Laman Webantu   KM2A1: 2178 File Size: 2.8 Kb *



Sesi DUN Selangor gamat
By web aNtu

23/12/1999 8:31 am Thu

22 Disember - Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini gamat apabila ADUN BA dan penyokong kerajaan hebat mempertikaikan siapa sebenarnya yang menggunakan masjid untuk tujuan berpolitik.

Ia bermula apabila Sallehen Mukhyi (PAS-Sungai Besar) ketika membahaskan belanjawan negeri membangkitkan isu tindakan terhadap pegawai masjid yang didakwanya tidak menyokong kerajaan.

Beliau mendakwa kerajaan tidak berlaku adil apabila pegawai masjid terbabit ditukar manakala penceramah yang didapati tidak menyokong kerajaan pula "digam" daripada menghadiri sebarang majlis kerajaan.

Datuk Sharif Jajang (BN-Dengkil) yang bangun membantah sebaliknya berkata perkara yang sama dilakukan oleh kerajaan yang diperintah pembangkang apabila mereka berkuasa.

Pertikaman lidah menjadi semakin hangat apabila beberapa pembangkang lain seperti Datuk Dr Hasan Ali (PAS-Sungai Burung) dan Datuk Ismail Kamus (PAS-Gombak Setia) saling tuduh menuduh dengan penyokong kerajaan seperti Datuk Mufti Shuib (BN-Ampang) dan Shariff tentang siapa sebenarnya yang mula menjadikan masjid sebagai tempat berpolitik.

Dewan kemudiannya berjaya ditenteramkan apabila Speaker Datuk Onn Ismail tidak lagi memberikan kebenaran supaya perkara itu dipanjangkan dan meminta supaya Sallehen meneruskan hujahnya.

Sallehen kemudiannya meminta supaya elaun untuk imam dinaikkan kerana menurutnya jumlah yang diperuntukkan kepada setiap masjid terlalu kecil berbanding dengan jumlah imam yang dilantik yang agak ramai dalam satu-satu masjid.

Pada sesi petang, dewan menyaksikan pertikaman lidah antara Teng Chang Khim (DAP-Bandar Klang) dan Datuk z###riah Md Deros (BN-Selat Klang) membabitkan perkara yang sama sekali luar daripada tajuk perbahasan.

Ia bermula ketika Mesrah Selamat (BN-Jeram) sedang membahaskan belanjawan negeri apabila laluan diberikan kepada beberapa anggota dewan untuk mencelah dan menyuarakan pendapat mereka.

Perkara ini tidak disenangi Teng yang berhujah bahawa laluan yang diberikan tidak mengikut peraturan dan sebaliknya hujah Teng itu menimbulkan kemarahan z###riah sehingga menyebabkan kedua-duanya bertekak dan berlaku cabar mencabar mengenai siapa "samseng".

Bagaimanapun ia berakhir apabila kedua-duanya diarah duduk oleh Speaker dan mereka akur dengan arahan itu walaupun masih dalam keadaan marah.

Link Reference : Proxy List Dec 1999