Laman Webantu   KM2A1: 2575 File Size: 9.5 Kb *



Fwd: Di Mana Keperwiraan Yang Sebenar? - Detik
By web aNtu

17/8/2000 10:32 pm Thu

Artikel ini dipetik dari detik-daily:

Penulis: Abu Ubaidah.

Saya berharap artikel ini akan menjawab semua persoalan dan debat dua tiga hari kebelakangan ini dalam bab2 jihad, lembik dsb yg terpapar di beberapa laman web. Memang kita ada jaringan ilmuan!!


--ooOoo--

Di Mana Keperwiraan Yang Sebenar?

Bismillah Ar-Rahman Ar-Rahim,

Kebelakangan ini, isu pembangkang lembik dan perlahannya gerakan penentangan terhadap silsilah kezaliman di Malaysia sering dibangkitkan. Merujuk kepada keluhan Fathi Aris Omar di www.malaysiakini.com dan beberapa penulisan lain yang kecenderungannya ke arah tersebut, saya berasa terpanggil untuk memberikan pandangan berhubung dengan isu ini.

Pepatah bijak pandai ahli siasah selalu menyebut bahawa, "mencari kemenangan adalah tidak sesusah mengisi kemenangan". Sebab itulah ALlah SWT menyatakan di dalam surah At-Taubah (9):42 "...Sekiranya matlamat (perjuangan kamu) itu dekat dan perjalanan (yang mesti ditempuh) itu pendek, nescaya mereka akan mengikut kamu. Akan tetapi mereka merasakan semua itu jauh disebabkan oleh kepayahan (perjuangan kamu)..." Nabi SAW sendiri menempa kemenangan setelah menempuh ujian dan cabaran yang tiada bandingannya, bahkan barat sendiri membuat bidalan "kota Rom itu tidak dibina dalam tempoh yang singkat".

Apakah dengan tidak melimpahkan diri beramai-ramai di jalanraya, atau dengan bahasa yang lebih mudah, melancarkan 'revolusi' besar-besaran ala 20 September 1998 (meminjam istilah Fathi), maka kita menjadi lembik, lemah, lantas mengecewakan rakyat? Noktah ini memerlukan kepada penelitian yang mendalam, bahkan beberapa orang penulis siber yang sensitif dengan perkara ini telah pun membuat maklum balas berhubung dengan keluhan Fathi Aris Omar itu.

Mungkin saya tidak bijak berteori untuk mengulas isu ini, tetapi marilah sama-sama kita luangkan masa sejenak untuk meneliti sejarah perjuangan umat Islam kebelakangan ini yang padanya terdapat banyak iktibar dan pengajaran.

Gerakan Ikhwanul Muslimin Jordan atau lebih dikenali di gelanggang pilihanraya sebagai "Jabhah Al-Amal Al-Islami" telah bertahun-tahun melancarkan pemulauan kepada pilihanraya umum di negara berkenaan. Jika di Malaysia, diktatorisma Mahathir tidak diwartakan di dalam perlembagaan negara, bahkan ia berlaku hasil kecuaian kita selama ini membiarkan beliau membina kawah berapi yang besar. Akan tetapi, di negara yang menganut sistem 'raja mutlak' seperti Jordan, peluang untuk membuat perubahan melalui aktiviti demokrasi termasuk penguasaan ke atas parlimen, adalah sangat tipis. Bukan kerana ada seorang pemimpin yang zalim seperti Mahathir, tetapi kerana perlembagaan telah meletakkan kuasa raja berada di kedudukan yang tidak mungkin boleh dicabar walaupun oleh majoriti parlimen. Ini bermakna, peluang untuk menuntut keadilan dan perlaksanaan Islam melalui sistem demokrasi di Jordan adalah jauh lebih tipis berbanding dengan Malaysia (setakat ini). Akan tetapi Jabhah Al-Amal Al-Islami tidak pula mengambil keputusan untuk melimpah-limpah di jalanraya, melancarkan revolusi walaupun saban hari satu demi satu ulamak disekat pergerakannya, walaupun sekadar untuk menghuraikan makna Surah AL-Ikhlas di masjid. Usaha menyedarkan rakyat tetap berterusan, kuliah-kuliah pengajian tetap digiatkan kerana di situ letaknya nilai kekuatan yang sebenar. Kerana itulah Hasan Hudaibi pernah menyebut "Tegakkan negara Islam di dada kamu, nescaya nantinya ia akan tertegak di bumi kamu!"

Begitu juga perihalnya dengan Turki. Setelah berkali-kali berlakunya revolusi bersenjata di antara rakyat dengan kekejaman kerajaan sekular dan tertera yang dikuasai Yahudi Donme, bumi khilafah itu masih belum berpeluang untuk merealisasikan impian Islam dan keadilan sejagat. Turki mempunyai kelebihan yang besar berbanding Malaysia kerana sebahagian besar rakyatnya berkemahiran menggunakan senjata api, hasil sistem kerahan tentera yang diamalkan sehingga kini. Bahkan di universiti-universiti, anak-anak mudanya tidak ada seorang pun yang hidup tanpa perjuangan. Yang sekular dengan cara sekularnya, yang sosialis dengan cara sosialisnya, dan yang Islamik dengan cara Islamnya... setiap seorang yang terpelajar memikirkan bagaimanakah cara yang terbaik untuk menyelamatkan negaranya yang sedang menuju kehancuran itu. Setelah pemimpin-pemimpin hebat seperti Necmettin Erbakan, Recab Tayyib Erdogan, Kavakci dan Sevki Yilmaz dihukum penjara, dibuang negara dan disekat dari berpolitik, setelah Huda Kaya dihukum bunuh kerana mempertahankan hak wanita Islamnya bertudung, mereka tidak pula mengambil keputusan untuk melancarkan revolusi bersenjata. Semuanya kerana.... jalan kita adalah jalan yang jauh... jalan yang memerlukan kepada tahap demi tahap... bukan tergesa-gesa melatah bertindak.

Renungilah kata-kata Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna berhubung dengan gesaan anak-anak muda yang mahukan cetusan revolusi itu:

"... Wahai Ikhwanul Muslimin, khususnya mereka yang bersemangat dan yang tergesa-gesa di kalangan kamu... sesungguhnya jalan kamu itu sudah pun dilakarkan langkah-langkahnya, dan telah pun ditentukan batas-batasnya. Aku sekali-kali tidak akan menyalahi batas-batas itu yang mana aku meyakini dengan sepenuh yakin bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk tiba ke matlamat. Benar, adakalanya jalan itu mungkin jalan yang panjang. Tetapi bukanlah itu bermakna sudah tidak ada jalan yang lain. Sesungguhnya keperwiraan itu terserlah adalah dengan sabar, tekun dan gigih berusaha serta bersungguh-sungguh beramal. Barangsiapa di kalangan kamu yang mahu segera mendapatkan buah sebelum ia benar-benar ranum, atau memetik bunga sebelum masanya, maka aku sekali-kali tidak bersama dengan sikap sedemikian dalam keadaan yang begitu. Maka lebih baik bagi mereka yang bersikap begitu berpindah dari dakwah ini kepada dakwah-dakwah yang lain. Akan tetapi, bagi yang bersabar sehingga bertunasnya benih, tumbuhnya pokok, ranumnya buah dan cukup masanya untuk memetik bunga, maka balasan atas kesabaran itu adalah di sisi Allah. Sesungguhnya tidak akan hilang dari kita dan mereka yang sabar itu, ganjaran orang-orang yang melakukan kebaikan : sama ada menang dan kuasa, atau syahid dan bahagia..." (Muktamar Kelima Ikhwanul Muslimin petikan Majmu'ah Rasa'il Hasan Al-Banna)

Maka, bawalah bertenang wahai mereka yang cintakan kebenaran. Saya atau sesiapa sahaja tidak menafikan bahawa senario 20 September 1998 sebagai salah satu cara kita menyuarakan bantahan dan melahirkan perjuangan. Akan tetapi menyifatkan gerakan pembangkang sebagai lemah, lembik dan mengecewakan rakyat, apatah lagi di media-media terbuka, semata-mata kerana tiada kekasaran besar-besaran kelihatan di tanah air... adalah sesuatu yang tidak wajar. Sekurang-kurangnya pimpinan-pimpinan senior PAS sendiri, sudah terjun ke medan politik tanah air semenjak kita hanya sebesar ibu jari kaki. Maka, pilihlah wasilah yang sesuai untuk memberikan pandangan, dan bukannya memukul kaki-kaki mujahidin ketika kuda-kuda yang mereka tunggangi itu bertempur di medan musuh.

Mahathir dan kezalimannya tidak gentar dengan limpahan-limpahan reformasi di Dataran Merdeka semata-mata (bahkan boleh dijadikan alasan untuk mengisytiharkan darurat!) Akan tetapi yang menggugat tidur lenanya adalah perubahan minda rakyat yang semakin mematangi politik. Kematangan yang terserlah dalam keputusan pilihanraya 1999 yang lalu. Lulusan-lulusan Timur Tengah juga berperanan untuk menggerakan perubahan minda rakyat kerana kami yakin, masyarakat tidak mungkin dapat dibangunkan hanya berbekalkan semangat dan tiupan isu, bahkan perubahan jati diri, kefahaman yang mendalam terhadap agama dan kesedaran berpolitik yang tersusun... itulah "Quwwah" yang utama.

Maka jika tiba masa berevolusi, berevolusilah kita dengan peraturan-peraturan Islam yang rapi. Andaikata masanya belum tiba, maka sama-samalah kita menyusun langkah dan seterusnya memikul agenda perubahan bersama. Kerana itulah ALlah menyebut di dalam Al-Quran, "...dan hendaklah kamu menegakkan agama, dan janganlah kamu berpecah belah di dalam (urusan menegakkan agama) itu." Peliharalah kesatuan dan junjungilah keputusan bersama, hanya dengan cara itu kebatilan dapat ditumpaskan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar wa Lillahilhamd!

Abu Ubaidah Al-Malizi
Jordan