Allah) tetapi, apabila ugutan seperti itu sanggup dilakukan terhadap seorang ketua negara, apakah agaknya dosa beliau sebenarnya?

Kita mesti ingat, Mahathir cuba menonjolkan dirinya setelah Mr. Lee melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri Singapura. Perkara ini berlaku kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Sebelum itu Mahathir tidak menonjol sangat kerana ketokohan dan populariti Mr. Lee sebagai seorang negarawan yang unggul. Bayangkan betapa dia mampu menjadikan Singapura (sebuah negara kepulauan) menjadi salah sebuah negara terkaya di dunia. Tanpa sebarang sumber hasil bumi yang setara dengan apa yang ada di bumi Malaysia, Mr. Lee mampu menaikkan ekonomi Singapura ke satu taraf yang tinggi sehinggakan Singapura mampu menjadi negara peminjam di dunia ini. Kepintaran Mr. Lee ini terserlah setelah beliau berjaya mempengaruhi Amerika agar membiayai kilang penapis minyak di kepulauan berdekatan (seperti Pulau Bukum) bagi minyak keluaran Timur Tengah. Dari usaha ini Singapura menjadi satu pulau yang memberikan khidmat perkhidmatan seluruh dunia.

Sebaliknya apa yang telah dilakukan oleh Mahathir? Hasil bumi negara yang sungguh lumayan habis dikebasnya sehinggakan kini (seperti yang dilaporkan di akhbar) Malaysia terpaksa meminjam daripada pasaran dunia untuk memenuhi keperluan kecairan negara yang amat mendesak. Keperluan Malaysia untuk meminjam itu berlaku ketika negara sedang menerima lawatan Mr. Lee Kuan Yew. Apakah agaknya yang difikirkan oleh Lee setelah mengetahui hal ini? Bagaimanakan agaknya jawapan beliau kalau disoal pendapatnya mengenai hal ini? Tentu dia mampu tersenyum sinis sambil terbayangakn bentuk dua menara kembar yang berbentuk 'H' sedangakan tidak jauh dari situ tercacak menara Kuala Lumpur yang sepatutnya tidak perlu dibina. Tentu dia terbayangkan masjid yang bersebelahan bangunan perdana menteri di Bandar Airmata Rakyat (BAR) yang hanya mampu menggamit sekitar dua puluh insan bersolat Maghrib di hujung minggu? Apabila dia teringatkan pula Mahligai Airmata di BAR itu, tentu dia tidak mahu memberikan jawapannya kerana menjaga hati seorang kawan.



b) Perasaan Kesal:


Mungkin Mr. Lee merasa kesal kerana kemajuan yang dilihatnya berlaku di Malaysia adalah satu kemajuan fizikal yang dicetuskan oleh hawa nafsu seorang diktator. Kita mesti ingat Mr. Lee adalah seorang peguam yang fasih dan mahir membaca tulisan jawi. Dia pernah menjadi peguam Utusan Melayu Singapura sebelum menjadi perdana menteri negara itu. Satu ketika dulu selepas dia bersara sebagai perdana menteri, Mr. Lee pernah menyuarakan kesalnya melihatkan masyarakat muda Singapura yang 'complacent' yakni mudah ambil sikap 'tidak-apa'. Dia mengutarakan satu teori betapa mungkin satu hari nanti Singapura terpaksa bercantum dengan Malaysia untuk maju. Tetapi, itu adalah satu gimik untuk dia menyedarkan masyarakat republik itu. Kita tahu adalah tidak mungkin perkara itu akan terjadi. Kuasa besar dunia seperti Amerika, Britaian dan Peranchis tentu tidak senang dengan fenomena itu. Lagipun Singapura adalah rakan sekutu Israel yang paling kuat.


Yang mungkin membuatkan Mr. Lee menyesal ialah cara khazanah negara diselewengkan. Tentu dia mempunyai maklumat terkini akan pembaziran harta negara. Tentu dia sendiri amat sedar akan masalah saham syarikat Malaysia yang tertahan setelah Clobb di bubarkan. Yang lebih penting lagi, tentu Mr. Lee diberitahu oleh pasukan perisiknya betapa UMNO tidak lagi menerima sokongan padu masyarakat Melayu.




Antara Singapura dan PAS


Mengikut MGG Pillai, salah satu tujuan lawatan Mr. Lee ialah untuk membuat penilaian persendirian akan pengaruh PAS dalam tatahidup masyarakat majmuk di negara ini. Tentunya dia mahu dengar apa pendapat Mahathir akan kekuatan PAS masakini. MGG Pillai ada mengatakan betapa Singapura seperti juga negara barat yang lain "merasa sangsi dan curiga dengan kemunculan kerajaan mullah". Soalnya sekarang, apakah Mahathir sendiri sudah sedar bahawa kedatangan Mr. Lee ada kena mengena dengan membuat penilaian akan situasi ini. Dengan lain perkataan; Mr. Lee yang mempunyai persepsi awal yang amat negatif terhadap PAS tentu mahu tahu daripada mulut Mahathir akan ancaman pengaruh PAS di negara ini. Lapuran MGG Pillai akan jenaka Mr. Lee ketika diwawancara oleh wartawan New Straits Times, menunjukkan akan sikap Lee terhadap PAS.

Perkara ini tentu diperkuatkan lagi oleh Mahathir dengan menonjolkan cerita Al Maunah di Bukit Jenalik. Kemudian diperkuatkan lagi dengan lakonan semula cara menymbat senapang dan peluru dalam tiga pajero di KEMENTAH. Kemudian, galaknya berita betapa PAS dan segala "taktik buruk kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan" yang bersangkutan dengan pengendalian masjid dan surau di sana. Semua itu yang diberi ruang yang luas dalam akhbar perdana adalah usaha Mahathir untuk memperlekehkan PAS. Apakah Mr. Lee termakan umpan itu?

Kalaulah itu rencana Mahathir untuk mengelirukan PAS, dia sudah gagal segagalnya. Berita penangkapan Tian Chua dan Malik Hussin dan bagaimana Tian Chua dibaham dalam lokap tanpa sebarang bukti yang sah akan kesalahannya, sudah mampu membeliakkan mata Mr. Lee terhadap sikap Mahathir dalam memerintah Malaysia.


Kegusaran Lee terhadap PAS adalah disebabkan beliau tidak sedar betapa PAS sudah bergerak ke hadapan lebih maju lagi daripada UMNO dalam memperjuangkan nasib rakyat yang tertekan. Lee merasa kurang senang dengan PAS kerana tidak mengenal siapakah yang menerajui PAS masakini. Lee merasa senang dengan UMNO seelah selesa berinteraksi dengan UMNO "sejak 1940 lagi", demikianlah alasan beliau. Tetapi, Lee tidak sedar bahawa PAS telah maju selepas itu di mana ramai orang politik UMNO yang keluar UMNO untuk masuk PAS dan memajukannya. Selama ini kalau ada sebarang keraguan Lee terhadap keutuhan sesuatu parti dia tentu merujukkan perkara itu kepada PAP di Singapura. Oleh kerana sebarang maklumat 'terperinci' datang daripada Parti Gerakan yang merupakan rakan sekutu PAP, tentulah sebarang berita mengenai PAS merupakan berita yang kurang menggembirakan Mr. Lee. Lainlah kalau PAP masih lagi bersekongkol dengan DAP seperi yang dilakukannya satu ketika yang panjang dulu.



Apabila Lee Rijek (Reject) PAS


Pada keseluruhannya, tindakan Lee memperkecilkan PAS adalah satu petanda betapa Lee juga terjebak dan terpukau dengan tipuhelah seorang diktator tua di Malaysia. Dengan kata mudah, beberapa insiden yang berlaku di Kuala Lumpur dan beberapa tempat di Malaysia telah mendorong Lee memikirkan bahawa Malaysia sedang berada dalam situasi yang kucar-kacir disebabkan kekuatan yang ada pada PAS. Kalaulah ini yang difikirkan oleh Lee kita mampu tersenyum sinis sahaja. Ini bererti, Lee juga turut terpukau dengan keadaan yang sengaja diadakan itu sehinggakan dia turut terpaku kepada satu 'time-warp' (masa dikakukan) yang telah mampu memukau pemikirannya untuk mempercayai sesuatu yang dilakonkan itu sebagai yang benar dan 'surreal'. Jika tidak bagaimanakah Lee mampu membuat kenyataan: "No government will stage arms seizure at cost of officers lives" (Tidak ada kerajaan yang sanggup melakonkan rampasan senjata sambil mengorbanan nyawa pegawainya). Sayang, Lee lupa betapa tuduhan ke atas Anwar dibuat semasa Tivola Apartment belum pun dibina. Malahan, tilam yang diusung keluar masuk mahkamah setiap hari itu telah dibeli sebelum apartment itu siap. Mungkin Lee tidak rasakan apa yang dirasakan oleh orang Kampung Ngor di Sauk. Sehingga hari ini, mereka masih lagi merasa marah dengan episod Sauk. Cuma mereka marah dalam hati kerana takut ditahan di balai polis.


Cara lakonan semula dikendalikan tentu juga akan menyedarkan Mr. Lee akan taraf pemerintahan di negara ini. Kenapa perlu dilakonkan satu aksi penting yang akan dibincangkan di mahkamah? Bukankah perbuatan itu menyalahi peraturan mahkamah? Kalau hendak dilakonkan pun, apa perlunya dilakukan rekarsal (rapati/rehearsal) beberapa hari dan kali sebelum itu? Cara lakonan itu dikendalikan dan cara ia diberikan liputan yang meluas sudah cukup meyakinkan Mr. Lee dan juga para pengiringnya betapa Sauk adalah satu Episod Sandiwara Tercanggih di Alaf Baru.

Kalau saya menjadi Mr. Lee dan disoal untuk memberi komen tentang lakonan menyusun senjata dalam tiga pajero itu, saya akan menjawab:

"Kenapa tidak diadakah satu pertandingan antara kompeni dan batalion untuk menadapatkan masa terpantas. Selepas itu adakan pula upacara tahunan peringkat negara dan juga ASEAN. Bukankah canggih teknik itu?"


Tetapi, Mr. Lee Kuan Yew tidak perlu disoal perkara itu kerana itu satu perkara yang remeh. Malahan wartawan asing tentu tidak mahu menyoalnya akan episod lakonan itu kerana mereka tahu sandiwara itu adalah layak untuk Malaysian Book of Records sahaja. Sama taraf dengan projek membikin popia terpanjang yang baru sahaja selesai.

Tentu Mr. Lee ada bertanya kepada Mahathir: Bagaimanakah negara kaya seperti Malaysia akhirnya menjadi negara yang perlu meminjam-minjam daripada dunia luar? Mr.Lee tentu sudah faham sangat apakah sebab yang utama membuatkan Mahathir menyingkirkan Anwar Ibrahim. Sanggupkah Mahathir menjawab betapa dia sudah membalun khazanah negara lebih Dua Bilion untuk membantu perniagaan anak-anaknya?


Kalaulah Mr. Lee diberitahu akan hal ini tentu dia akan sedar bahawa masalah pembangunan negara sekarang ini bukan terletak kepada pengaruh PAS yang semakin meluas. Ia terletak di atas kepala Mahathir yang sudah lama menyalahgunakan kuasanya.


Daripada apa yang diterangkan oleh orang akhbar, sejak Lee menjejakkan kakinya di Kuala Lumpur, dia sudah menunjukkan betapa beliau tidak senang dengan PAS. Apakah beliau tidak fikir, ketaksubanya kepada UMNO adalah satu hak yang tidak dipertikaikan oleh sesiapa? Tetapi, masa akan terus berlalu. Lee mungkin masih bernyawa lagi ataupun tidak, dan besar kemungkinannnya rakyat Singapura akan menyenangi pengaruh PAS apabila ia menggantikan UMNO satu hari nanti. Perkara seperti ini bukannya sesuatu yang mustahil. Ia akan berlaku juga apabila ada kumpulan kaum Cina dan kaum India yang akan bersatu padu dengan PAS untuk memerintah negara. Mungkin (saya sebutkan mungkin) ketika itu Parti Keadilan akan menjadi parti pembangkang sahaja. Di sebaliknya pula masa mungkin tiba di mana Parti Keadilan akan menerajui kerajaan bersama PAS dan bersatu pula dengana beberapa parti yang lain. Yang menjadi pembangkang ketika itu mungkin hanya UMNO. Semua ini adalah sesuatu yang serupa mungkin. Sebagai seorang yang dikatakan kini kerap ke gereja (Kristian) Mr. Lee tentu percaya dengan ajaran agamanya mengenai hal ini. Malahan sebagai seorang yang rajin membaca tafsiaran Al Quran satu masa yang lalu, Mr. Lee tentu amat arif tentang bab 'kadaq dan qadar'.


Sebagai menteri kanan Singapura, Mr. Lee tidak perlu bersengkang mata membaca bahan rujukan dan bertekak leher untuk mempertahankan terorinya mengenai masa depan Malaysia. Satu ketika dulu orang Malaysia memang amat hormat Mr. Lee sehinggakan kini beliau dianggap dan diberi hormat dengan jolokan Mr. History. Inilah jenis ketaksuban golongan yang kagum dengan Mr. Lee sedangkan apa yang patut dilakukan ialah kagum dengan cara si diktator tua membalun khazanah negara.

Rakyat Malaysia memang hormat Mr. Lee. Tetapi, rakyat Malaysia terutama sekali orang Melayu masih ingat betapa ahli warisan Raja melayu di Singapura terpaksa datang merempat ke Malaysia kerana Mr. Lee gagal melakarkan satu asas bagaimana kerajaan pimpinannya dulu patut menghormati hak warisan raja-raja Melayu itu. Sepatutnya sebagai salah sebuah negara terkaya di dunia, Lee mampu melakarkan satu plan di mana sukusakat Raja Husin diberikan keistimewaan untuk menjadi satu kumpulan Melayu yang maju, malahan lebih maju daripada warga istana di Malaysia ini. Namun demikian, kita akan berlaku tidak adil kepada Lee di atas kedaifan cara hidup warisan istana di Singapura. Mereka pada tahap awalannya sudah mampu mendapatkan bantuan masyarakat isana di Malaysia ini, dulu.



Kini, Mr. Lee sudah pun pulang ke Singapura. Mahathir tentu terfikir betapa pertemuannya yang singkat itu membawa seribu kenangan kepada Lee, tetapi seribu persoalan baru yang ada pada Mr. History itu. Tentu banyak pendapat dan pandangan Lee yang telah diberitahu kepada Mahathir. Kalau Lee mampu bercerita panjang dengan wartawan sebelum beliau berlepas ke Singapura, tentu banyak pandangan Lee mengenai Anwwar yang diceritakannya kepada Mahathir. Soalnya sekarang, apakah sebenarnya muslihat kedatangan Lee ke Bandar Air Mata itu. Apakah dia datang untuk diulang-pukau oleh seorang diktator tua, ataupun dia datang untuk melakukan kerja-kerja memukau dan memaku Mahathir agar mengikut telunjuk kerajaan Singapura, kali ini. Jika tidak, pasaran BSKL akan terus merudum, aliran wang tunai ke Malaysia akan terus berkurangan dan kemasukan pelancung daripada Singapura akan dicatu.

Mengikut sejarah, Mr. Lee gemar melakukan beberapa 'ugutan lembut' seperti itu terhadap Mahathir. Dia tahu dan kerajaan Singapura pun sudah lama sedar, sekarang ini Mahathir berada pada tahap di mana dia perlu akur apa saja dengan pemimpin jirannya. Asalkan dia dapat terus berkuasa sebagai seorang diktator tua selagi nyawa masih lagi sanggup berada pada jasadnya. Hanya Allah yang mengetahaui, betapa dalam lawatan Mr. Lee kali ini untuk berunding dengan mahathir, siapakah sebenarnya yang memukau siapa dan siapa pula yang terpaku kerananya. Malahan, tentu mereka ada berjenaka, bila pula akan berjumpa lagi dan kalau berjumpa di mana?


Kini, Lee Kuan Yew sudah selamat pulang ke Singapura. Dia pulang dengan membiarkan rakyat malaysia terus membuat spekulasi apa sebenarnya tujuan beliau menjenguk Kuala Lumpur. Betulkah ketibaan Lee itu untuk memberikan sokongan moral kepada Mahathir agar terus berkeras terhadap PAS? Betulkah Lee Kuan Yew tiba di Kuala Lumpur sebagai emissari pemimpin negara barat yang mahukan Mahathir melakukan sesuatu yang dapat mengendurkan keadaan tegang di Kuala Lumpur kesan daripada hukuman yang dijatuhkan terhadap Anwar Ibrahim?


Pada keseluruhannya, apa juga yang telah disetujui oleh Lee dan mahathir, tidak lagi menjadi satu tekateki besar kepada orang Melayu. Sebilangan besar orang Melayu terutama sekali di bandar besar sudah pun memberi satu diskaun yang tinggi terhadap Mahathir. Mereka mahu Mahathir berundur dengan hormat sebelum terlambat. Tidak kiralah apa keputusan kes terhadap Al Ma'unah, samada satu kes benar ataupun lakonan yang fantastik. Yang lebih penting rakyat terutama sekali orang Melayu baik dalam UMNO ataupun di luar UMNO sedang bersedia menghadapi satu saat getir untuk menyaksikan giliran Mahathir diheret ke mahkamah. Apa sekali yang akan berlaku samada oleh Mahathir sendiri dan apparatus pemerintahannya untuk mengelakkan fenomena ini, hakikatnya rakyat pelbagai bangsa di negara ini mahukan Mahathir mengahadapi satu kenyataan: Bahawa Mahathir yang selama ini bersuara lantang meyindir Anwar Ibrahim dan berjaya menghukum beliau selama lima belas tahun dalam penjara, menghadapi tuduhan rakyat pula. Sebilangan besar rakyat mahukan Mahathir pergi ke mahkamah dan menjawab tuduhan mereka pula.


Mampukah Mahathir berdalih lagi?


Hampir dua tahun yang lalu, Mahathir telah bersuara lantang mengatakan betapa negara ini tidak mampu maju kalau ada menterinya yang bersikap songsang dan berperangai hodoh. Kini, 'Mr. Clean' Abu Ha#san terpaksa meletakkan jawatannya. Beliau akan disusuli oleh beberapa menteri pilihan dan kesayangan Mahathir juga. Apakah kesudahannya?


Mampukah Mahathir melengahkan bala yang datang daripada langit? Apakah Mahathir akan terus mempertahankan Abu Ha#san yang disuruh meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar sahaja. Apakah kesalahan Abu Ha#san itu harus sabit sahaja dengan jawatan Menteri Besar? Dia tidak diundi oleh rakyat menjadi Menteri Besar. Dia menang kerusi wakil rakyat untuk menjadi ahli dewan undangan negeri Selangor. Kalau kesalahannya itu disabitkan kepada jawatan Menteri Besar bererti itu satu kesilapan yang mesti diperbetulkan. Abu Ha#san mesti melepaskan jawatannya sebagai wakil rakyat. Period, fullstop dan noktah!!


Sebenarnya Mahathir sudah tersepit teruk. Dia sudah terdesak dan hidup laksana seekor anjing kurap yang mundar mandir dengan ekornya yang tersepit di celah kangkang. Cuba bayangkan apa yang dibuatnya di Afrika? Siapakah pemimpin dunia yang hebat-heabt yang menghadiri persidangan di Mozambique itu? Hanya beliau sahaja yang sibuk-sibuk menunjuk-menunjuk kepimpinannya di sana. Orang di Afrika angguk sahaja, tetapi mereka amat sedar untuk memajukan negara mereka bantuan Amerika dan negara barat amat diperlukan - bukannya Malaysia. Begitu juga dengan bantuan Jepun, China dan Korea. Apakah yang termampu diberikan oleh Malaysia sebagai alternatif kepada bantuan negara yang disebutkan itu, selain idea Mahathir yang cetek dan yang membuatkan ramai pemimpin Afrika itu tersenyum dalam tidur mereka? Mereka akur dengan kehadiran Mahathir, kerana apabila tiba ketikanya mereka akan diberikan kemudahan terbaik untuk menyibukkan diri mereka di Langkawi sekali lagi. Kalau dilihat kepada jadual lawatan Mahathir ke luar negara kali ini memang hebat kerana beliau dijadualkan berucap di satu muktamar persidangan Islam di Amerika. Sayangnya jemputan itu sudah ditarik balik sebagai satu ingatan kepadanya betapa dunia Islam semakin meminggirkannya.



Apa yang sedang dihadapi oleh Mahathir baik di negaranya sendiri mahupun di pentas antarabangsa bukannya satu berita baru kepada Mr. Lee Kuan Yew. Sebagai seorang menteri kanan kepada sebuah republik yang menggunakan khidmat Mossad (perisik Israeel) Mr. Lee sudah tentu mendapat maklumat yang luas tentang kewibawaan Mahathir dan masalah yang sedang dihadapinya. Lawatannya ke Kuala Lumpur itu hanya satu lawatan simbolik untuk meng-sah-kan apa yang diketahuinya secara bersurat. Mahathir pun tahu, apa yang dia fikir Mr. Lee sudah lama tahu. Adalah sesuatu yang tidak mustahil kalau ada di antara mereka berdua itu yang sudah berfikir siapa yang akan mula kaku dulu selepas perjumpaan itu.





Marhaintua

18 Ogos 2000.