Laman Webantu   KM2A1: 2561 File Size: 12.9 Kb *



Tian Chua dan "mesra polis".
By web aNtu

16/8/2000 2:35 am Wed


Nampaknya kempen mesra polis tajaan Pak Lah indah kabar dari rupa.

PDrM memang layak mendapat gelaran pasukan penjenayah dr mahath1r kalau macam ni.

Saya tertarik bagaimana OKT turut digunakan untuk membelasah Tian Chua - dari
mana polis belajar tektik ugut OKT ini - dari memanda perdana menteri ke? Atau
dari Rahim Nor yang masih belum mencium penjara? Atau Yakub Amin "the protector"?

Yang pastinya pihak polis sudah tidak menghormati rakyat lagi. Jangankan rakyat,
masjid sendiri sudah pun decemari oleh polis2 macam ini. Kerjaya polis rupa2nya
menjadi paspot dan lesen untuk mengerjakan orang ramai - sebab itu kita tidak
heran kalau Dr Anees sampai terpaksa masuk hospital untuk rawatan selepas
dikerjakan oleh polis2 binatang ni.

Institusi polis sudah lama dicemari, sebab itulah gejala dadah tak habis2 sampai
kini kerana polis sendiri telah bersubahat. Datuk Zaman adalah seorang yg amat
tegas memerangi dadah, tapi beliau telah dipinggirkan siang2 - maklum sajalah
iblis dan setan dalam PDrM tak senang.... takut pecah lubang.


Sepatutnya polis2 ini berfikir nasib mereka setelah bertahun2 berada dalam
kandungan perut buncit si Diktator tua dan dibawah kelolaan KPN yang kaya raya.
Berapa senkah yang mereka dapat dari menteri yang menjaga mereka - dan berapa
kah nilai yang telah diagihkan dari seorang bekas menteri yang telah dilebamkan
yang telah berusaha menyediakan atap untuk mereka...


Petikan Belanjawan 1997 - No 67. (5 OKTOBER 1996)

"Di bawah program perumahan kakitangan awam pula, Kerajaan memperuntukkan
RM974.6 juta bagi tahun 1997, meliputi projek perumahan Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), rumah kakitangan Imigresen, Kastam
dan Penjara, rumah-rumah guru di desa dan bantuan pinjaman kepada negeri-negeri
untuk program perumahan kos rendah. 68. Dalam Belanjawan 1994, saya telahpun
mengumumkan elaun bangunan khas ke atas perbelanjaan yang dibenarkan bagi
pembelian atau pembinaan bangunan penginapan untuk pekerja- pekerja dalam sektor
perkilangan.

Elaun tersebut adalah sebanyak 10 peratus bagi setiap tahun. Untuk menggalakkan
lagi penyediaan kemudahan yang sama kepada pekerja mereka, saya mencadangkan
supaya elaun bangunan khas ini diperluaskan kepada sektor perkhidmatan yang
diluluskan termasuk pelancongan " [AI - belanjawan 1997]


Kalau Pak Lah dan Norain Mai betul2 memperjuangkan keadilan, polis2 bangsat ini
sepatutnya ditangkap dan diadili serta disiarkan gambar2 mereka ke segenap ceruk
rantau - baru lah rakyat dapat menilai apakah arti ungkapan mesra dan siapakah
penunjuk perasaan, penyangak dan musuh negara yang sebenarnya.


Kalau babi yang menyebarkan JE dapat dinyahkan kelubang besar sebegitu rupa
dalam sekelip mata sewajarlah proses membersihkan institusi polis ini
dilancarkan segera - jika tidak wabak penyakit polis bangsat ini tidak akan
menemui penghujungnya. Jangan terkejut - jika Pak Lah sendiri yang akan disondol
dan tertanam dilubang yang penuh dengan babi pula.


--ooOoo--

Fwd:

'Penjenayah' Turut Simpati Saya Dibelasah Polis - Tian Chua


Apabila sampai di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, saya dan
Abd Malek Hussin ditempatkan di kawasan letak kereta, siap dengan meja dan
khemah. Kami dibiarkan di sini, seolah-olah menunggu lebih ramai lagi
tahanan polis.

Turut hadir di sini termasuklah DSP Zainuddin, ASP Manoharan, Superintenden
Shatar, dan beberapa pegawai tinggi.

Pada waktu itu, telefon bimbit masih bersama saya dan kerap pula menerima
panggilan telefon yang bertanyakan keadaan saya. Polis yang bertugas
mengarahkan saya supaya telefon itu diserahkan kepada mereka. Saya membalas,
kalau barang-barang saya hendak diserahkan, polis harus merakamkan butiran
barangan itu mengikut tatacara biasa.

Saya terus mengingatkan polis bahawa sehingga saat itu, polis belum lagi
melakukan tangkapan rasmi terhadap saya. Salah seorang pegawai,
Superintenden Shatar rasa tercabar apabila saya berhujah begitu. Dia mula
mengeluarkan berbagai-bagai ugutan, seperti akan mendakwa saya mengganggu
tugas polis.

Beberapa minit kemudian, Sarjan Mohd Amin diarah oleh DSP Zainuddin untuk
mengambil semua barangan saya, termasuklah dompet duit, kad pengenalan,
lesen memandu, wang tunai, dan telefon bimbit. Saya menyerahkan semuanya
kepada sarjan itu dan beliau mencatatkan butiran barangan tersebut.

Pada jam 11:30 pagi, kami dibekalkan makanan tengahari. Lebih kurang jam
12:30, atau 12.45, enam orang aktivis Monashofian Putra Zulkarnain, Zainal
Abidin Hashim, Sabran Hamzah, Norsuria Ismail, Mohd Jasni z###ria dan Nikmat
Abu dibawa oleh sebuah trak polis. Mereka memaklumkan bahawa mereka ditahan
semasa berhimpun di benteng di belakang bangunan bank Hongkong & Shanghai.

Tiga di antara mereka, Monashofian, Sabran dan Norsuria, dibelasah oleh
polis semasa tangkapan.

Kekerasan direstui

Kemudian, Malek memberikan penerangan kepada teman-teman yang lain tentang
tatacara soal siasat dan hak-hak tahanan. Penerangan kami kerap diganggu
oleh polis yang meneliti perbualan kami. Saya membantah dan memohon
"privacy" diberikan semasa perbincangan. Bantahan saya tidak dipedulikan.
Saya membuat keputusan untuk tidak meneruskan perbincangan itu dan duduk
mendiamkan diri.

Selepas beberapa minit, seorang pegawai polis, Juswan Singh menyuruh saya
naik ke pejabat IPK. Saya bertanya mengapa saya harus diasingkan daripada
teman-teman lain, tetapi tidak dijawab. Saya berasa tidak selamat dipisahkan
daripada teman-teman. Beberapa pegawai polis terus mengangkat kaki dan
mencapai tali pinggang saya, lalu mengusung saya ke dalam pejabat itu.

Saya dipegang oleh pegawai-pegawai yang bernama: Juswan Singh, Ismail, Mohd
Amin dan Saat. Yang menyaksikan kejadian ini, selain daripada tujuh lagi
teman aktivis yang ditahan, termasuklah DSP Zainuddin, Superintenden Shatar
dan ASP Manoharan.

Mereka langsung tidak melakukan sesuatu untuk menghentikan kekerasan itu.
Sebaliknya saya percaya tindakan keras ini direstui oleh pegawai-pegawai
tinggi di IPK.

Saya dibawa ke bilik tahanan Bahagian Jenayah Berat di tingkat 7. Saya
ditolak di atas lantai dan mula ditendang oleh seorang pengawai berpakaian
biasa berbangsa Cina, sambil saya dimaki. Apabila saya cuba membantah,
beberapa orang pegawai lain yang tidak mempunyai tanda pengenalan juga turut
menendang.

Polis bertopeng

Beberapa minit selepas membelasah, semua pegawai undur dari bilik itu.
Kemudian, masuk pula seorang pegawai yang bertopeng muka, hanya nampak dua
matanya. Daripada pakaian dan suara, saya percaya dia adalah pegawai Cina
yang mula-mula memukul saya. Pegawai polis yang bertopeng itu memukul dan
membelasah beberapa kali. Pada kali terakhir, dia menendang di belakang
badan saya di sebelah kiri buah pinggang saya.

Saya menjerit dalam kesakitan ketika terbaring di lantai.

Saya kemudian diheret ke dalam lokap. Di situ sudah terdapat tiga orang
tahanan. Dua orang kena tahan (OKT) kaum Cina dan seorang Melayu.
Tahanan-tahanan tersebut diarah untuk memukul dan membuka baju dan seluar
saya. Seorang Cina yang gemuk mencekik leher dan seorang lagi memukul sambil
cuba membuka baju saya.

Saya menentang sekuat-kuatnya kelakuan mereka. Akhirnya mereka berhenti.

Saya tetap tidak mahu membuka baju kerana menganggap polis tidak mengikut
tatacara yang betul. Semua OKT yang memukul saya juga memohon maaf kerana
mereka terpaksa melakukan kekerasan. Kalau tidak, mereka bimbang akan
dipukul polis pula.

Saya diberitahu mereka dituduh terlibat dalam rompakan. Tetapi mereka
mengaku tidak menggunakan tenaga sepenuhnya apabila memukul saya tadi kerana
nampaknya saya bukan seorang penjenayah. Mereka berkata mereka berasa
kasihan pada saya. Rupa-rupanya penjenayah lebih berperikemanusiaan daripada
anggota polis!

Saya dibiarkan dalam kesakitan walau telah memohon rawatan perubatan. Saya
terbaring di atas lantai lokap dalam keadaan separuh sedar kerana seluruh
badan terasa sakit akibat pukulan-pukulan polis itu.

Beberapa pengawai kerap datang mengganggu, ada yang memaki, ada yang
menyindir, dan ada juga yang mengugut menahan di bawah akta ISA. Tetapi saya
tidak mempedulikan mereka.


Ugutan demi ugutan

Selepas beberapa jam, saya dipanggil keluar dari lokap untuk soal siasat.
Penjaga lokap mencatatkan waktu. Jam 5 petang. Saya dibawa ke pejabat
Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan untuk dirakamkan kenyataan beramaran.

Dalam kenyataan tersebut, saya menerangkan segala yang berlaku dari pagi
hingga saya ditahan dan dipukul di pejabat di IPK itu. Saya sekali lagi
memohon untuk mendapatkan rawatan. Pegawai polis itu berkata dia akan
memaklumkan permintaan itu kepada Pegawai Siasatan DSP Zainuddin.

Kemudian, saya dibawa kembali ke dalam lokap. Sebaik saja saya dikunci di
dalam lokap, datang lagi lima orang pegawai, empat berbangsa Melayu dan
seorang India, semua tidak berpakaian seragam. Ketuanya Nor Azizan yang
menangkap saya pagi ini. Mereka mula mengeluarkan kata-kata yang
memprovokasi dan memaki-maki. Saya berdiam diri.

Mereka sekali lagi mengarahkan OKT di dalam lokap memukul serta membuka baju
dan seluar saya. Kata mereka, menjadi peraturan lokap bahawa semua OKT tidak
boleh berpakaian selain daripada seluar dalam. Saya menjawab mengapa saya
harus bersetuju dengan peraturan itu padahal polis sendiri tidak mematuhi
undang-undang. Polis tidak sewajarnya melakukan keganasan.

OKT berasa serba salah apabila polis bertegas mengarahkan mereka memukul
saya. Saya menasihatkan semua OKT supaya jangan campur tangan. Saya juga
berkata bahawa saya akan membalas dengan kekerasan jika mereka cuba
melakukan sesuatu. OKT terpaksa undur ke tepi.

Pegawai polis kelihatan tidak dapat memperalatkan OKT, mereka terus membuka
pintu besi dan masuk ke dalam lokap. Saya diheret keluar dengan memegang
kolar baju saya dari belakang. Di luar lokap, pegawai-pegawai itu mahu
memukul dan berjaya mengoyakkan salah satu butang baju saya.

Saya tidak menentang, cuma 'duduk bertapa' secara aman. Tindakan-tindakan
mereka sempat dihentikan oleh Nor Azizan yang berdiri di tepi pintu pejabat.
Dia memberikan isyarat kepada kakitangan polis yang lain, katanya: "biarkan
dia dulu!".

Saya dimasukkan semua ke dalam lokap. Pegawai polis mengarahkan saya
menyerahkan tali pinggang. Saya bersetuju. Selepas itu, semua anggota polis
keluar dan saya duduk bersama OKT yang lain.

Dua tulang retak

Pada jam 6 petang, Malek Hussin dibawa ke dalam lokap. Saya memberitahunya
kejadian yang berlaku sebelum itu. Dalam keadaan letih dan kesakitan, saya
tidak dapat menceritakan secara terperinci. Malek hanya mendapat gambaran
penuh daripada OKT lain yang menyaksikan segala episod pembelasahan
tersebut.

Sepanjang malam, saya tidak dapat tidur nyenyak. Oleh kerana kesan luka-luka
di badan, saya tidak boleh berbaring dengan selesa. Kami terjaga pada awal
pagi keesokannya, 9 Ogos (Rabu). Pada pukul 8 pagi, seorang pegawai polis
datang dan memberitahu bahawa saya dan Malek akan dibebaskan tanpa syarat
dan tanpa pertuduhan di mahkamah.

Barang-barang kami dipulangkan oleh Sarjan Amin pada 8:30 pagi. Saya berasa
sangat marah kerana nyata sekali polis tidak mempunyai sebarang alasan untuk
menahan kami. Sarjan itu membacakan satu laporan yang menyatakan bahawa
polis telah mendapat maklumat bahawa saya dan Malek akan mengepalai satu
perhimpunan haram.

Oleh itu, kami ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah, kononnya
untuk "mencegah kejadian yang tidak diingin." Inilah pertama kali kami
dimaklumkan secara rasmi butir-butir penahanan kami.

Selepas keluar dari IPK, kami berdua membuat laporan di Balai Polis Daerah
Dang Wangi di Jalan Stadium. Saya juga dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur
untuk pemeriksaan. Saya kemudian dinasihatkan untuk diperiksa sekali lagi di
Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Di sana, saya diperiksa
dengan sinaran-X, ultra-bunyi dan beberapa teknik lain.

Gambar sinaran-X tulang belakang saya menunjukkan terdapat keretakan pada
lumber 3 dan lumber 4. Doktor mengesahkan bahawa kesan retak itu akibat
tendangan di belakang badan saya. Doktor juga mencatatkan kesan-kesan
pukulan dan tendangan di seluruh badan saya.

Dalam perjuangan reformasi, ramai telah menjadi mangsa keganasan polis. Pada
masa yang sama, rakyat tidak harus takut; malah harus menjadi lebih berani
membela keadilan dan kebenaran.

Hanya melalui pendedahan salah guna kuasa polis, perkara demikian barulah
dapat dihentikan. Perjuangan kita harus memastikan kezaliman ini tidak
berulang lagi kepada anak cucu kita.