Laman Webantu   KM2A1: 2555 File Size: 9.3 Kb *



Re: Gerangan Tok Misai
By Tok Misai

15/8/2000 11:48 am Tue


Saudara WebAntu dan rakan2 seperjuangan yang lain,

Alhamdulillah....nampak gayanya dari cara saudara WebAntu memberi komen, memang sahlah kita ini sehaluan dan sepemikiran. Ketahuilah bahawa perjuangan saya ialah untuk memastikan agar Islam akan tertegak dalam diri2 kita masing2 dan supaya Daulah Islamiyah yang akan kita tegakkan nanti akan tertegak berdasarkan kepada keikhlasan kita yang murni terhadap Allah. Saya sudah lama mengharamkan ke atas diri saya untuk bertaksub ke atas mana2 individu atau pemimpin. Ketaksuban saya hanyalah kepada Allah dan RasulNya. Saya mengajak dan menyeru kepada semua pejuang2 reformasi yang lain untuk mengambil pendirian yang serupa kerana hakikat apa yang sebenarnya berlaku diluar sana ialah masih terdapat terlalu ramai lagi saudara kita diluar sana baik dari kalangan ahli2 Umno, Pas dan Keadilan yang tidak dapat membebaskan diri mereka dari belenggu ketaksuban kepada seseorang individu. Ini yang mencemaskan saya sebenarnya. Mereka kata mereka berjuang di atas Islam kononnya, tapi tindak tanduk dan segala perlakuan mereka mempamirkan sebaliknya.

Sejak akhir2 ini, saya semakin berminat untuk berkongsi pandangan dengan orang lain tentang hal2 aqidah dan tauhid kerana inilah sebenarnya asas yang mesti kita bina dan pertahankan terlebih dahulu jika kita mahu menganggap diri kita sebagai pejuang Islam. Tak guna kita ribut sana sini tapi aqidah kita tak berada dalam landasan yang betul. Sia2 saja hidup dan perjuangan kita kalau inilah cara kita. Kalau mati pun, mati katak jadinya. Kalau menang pun, menang hanya seketika kerana selepas itu pasti kita akan terjebak kembali dalam kemelut yang tidak akan ada kesudahannya.

Sebagai orang yang mengaku Islam, matlamat kita mestilah SATU. Iaitu untuk sentiasa mencari keredhaan Allah dan seterusnya meletakkan diri kita agar berada dalam rahmat Allah pada setiap masa dan setiap ketika. Inilah kunci kepada kelayakkan seseorang hamba Allah itu memasuki syurga yang sudah semestinya menjadi cita2 kita, bukannya neraka. Oleh itu, kalau kita mahukan syurga, ayuh kita lakukan apa yang harus kita lakukan untuk melayakkan diri kita termasuk dalam golongan orang2 yang akan dirahmati oleh Allah. Dalam konteks kita ber-reformasi, pastikanlah niat dan matlamat perjuangan kita itu selari dengan apa yang dituntut oleh Allah.

Melalui forum ini juga, saya berharap akan dapat memainkan peranan yang lebih aktif untuk mengajak para pejuang reformasi sekalian untuk bertindak sebagai "pressure group" ke atas Pas supaya ia tidak akan menyimpang dari perjuangannya yang murni itu. Kita sedia maklum bahawa walaupun dasar dan matlamat perjuangan Pas itu murni, tetapi Pas itu pada hakikat sebenarnya tidaklah lebih dari hanya sebuah pertubuhan politik yang dianggotai oleh manusia, bukannya malaikat. Dan bila terdapat semakin ramai manusia menganggotainya, semakin ramai jugalah iblis, yang kerjanya tidak lain dan tidak bukan hanyalah mahu menyesatkan manusia, akan bertandang di Pas. Ahli2 Pas, baik dari ahli2 biasanya atau pun dari kalangan pemimpinnya bukanlah malaikat. Mereka juga bukan maksum. Mereka pasti tidak akan terlepas dari godaan syaitan. Mereka pasti tidak akan terlepas dari membuat dosa dan kesilapan. Ini lumrah hidup. Menyedari hakikat ini, apa yang kita perlu menjaga bersama-sama ialah untuk menentukan agar tingkah laku pemimpin2 Pas tidak akan menyimpang dari dasar perjuangan Islam mewajibkan para pejuangnya meletakkan kepentingan Islam di atas segala kepentingan2 lain.

Saya menyuarakan ini kerana kita semua sudah boleh lihat bibit2 yang tidak sihat sudah mula berputik dalam Pas. Wakil2 rakyat mereka semakin glamor sekarang dan gaya cakap mereka juga sudah lain. Kalau dulu mungkin mereka hanya sekadar Ustaz biasa, sekarang ada di antara mereka sudah menjadi pengarah anak syarikat2 kerajaan negeri. Ini tidak mengapa asalkan mereka tidak terlupa diri dan tanggungjawab hingga membiarkan iblis berjaya dengan tipu-helahnya ke atas mereka. Disebabkan mereka bergerak di atas landasan agama, maka apa2 tingkah laku yang tidak elok dari mereka akan semestinya menimbulkan fitnah yang akan mengotori imej suci Islam.

Apa yang sebanarnya menjadi kekhuatiran saya sekarang ialah dengan semakin ramainya orang yang menjadi ahlinya, semakin besar potensi Pas akan menyimpang dari matlamat perjuangan asal mereka jika keadaan tidak dikawal dari peringkat awal. Maklum sajalah, sebagai sebuah pertubuhan politik yang mengharapkan sokongan dan undian dari orang ramai untuk terus mengekalkan kuasa, sikit sebanyak mereka terpaksa berkompromi jugak. Tapi masalahnya ialah kita khuatir setakat manakah kesanggupan mereka untuk berkompromi? Takut2 nanti, dasar dan prinsip pun akan tergadai jika apa yang mereka fikirkan adalah untuk mengekalkan kuasa sahaja.

Kita juga maklum bahawa ramai dikalangan ahli2 baru Pas sekarang tidak faham apakah sebenarnya yang menjadi tuntutan dalam perjuangan menegakkan Islam.
Mereka mungkin ingat bahawa matlamat Pas hanya untuk menumbangkan Umno sahaja. Apa yang mereka mungkin tidak dapat hayati ialah perjuangan mendaulatkan
kalimah tauhid memerlukan pendirian yang tegas yang juga memerlukan pengorbanan yang tinggi. Yang merisaukan kita sekarang ialah apakah ahli2 baru yang ramai itu mempunyai sikap begini atau pun mereka hanya masuk Pas kerana untuk memenuhi agenda peribadi masing2?

Dalam keadaan begini, para pemimpin2 atasan Pas pasti akan diuji pendirian mereka kerana mereka sekarang berhadapan dengan ramai penyokong2 yang mungkin
mempunyai agenda yang tidak lagi selari dengan tuntutan perjuangan Islam yang sebenarnya. Maka, demi untuk masih berpaut lagi kepada kedudukan dan kuasa
yang mereka kecapi sekarang sebagai pemimpin, apakah mereka akan hanya berdiam diri dan mengikut saja kemahuan ahli2 yang ramai itu?

Saya tidak ada jawapan. Saya cuma melahirkan kebimbangan dan rasa cemas saya tentang kemungkinan2 yang bakal ditempuhi oleh Pas di masa2 akan datangnya.
Harapan kita sebagai rakyat yang benar2 rindukan sistem keadilan yang dilaksanakan oleh pihak penguasa seperti mana yang kita dengar dari kisah2 sirah
Rasulullah dan zaman para Khulafa ur-Rasyidin dikhuatiri akan dikhianati oleh mereka2 yang bersikap munafiq dalam Pas nanti. Jika ini berlaku, maka masa
depan anak cucu kita di negara ini pasti akan jadi malap.

Harapan rakyat ke atas pemimpin2 Pas untuk mengembalikan keadilan begitu tinggi menggunung. Oleh kerana ini, mereka tidak boleh diberikan ruang untuk melakukan apa2 pengkhianatan kepada kita semua. Tanggungjawab untuk memastikan ini tidak berlaku terletak di atas kita semua yang boleh memainkan peranan yang efektif untuk menyuarakan apa2 rasa tidak puas hati atau teguran yang membina melalui forum2 seperti ini. Jika kita bersatu dan bersependapat dalam kaedah ini, saya kira suara kita sudah semestinya mendapat perhatian pemimpin2 tertinggi Pas. Saya yakin kita mampu melakukan tanggungjawab ini melalui saluran internet jika kita bersepakat dalam hal ini.

Sebagai syarat kepada memikul tanggungjawab ini, marilah kita semua terlebih dahulu perbetulkan kembali asas aqidah kita agar ia selari dengan apa yang dituntut oleh Allah dan seperti apa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat baginda termasuk juga pengikut2 baginda dari kaum salaf. Mari kita ambil mereka sebagai contoh utama kita dalam membentuk peribadi kita, pemikiran kita, tindak tanduk kita, cara ibadat kita, dan cara berjihad kita. Allah telah mengiktiraf kaum salaf ini dari kalangan orang2 Muhajirin & Ansar sebagai umat terbaik yang wajar diikuti kerana inilah dia satu2nya kaum yang Allah redha ke atas mereka dan mereka juga redha kepada Allah. Mereka dan sesiapa yang mengikuti jejak langkah merekalah yang akan Allah masukkan ke dalam syurga [At-Taubah (9) : 100]. Oleh itu, marilah kita pastikan agar kita akan bersusaha sekuat-kuatnya dengan segala tulus ikhlas untuk memenuhi tuntutan Islam sebenar yang menghendaki kita meletakkan kepentingan Islam lebih tinggi dari segala-galanya, sama seperti apa yang dipratikkan oleh kaum salaf dulu. Insya-Allah apabila ini dapat kita jana bersama, ikatan ukhwah kita sesama sendiri akan pasti dapat menyatupadukan kita semua walaupun ikatan ini terjalin dalam alam cyber. Dengan lain perkataan, asalkan kita berusaha untuk bertaqwa dengan sebaik mungkin dengan menjaga batas2 syariat dalam diri kita dengan baik, yakinilah bahawa Allah akan sentiasa berserta dengan hamba2Nya yang sentiasa bersikap ikhlas terhadapNya dan memberi keberkatan ke atas perjuangan kita, walaupun kita semua hanya mengenali masing2 dengan cara yang sungguh "pelik" ini melalui alam cyber yang tidak berjasad.

Ingatlah bahawa dari Allah kita datang, dan kepada Allah jualah tempat kita kembali. Peluang kita berbakti kepada diri kita yang akan menjadi bekalan bagi kita untuk menemui Maha Pencipta kita dengan jiwa yang tenang hanya terluang dalam jangkamasa yang pendek ini semasa kita masih bernyawa lagi. Janganlah kita sia2kan peluang ini.

Hidupkanlah kalimah tauhid "Laa ilaha illallah" dalam diri kita dan biarkanlah ia terus membara sehingga ajal menemui kita! Allahu Akbar.

Wa#salam,
Tok Misai