Laman Webantu   KM2A1: 3797 File Size: 34.5 Kb *



Siri 5 MMM: Setiap Sandiwara Ada Pentasnya
By Marhain Tua

16/2/2001 10:26 am Fri

MMM5

[Berikrar sudah, berjanjipun pun sudah, malas menangis pun sudah tetapi apa makna itu semua sumpah seranah jika ia dimungkiri dengan mudah? BBM adalah sandiwara semasa pemimpin Umno yang sanggup berbuat apa saja (termasuk mengutuk bosnya) untuk menonjolkan ada semangat reformasi juga. Begitu jugalah isu Pertemuan Pas-Umno dan skandal Perwaja. Sejarah merakam Umno tidak ikhlas di mana-mana, dan orang BBM jugalah yang menjadi tukang pelaksana. Polis pula melengkapkan cerita dengan mendera orang melayu tidak kira di mana, dan sesiapa sahaja sehingga sanggup membunuh demi upah yang spesial tentunya.

Hanif Omar menjadi ketua ketika korban Memali kini menjadi ketua darul kasino. Musa Hitam diberi Suhakam untuk membersihkan hitamnya. Mahathir pula menjadi wira dunia ketiga ehsan pejuang BBM yang kerap melompat sehingga pecah semua rekod dunia.

Umno sudah sekian lama mendera orang melayu sambil berpura-pura memperjuangkan hak mereka. Nasib Tabung Haji, KWSP dan Perwaja menunjukkan betapa sumpah amanah pemimpin Umno hanyalah sandiwara belaka. Itulah watak mereka dulu, kini dan selamanya. Pentas mungkin berubah, tetapi orangnya tetap sama. Bukalah topeng, nanti akan terserlah siapa mereka yang sebenarnya.... - Editor]


SIRI MMM

BAB 5 : SETIAP SANDIWARA ADA PENTASNYA




Setiap Sandiwara Ada Pentasnya

Ketika BBM bersidang dulu, mereka telah melafazkan ikrar taat setia untuk 'mempertahan dan membela maruah, kepentingan dan martabat bangsa Melayu dan agama Islam.' Kita mesti rakamkan catatan BERNAMA ini kerana ia tidak diceduk oleh mana-mana akhbar perdana di negaranya sendiri. Ikrar itu dilafazkan pada akhir perhimpunan. Dengan nada bersemangat, para hadirin membaca ikrar yang berbunyi:



  1. Kami umat Melayu beragama Islam berjanji mulai saat ini tidak akan berhasad dengki, khianat dan irihati, bertelagah dan berbalah sesama sendiri kerana perbezaan fahaman politik, mazhab dan perguruan.

  2. Kami berjanji akan menegakkan syiar Islam sebagai Ad-Din.

  3. Kami juga berjanji akan bekerja dengan kuat dan gigih untuk menyara diri dan keluarga kami.

  4. Kami akan meneruskan perjuangan membangun agama, membela bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara.

  5. Kami sedia bersaing sesama bangsa kami dan bangsa-bangsa lain secara jujur dan terhormat menurut hukum dan nilai-nilai agama dan batas-batas yang telah ditentukan oleh undang-undang negara.

  6. Kami, umat Melayu berikrar dan bersumpah setia pada 10 Zulkaedah 1421 Hijrah bersamaan 4 Februari 2001 untuk:

    - memperjuang kepentingan ekonomi bangsa Melayu dalam semua bidang sehingga seimbang ddengan kaum lain;

    - menyedarkan orang Melayu beragama Islam agar meneruskan perjuangan yang belum selesai berdasarkan prinsip kebenaran, lurus dan jalan yang diredhai Allah;

    - melindungi dan memperjuang kepentingan rakyat terbanyak; dan

    - melindungi dan mempertahan maruah dan kepentingan negara daripada ancaman luar."



Sebelum ikrar itu mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Ghafar Baba, yang merupakan tokoh terakhir memberi ucapan, kelihatan menangis dan menahan sebak. Tun Ghafar mahu bangsa Melayu bukan sahaja kekal berkuasa bahkan terus menikmati kehidupan yang baik dalam semua bidang di negara sendiri. "Tak guna kita bersatu kalau kita masih jadi pengemis di negara sendiri...kita mahu taraf hidup yang mampu bersaing dengan bangsa asing," katanya. - Bernama

.



DEMIKIANLAH sumpah ikrar satu majlis yang ditaja dan melibatkan satu kumpulan pemimpin Melayu yang banyak melakar sejarah negara ini apatah lagi corak sejarah bangsa Melayu itu terutama sekali sejak Malaysia mencapai kemerdekaannya. Itulah dia ikrar sumpah-setia orang Melayu yang beragama Islam mengikut cara baru dan di alaf baru ini. Hampir semua yang berada di pentas dan membaca ikrar itu pernah memegang Al Quran untuk mengangkat sumpah disaksikan Yang Di Pertuan Agong semasa mereka dilantik menjadi menteri kerajaan persekutuan ataupun ahli dewan rakyat (parlimen), dewan senat atupun dewan undangan negeri masing-masing.

Tetapi ada juga di kalangan mereka itu satu ketika dulu yang pernah menghadiri sidang akhbar sambil memegang pita keset di tangan dengan berkata bahawa "inilah pita keset yang mengandungi bukti kerja-kerja jijik Dato' Seri Anwar Ibrahim" yang membuatkan Dr. Mahathir menyingkirkannya dari jawatan timbalan presiden UMNO dan juga timbalan perdana menteri Malaysia. Ternyata, semua pita-pita keset itu adalah pita keset kosong sahaja untuk melengkap satu lakonan menipu orang Melayu - bangsa mereka sendiri dan kumpulan yang satu hari nanti akan turut menadah tangan mengaminkan doa talqin ditanah perkuburan yang menyimpan jasad mereka semua.

Ramai juga di kalangan pemimpin UMNO yang bergelar dan berpangkat itu yang pernah berpakaian hebat-hebat mengiringi Dr. Mahathir Mohamad ketika dia menjelajah negara bertemu rakyat jelata. Ketika itu Mahathir cuba menjelaskan cerita kenapa Anwar Ibrahim dipecat dan kenapa dia 'tidak layak menjadi bakal perdana menteri Malaysia'. Di waktu itu Mahathir kerap menonjolkan falsafah bahawa orang yang paling layak menerajui Malaysia adalah seorang yang mempunyai ciri-ciri perwatakan sepertinya. Dengan lain perkataaan, orang itu adalah seorang yang merupakan klonnya. Mahathir menjelajah negara ketika itu sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan perbelanjaan rakyat marhaen, tetapi tugas sebenarnya ialah untuk memperkuatkan dakyah UMNO dan Barisan Nasional menghadapi pemilu 1999 dulu. Begitu kuatnya kerja-kerja UMNO untuk menang kembali pemilu itu sehinggakan dalam masa satu bulan sebelum pengundian Mahahtir melancarkan Kempen Tujuh 'M' yang dikatakan 'harus menjadi panduan semua orang UMNO agar menjadi orang Melayu yang berwibawa dan berpekerti terpilih.' Kempen itu dilakukan selepas ada pemimpin UMNO yang mahu mendedahkan rakaman perbualan telefon Anwar dengan isteri seorang pemimpin UMNO, perbualan telefon Anwar dengan perempuan lain dan bermacam lagi barang bukti yang tidak pun pernah digunakan oleh polis di mahkamah ketika mendakwa Anwar dulu.

Dengan lain perkataan, daripada Tun Ghafar Baba dan yang seangkatan dengannya hinggalah ke satu lagi jenerasi pemimpin UMNO yang diwakili oleh Dato Wira Ibrahim Ali yang merupakan jenerasi pelapis daripada kumpulan pencapai kemerdekaan itu sedar dan faham serta masih ingat lagi bahawa segala tuduhan yang digembar-gemburkan oleh Mahathir Mohammad terhadap Anwar adalah satu kepalsuan semata-mata. Malahan, ramai dikalangan mereka ikut terpalit dengan dosa besar itu apabila turut melakonkan peranan yang sengaja mereka lakonkan pula hasil pujukan, arahan, ugutan ataupun arahan yang bersalutkan janji-janji manis yang dicetuskan oleh Mahahtir.

Oleh itu saya memandang sikap dan gelagat mereka ketika pelancaran sumpah ikrar BBM itu tidak lebih daripada satu kesinambungan sandiwara yang mereka lakukan dulu. Jika tidak, seperti yang pernah saya tulis pada tahun lalu, apa yang mereka lakukan adalah kesan dan musibah yang tercetus daripada hukum karma dan 'badi Anwar Ibrahim', yang diperkuatkan oleh doa, solat hajat dan segala permohonan rakyat jelata di negara ini dan umat Islam seluruh dunia agar Allah memelihara Anwar Ibrahim.


Kesan Dr. Mahathir Mohammad Yang Terpenjara

Apabila kita mendengar cakap-cakap hangat yang dituturkan pada Februari 4 di PWTC itu kita harus faham, seolah-olah semua yang bercakap berdegar-degar dulu sudah pun memusuhi Mahathir Mohammad. Mereka seolah-olah lupa bahawa tepukan tangan mereka yang bergema ketika Ibrahim Ali mengistiharkan Diktator Mahathir sebagai wira dunia ketiga. Sekaligus, secara simboliknya mereka telah mengakui bahawa Mahathir adalah seorang pemimpin yang tidak ada kena mengena dengan pembunuhan empat belas insan yang tidak berdosa di Memali. Bagaimana pula dengan kematian ramai insan-insan yang tidak berdosa dalam episod lain.


Malahan kita boleh ambil kisah bagaimana banyak nyawa yang hilang dan harta benda yang musnah apabila tercetus peristiwa Mei 13 dulu. Bukankah Mei 13 sebenarnya tercetus kerana pemimpinn Melayu dalam UMNO sudah terlalu leka dengan kekayaan mereka sehinggakan mereka lupa akan para pengundi Melayu yang berpaling tadah memangkah parti pembangkang? Bukankah di pemilu 1969 itu seorang bakal Wira Dunia Ketiga tewas di kawasan Kota Star? Almarhum Tengku Abdul Rahman ada menulis kekalahan calon wira dunia ketiga jolokan Ibrahim Ali itu kalah kerana dia leka berniaga dengan teman-teman berbangsa Cina sehinggakan dia lupa akan peranannya sebagai wakil rakyat.

Sejarah kehidupan bangsa sentiasa berputar. Setiap yang berputar itu ada turun naiknya. Demikianlah sejarah UMNO sejak ia ditubuhkan. Walaupun parti itu terus menjadi tiang seri kepada kerajaan Barisan Nasional, keutuhan tiang seri itu hanya menunggu masa untuk remok ke bumi kerana terlalu lapuk dimakan bubuk. Yang dikatakan bubuk itu adalah para pemimpin yang tidak faham apa sebenarnya satu perjuangan untuk menaikkan bangsa dan agama dalam parti politik sesuatu bangsa itu.

Memang UMNO mempunyai sejarah kegemilangan yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana parti melainkan parti Komunis China. Tetapi, untuk terus kekal sebagai sebuah parti yang dikatakan teguh dan kukuh, kini sudah kelihatan segala ciri-ciri bagaimana UMNO sendiri terpaksa mengambil jalan kepimpinan yang dilakukan oleh Parti Komunis China itu. Jika tidak, bagaimanakah Diktator Mahathir mampu menerajui satu konspirasi untuk memenjarakan Anwar Ibrahim selama 15 tahun dalam satu perbicaraan di mana dia sendiri takut untuk menghadirkan diri setelah disapina sebanyak dua kali? Bagaimanakah dia mampu memutar minda 1.5 juta ahli UMNO (he.he.he) untuk mengizinkan agar jawatan presiden parti dan juga timbalannya dibrahminkan sahaja? Apakah secara kebetulan, dia mampu memutarkan kaedah pemilihan kepimpinan UMNO itu selepas Anwar terpenjara? Oleh sebab pemilihan presiden parti dan juga timbalannya dibuat secara geleng kepala makanya jawatan Perdana Menteri dan timbalannya itu merupakan jawatan yang tidak sah dari kacamata perlembagaan negara Malaysia. Kenyataan saya ini mesti dilihat secara meneliti amalan pemilihan perdana menteri Malaysia mengikut perjalanan sejarah dan secara amalannya yang terdahulu itu. Mahathir telah menipu untuk terus kekal sebagai perdana menteri Malaysia dan penipuannya itu tidak disangkal oleh para pemimpin UMNO yang lainnya termasuk juga mereka yang kini mahu bersuara lantang mengganyangnya melalui sebuah NGO yang berlogokan satu keris telanjang.

Kenapakah Mahathir dibiarkan menjadi presiden parti dulu tanpa pertandingan secara terbuka? Apakah Ibrahim Ali dan pemimpin sejenerasi dengannya tidak sedar bahawa Mahathir menipu terang-terangan untuk terus kekal berkuasa? Jawapannya amat mudah sekali. Ibrahim Ali sedar akan perkara ini tetapi dia pun seronok juga dengan peraturan 'membrahminkan' presiden UMNO itu, kerana dia naik melonjak menjadi seorang timbalan menteri. Begitulah seterusnya. Sesiapa yang sanggup mengampu untuk membiarkan Mahathir terus menipu menerima habuannya. Sehinggakan ramai pemimpin Melayu dalam UMNO yang lebih takutkan Mahathir daripada mereka takutkan Allah swt. Mereka sanggup menipu rakyat yang melantik mereka menjadi 'wakil rakyat' dengan berbohong juga. Mereka sanggup menipu diri mereka dulu dengan membelakangkan ajaran Al Quran kerana mahu menipu rakyat yang melantik mereka. Mereka sanggup diturunkan pangkat daripada menteri besar yang lama kuasanya sehingga ditukarkan menjadi timbalan menteri. Ada yang menjadi ketua menteri sanggup diturunkan pangkat menjadi setiausaha politik sahaja.

Itu sebabnya kalau Mahathir kata 'kamu pergi bercakap di sidang akhbar dan tunjukkan pita kosong dan katakan inilah bukti Anwar bercakap mesra dengan isteri orang', pemimpin itu enggeh sahaja. Kerana itu juga seorang ketua pengarang sebuah akhbar Melayu terulung di negara ini sanggup menjadi senator dan kemudiannya menjadi Setiausaha parlimen sebuah kementerian. Sedangkan di mata rakyat yang waras fikirannya, jawatan itu menunjukkan betapa rendahnya IQ dan EQ yang ada padanya. Sejarah pemilihan kabinet menunjukkan wartawan biasa boleh menjadi menteri penuh dalam kabinet negara. Drs. Sulaiman adalah seorang bekas wartawan, begitu juga dengan Khalid Yunus.

Semua contoh yang kita rakamkan ini adalah kesan menunjukkan betapa semakin ramai pemimpin Melayu yang satu ketika dulu mempunyai ciri-ciri jempolan untuk menjadi negawaran bangsa Malaysia telah kecundang kerana mereka tersilap langkah menjadi taksub kepada kepimpinan Mahathir. Mereka sanggup melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh Malbari Tua itu. Diktator Mahathir sebenarnya bebas hanya pada pandangan mata kerana sejak dia mula mengarahkan Anwar ditangkap, didera dan diseksa sehinggalah dikenakan tuduhan mahkamah, Mahathir pun secara kebatinannya telah turut terpenjara. Apabila Anwar Ibrahim didera sehingga lebam matanya, kerja-kerja itu dilakukan oleh Rahim Noor. Tetapi tanggungjawab teratas kerja jijik itu adalah tanggungan Mahathir, Megat Junid dan Hamid Osman. Megat Junid turut berdosa besar kerana dia adalah menteri hal ehwal dalam negeri dan Hamid Osman kerana dia bertanggungjawab ke atas peraturan dalam Islam yang mesti diamalkan oleh Mahathir. Apakah secara kebetulan sahaja Megat Junid dan Hamid Osman kalah dalam pemilu 1999 itu? Apakah juga secara kebetulan sahaja Aziz Shamsuddin boleh dihenyak satu kemalangan jalanraya yang mengorbankan isterinya?


Sebagai sebuah negara yang dikatakan mengamalkan demokrasi, Malaysia sebenarnya dicengkam oleh satu sistem raksasa bikinan Mahathir sehinggakan tidak ada satu tindakan pihak penguatkuasa negara ini yang tidak dimulakan oleh Mahathir. Apabila rakyat marhaen dikejar, ditendang, dihenyak dan disiram oleh air berasid oleh FRU, itu semua adalah atas arahan Mahathir bin Mohammad. Majoriti yang berdemo secara aman itu adalah orang Melayu dan majoriti anggota FRU yang menghenyak mereka pun adalah orang Melayu.


Kenapakah mereka sanggup bersifat binatang melakukan kerja ganas sesama manusia? Kerana mereka sudah dipukau untuk melakukannya. Mereka sudah diajar untuk akur arahan ketua. Kalau di Memali dulu pasukan keselamatan yang melepaskan tembakan ke arah pondok Ibrahim Libya telah diberikan minuman keras sepanjang malam menjelang subuh sebelum melakukan dosa-dosa itu, apakah yang tidak mampu dilakukan oleh sistem raksasa Mahathir untuk membuatkan FRU terus menggila terhadap orang Melayu? Kita tahu cerita ini pun setelah dibocorkan oleh anggota polis juga. Kalau tidak manakan rakyat marhaen tahu akan rahsia ketat polis? Kita sebut orang Melayu kerana yang suka sangat berdemo adalah orang Melayu juga. Pemimpin BA seperti Tian Chua ataupun Gobalakrishnan tergolong dalam takrif itu kerana mereka mampu mempengaruhi orang Melayu mengikut contoh tauladan semangat mereka. Begitu juga dengan Lim Guan Eng, yang sanggup dipenjarakan dan kehilangan hak untuk menjadi wakil rakyat kerana memperjuangkan nasib seorang nenek Melayu, gara-gara tabiat jalang seorang pemimpin Melayu juga.

Mahathir tahu dia sebenarnya dipenjara oleh segala dosa-dosanya. Dia kelihatan belum terseksa oleh segala kebajingan itu. Tetapi, secara dalamannya dia memang merupakan seorang banduan yang mempunyai jasad yang amat tercemar jasmaninya sehinggakan sudah tidak nampak ciri-ciri rohaniah dalam jasmaninya itu. Tetapi, Mahathir tidak mampu melakukan segala kerja kotor itu tanpa mendapat sokongan para pengikutnya. Ketika dia melancarakan kempen 'Tujuh M' yang dipelopori oleh Yusuf Nor seorang ulama unggul UMNO setaraf Hamid Osman, kesaktian kempen itu sebenarnya ditelan oleh segala kerja bajingannya terhadap Anwar Ibrahim dan juga segala penyelewengan wang rakyat marhaen yang dibalunnya. Kempen '7M' itu sebenarnya satu topeng untuk menutup segala kerja kotor yang dilakonkannya bersama pemimpin UMNO.

Contoh-contoh Bagaimana UMNO mendera orang Melayu:

Oleh kerana kesempitan masa dan ruang kita akan ulas sedikit sahaja beberapa isu hangat yang mendera orang Melayu sekarang ini:

a) FRU Mengganas diKubang Pasu.

Semalam, penduduk Kampung Lahar, Mukim Malau, Jitra Kedah telah menyaksikan keganasan yang tidak sepatutnya berlaku ke atas mereka. Mereka telah menyaksikan bagaimana satu perhimpunan manusia secara aman disuraikan mengguna kekerasan pihak polis. Ketua UMNO di Kubang Pasu ialah Mahahtir Mohammad. Penduduk di situ berkumpul secara aman kerana menyaksikan 'majlis ahli UMNO menyerah borang masuk Parti Keadilan'. Apakah itu satu perhimpunan yang bersifat keganasan sehingga mesti disuraikan dengan kekerasan? Alasannya, perhimpunan tidak berpermit. Perkara ini sepatutnya tidak menjadi mainan politik pihak polis kerana polis yang enggan mengeluarkan permit itu.

Kita diberitahu bahawa 'penyertaan lebih dari 300 ahli UMNO melibatkan 8 cawangan di dalam DUN Jitra, Parlimen Kubang Pasu.' Jika demikian, kenapa mereka disiram air asid? Sebelum ini pun banyak majlis bekas ahli PAS dan Keadilan yang dikatakan menyerahkan borang keahlian masuk UMNO yang tidak pun diberikan permit tetapi diberikan rakaman dan liputan TV dan media. Tidak pun mereka didera oleh polis.

Kira-kira dua tahun yang lalu, dalam satu penulisan saya (tidak boleh diingat akan tajuk dan sirinya, mungkin penyimpan arkib dapat beritahu para pengendali Web sekelian); saya ada meramalkan bahawa zaman kegemilangan era Mahathir akan menggelonsor sebaik sahaja muncul penentangan terhadap kepimpinannya daripada orang Melayu di luar bandar. Penentangan itu akan muncul dan bergolak apabila kaum petani dan orang kampung bersatu untuk mengumpulkan tenaga hingga membuak besarnya menjadi satu gelombang manusia yang menentangnya. Sekaligus, mereka juga menentang UMNO. Dua tahun sudah pun berlalu sejak penulisan itu. Segala ciri-ciri kemunculan gelombang manusia seperti itu sudah semakin ketara sekarang ini. Mahathir dan semua para pemikirnya amat sedar akan fenomena ini dan kerana itu kita lihat berlakunya beberapa fenomena dalam UMNO yang sebenarnya bertujuan untuk melengahkan kebangkitan revolusi rakyat ini. Di antaranya ialah:



  1. Penubuhan BBM yang dikatakan untuk memperbetulkan keadaan agar orang Melayu menjadi terus unggul. Tetapi, ia ditubuhkan sebagai satu pelancar roket untuk terus memukau otak orang Melayu agar terus jumud dan beku.

  2. Penubuhan Puteri UMNO dengan pengkhususan kepada wanita Melayu di bawah 35 tahun adalah lagi satu taktik melecehkan kejatuhan UMNO dan pemenjaraan fizikal Mahathir dan kumpulan bajingannya.

  3. Majlis perbincangan perpaduan Melayu antara PAS dan UMNO. Kita tidak mahu komen pendirian peribadi mengenai hal ini atas dasar menghormati pemimpin Melayu parti pembangkang. Mereka tentu ada strategi dan muslihat sendiri untuk menghenyak Mahathir akhirnya. Lagipun bermuzakarah adalah satu tuntutan dalam Islam sebelum diistiharkan sesuatu peperangan. Cuma saya berani merakamkan di sini bahawa ajakan untuk PAS berunding itu adalah satu muslihat untuk menyelamatkan martabat Pergerakan Pemuda UMNO yang diarahkan membatalkan projek berdebat di antara Hishamuddin Husin dengan Mahfuz Omar. Kita mesti ingat, Hisham mula-mula sekali bersuara lantang mengenai perdebatan itu ketika dia diwawancara oleh CNBC, bukannya oleh TV3. Apakah yang tidak boleh diperdebatkan oleh Hisham dan Mahfuz sehinggakan kedua-dua parti memerlukan penubuhan satu jawatankuasa khas di kedua pihak sebelum Mahathir bersua muka secara formal dengan Fadhil Nor?

  4. Tindakan Kementerian Pendidikan mengarahkan agar guru-guru dan pegawai pendidikan yang masih belum mengisytiharkan harta akan dikenakan tindakan disiplin. Kenapakah begitu mencemaskan tindakan itu? Apakah Mahathir dan anak-anaknya sudah mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat jelata?



Siapa Pegang Kuasa Veto?

Mahathir dan pemimpin UMNO yang masih tidak sedarkan diri mereka masih berfikir mereka mahu terus menongkat langit. Tetapi, mereka lupa siapa yang memegang kuasa veto dalam kehidupan umat manusia. Cuba fikirkan beberapa perkara di bawah ini:

- Kes Perwaja Akan Dipercepatkan

Sekali pandang kita mudah merasa lega kerana Mahathir sudah berkata bahawa kerajaan Switzerland sedang membantu mendedahkan butir-butir lanjut yang ada disimpan dalam sistem perbankan di Switzerland. Sebaik sahaja cerita itu tercetus, Clinton sedang menghadapi masalah kerana mengampunkan Mark Rich, seorang rakyat Amerika yang lari menyorok di Switzerland kerana kerja-kerja menyalahi hukum cukai dan perbankan di Amerika. Secara peribadi saya diberitahu bahawa Mark Rich menetap di Zud, Switzerland lebih satu dekad yang lalu. Dia berkereta besar laksana seorang sultan di Tanah Melayu. Keselamatannya diawasi oleh pengawal peribadi. Zug adalah satu tempat yang indah dan lapang di mana Magaret Thatcher amat gemar menghabiskan cutinya. Memang indah tempat itu kepada mereka yang pernah bercuti di situ.

Marc Rich tidak pernah takut akan dipulangkan ke Amerika kerana mengikut sistem perlembagaan Switzerland, kerja-kerja menerima komisen ataupun membalon harta rakyat marhaen sesuatu negara melalui tipu muslihat berniaga tidak dianggap satu dosa di Switzerland. Itu sebabnya sehingga kini, harta Marcos masih kukuh tersimpan di sana. Harta kumpulan Subandrio mungkin sudah mencecah lebih sepuluh bilion dollar setelah diambil kira faedahnya selama ini. Kalau Jeneral Doe, Mobotu, Siad Barri, Jaffar Nameiri mati tanpa sempat mengeluarkan wang simpanan mereka di Switzerland, janganlah diharapkan kita rakyat marhaen di Malaysia ini dapat maklumat mengenai wang dan dana Perwaja Steel yang disimpan di sana.

Bagaimanakah BPR mahu memeriksanya sedangkan wang yang disimpan itu dibuka dengan bernombor sahaja? Membuka akaun di Switzerland bukannya serupa dengan membuka akaun di Malaysia. Kita boleh membuka satu akaun di Switzerland tanpa perlu pergi ke sana. Kerja-kerja membuka akaun dibuat oleh institusi kewangan yang berlesen, yang ditauliahkan oleh bank Switzerland di seluruh dunia. Cukup dengan menggunakan nombor rahsia sahaja. Si pembuka akaun boleh membukanya atas nama 'Mamak-Tongkang', 'Mamak Malbari', 'Benggali-Roti' dan 'Apalagi?' Kemudian, bila mahu mengeluarkan wang itu yang diperlukan ialah tandangan si penyimpan wang itu. Kita boleh sain dalam ejaan jawi, Tamil, Hindi, Parsi dan sesuka hati asalkan tandatangan asal itu serupa dengan tandatangan yang terbaru itu. Kalau kerajaan Amerika tidak mampu mendapatkan ihsan kerajaan Switzerland untuk membawa balik Marc Rich, apa sangatlah yang ada pada akaun Perwaja yang disonglap di sana? Apa sangatlah kuasa yang ada pada institusi Malaysia untuk menyelidik wang simpanan sukusakat Eric Chia? Bagaimana pula kisah wang simpanan para bajingan episod Carrian di Hongkong dulu? Apakah sudah selesai kajian dan kita dapatkan balik harta karun mereka semua? Dengan hal demikian, eloklah hentikan sahaja segala angan-angan bahawa kisah Perwaja boleh diselesaikan selagi Mahathir bernyawa.

- Penyelewengan Tabung Haji

Saya ingin rakamkan apa yang disiarkan oleh Berita Harian secara terperinci mengenai isntitusi ini di bawah tajuk 'Tabung Haji Perlu Kaji Semula Pelaburan.' Alhamdullilah, selama lebih dua tahun saya menulis secara berkias mengenai hal ini, kini ia menjadi satu perbincangan terbuka. Lapuran ini dibuat oleh Karim Sulaiman. Kita ambil yang perlu sahaja:



Kuala Lumpur, Rabu (Februari 15,2001)

Lembaga Tabung Haji (TH) digesa mengkaji semula pelaburannya, terutama projek yang tidak berdaya maju, bagi mengelak kerugian berterusan sehingga terpaksa membayar dividen rendah penyimpannya. Beberapa pelaburan yang dijalankan TH sekarang didakwa bukan saja tidak menguntungkan, malah agensi itu terpaksa memberi sabsidi bagi meneruskan projek terbabit. Tabung Haji mengisytiharkan dividen 5.5 peratus kepada 4,032,829 pendepositnya bagi tahun lalu, berbanding sekitar lapan peratus sebelumnya. Malah, TH terpaksa menjual sahamnya dalam Nestle untuk dibeli semula oleh anak syarikatnya bagi membayar dividen 8 peratus pada 1998. Sumber-sumber memberitahu Berita Harian, pelaburan yang rugi, jika dibiarkan berterusan, akan memberi kesan terhadap pendeposit Tabung Haji kerana kos pelaburan adalah daripada wang simpanan mereka.

(Kita tebuk lagi!)

"TH menandatangani perjanjian usaha sama dengan syarikat Indonesia, PT Multigambut pada 1995, bagi memajukan tanah seluas 83,622 hektar dengan tanaman kelapa sawit beserta kilang di kawasan itu. Ini bermakna kos keseluruhan ialah RM2.25 bilion (RM27,000x 83622). Kos taksiran pengeluaran bagi setiap tan minyak sawit mentah di ladang PT Multigambut tidak kurang dari RM1000.

Harga minyak mentah sekarang ialah sekitar RM850, bererti TH memberi sabsidi RM150 setiap tan. Kerugian akan terus ditanggung selagi harga tidak melebehi RM1,000."



Cukup dulu ciplakan lapuran itu yang kita puji kerana ada angkanya sekali. Tetapi, ada beberapa unsur 'investigative reporting' yang tidak ketara dalam lapuran itu. Pertama, siapakah yang mempunyai saham dalam PT Multigambut hingga mempunyai saham setakat 30%? Bagaimanakah saham itu dikeluarkan? Apakah segala pembelian itu dibuat secara terus ataupun melalui agen komisen yang menghuni di Malaysia? Bagaimana kisah ladang itu yang sudah diambil secara rampasan oleh penduduk tempatan yang menganggap ladang itu hak mereka turun temurun yang diambil oleh regim Suharto?

Soalan kita yang baru ini mencetuskan satu kesangsian kenapa tiba-tiba TH mendedahkan kepincangan pengurusan mereka? Bukankah selama ini pengerusi TH merupakan rakan sekolah Mahathir ataupun iparnya? Kalau mereka gagal menjalankan tugas bererti Mahathir bongok sangat kerana memilih mereka menguasai amanah rakyat? Terdapat lebih empat juta penyimpan di TH sedangkan jumlah ahli jemaah haji adalah sekitar satu persen jumlah penduduk di negara ini. Bererti, sejak TH ditubuhkan belum pun sampai satu pertiga penyumbang yang menggunakan hak untuk mengerjakan haji. Ini bererti, simpanan mereka sudah disalahgunakan atas nama tanah suci? Saya menjangkakan tidak lama lagi akan muncul banyak berita buruk mengenai Tabung Haji. Berita pojok di Berita Harian adalah satu awalan untuk menyediakan minda orang Melayu menerima berita buruk itu. Sekaligus ia akan dijadikan satu pelicin kepada berita buruk mengenai pelaburan PNB, Guthrie, Amanah Saham Johor dan sebagainya yang telah kerugian besar di Indonesia.


Satu 'benchmark' yang paling mudah untuk kita gunakan ialah melihat tahap kenaikan tahunan BSKL pada tahun sebelumnya. Kalau kenaikan itu mempunyai angka 'mean' sebanyak 38%, kenapakah TH mengeluarkan dividen sebanyak 5.5%? Setidak-tidaknya TH mampu memperolehi kadar keuntungan sekitar 19-20% kerana pembelian adalah berbentuk jangka panjang dan dengan modal yang besar. Apabila sasaran ini tidak tercapai, di sinilah letaknya kesilapan yang amat besar yang menggambarkan kepincangan urusan dan salahguna kuasa mungkin untuk membantu para kroni yang sedang nazak perniagaannya.


Sepatutnya, para penyimpan di TH sudah lama bersatu meminta ditubuhkan satu suruhanjaya penyiasat untuk mengetahui keadaan sebenar pelaburan dan pengurusan TH itu. Dari siasatan itu kita dapat menilai apa juga yang terjadi kepada KWSP, dan agensi pelaburan orang Melayu yang lainnya. Selama ini kita membiarkan sahaja Mahathir memberikan penjelasan, tetapi dia ingat semua orang Melayu boleh dipukaunya untuk mengakui segala alasannya itu.

Secara kasar pelaburan TH di Indonesia jikalau tidak dilaksanakan boleh memberikan tabung dana sekitar RM1.12 bilion. Kalau dana sebanyak itu dicerna di negara sendiri yang memberi pulangan 10% (kerana KL Mutual Fund boleh mengisytihakan keuntungan lebih 30%) bererti setiap tahun sejak 1995 TH mampu mengumpulkan keuntungan bernilai RM100 juta. Wang keuntungan itu mampu memberikan biasiswa percuma ataupun pinjaman pelajaran tanpa faedah kepada setiap pelajar di negara ini tanpa mengira agama dan suku kaum mereka. Perkara ini amat mudah dipraktikkan kerana daripada 1995 hingga 1998, keluaran IPO boleh digunakan sebagai instrumen untuk TH melabur dengan keuntungan yang lebih besar dan berlipatkali ganda daripada pelaburan di Indonesia. Malahan, kalau TH melaburkan hanya RM100 juta darapada keuntungan yang kita bayangkan itu untuk memfaraidkannya kepada para pesawah padi dalam satu sistem pinjaman tidak berfaedah, seluruh industri penanaman padi dan pertanain di negara ini sudah bertukar rupa.


Jadi, siapakah yang bertindak bijak melaburkan wang rakyat marhaen dan calon-acalon bakal haji ke Indonesia? Apakah tujuan terselindung di sebalik agenda itu? Diktator Mahathir bin Mohammad harus bertanggungjawab keatas kepincangan pelaburan Tabung Haji ini. Sekaligus Hamid Osman pun terlibat sama. Soalnya sekarang, sehingga kini, saya sebagai penyimpan di tabung haji beserta anak dan cucu, masih tidak diberitahu sepenuhnya apakah jenis saham pegangan Tabung Haji. Kalau kita boleh tahu butir-butir itu, kita akan faham keadaan sebenar kewangan TH hari ini. Sepatutnya kisah yang didedahkan oleh BH mengenai TH itu sudah cukup dijadikan bukti untuk menjatuhkan kerajaan Mahathir sekarang ini. Pendedahan Ketua Audit Negara seperti yang dipetik oleh BH itu adalah satu pendedahan yang tidak lengkap kerana secara kebiasaannya banyak lagi cerita busuk yang tidak didedahkan.


Kalau sepuluh peratus daripada pelaburan TH yang mungkin telah dibayar kepada agen yang menguruskan urusan itu, bererti TH sudah mempunyai RM200 juta lebih untuk digunakan bagi kebajikan orang Melayu di luarbandar, kerana sebahagian besar penyumbang TH adalah orang luarbandar, walaupun yang memasukkan caruman sebenarnya adalah anak dan cucu di bandar-bandar. Seperti yang kita terjemahkan mengenai perjalanan IBRA di Indonesia, penjualan ladang kelapa sawit dilakukan kepada institusi di Malaysia selepas ekonomi Indonesia merudum. Ini bererti pelaburan TH di Indonesia kini bersifat satu pelaburan yang bernilai hanya sekitar 30 persen daripada nilai pelaburan yang asal. Taksiran andaian ini berasaskan kepada penurunan nilai matawang Rupiah yang jatuh ke tahap lebih daripada 66% ketika itu dan kalau diambil pula kadar jualan paksa (Force-sales-value) terhadap hartanah mengikut amalan biasa. Ini bererti, daripada 2.2 bilion pelaburan TH di ladang kelapa sawit di Indonesia nilai sebenar pelaburan itu sudah pun turun kepada hanya RM 600 sahaja? Apakah maknanya semua ini kepada orang kampung yang menabung selama ini sejak mereka muda untuk mengerjakan fardu haji ? Inikah penyebab utama kenapa harga tambang dan kos ke tanah suci semakin naik meninggi?

Namun, semua ini adalah seperti apa yang disebut oleh orang barat sebagai 'The tip of the iceberg' bererti hanya kemuncak gunung airbatu. Ia membawa makna sekitar 10 persen apa yang sebenarnya terjadi; yang diketahui umum. Rakyat Malaysia terpaksa terus mencari sebahagian 90 persen yang masih berbaki itu untuk mengetahui cerita sebenarnya. Fenomena inilah yang membuatkan Diktator Mahathir melakukan sandiwara demi sandiwara, dan lakonan demi lakonan; kerana mahu memberikan perubahan kepada skrip yang selebar 10 persen itu, agar rakyat marhaen terus terpesona sehingga naik malas mengetahui cerita sebenarnya.

Seperti yang kita katakan di awal tadi, setiap sandiwara mesti ada pentasnya. Mesti ada irama iringannya dan mesti ada mainan lampunya. Mahathir amat tahu semua kepentingan ini kerana beliau adalah sebaik-baik sutradara pentas politik dalam setiap sandiwara itu. Dalam hal ini kalau dibuat perbandingan, Ibrahim Ali masih layak memegang tombak sebagai 'pak pacak' sahaja. Memang, Mahathir merupakan pelakon terhebat dalam sejarah Melayu kerana mampu menangis bila dia mahu dan menjelirkan lidahnya bila perlu. Inilah yang membuat rakyat Malaysia menjadi kematu dan orang melayu terus terpaku kerana kepintaran lakonannya itu.

Seperti juga mainan sandiwara, pelakon yang paling handal pun terpaksa mengikut rentak irama dan prop serta lampu yang dimainkan ketika persembahan lakonannya itu. Pincang semua kelengkapan itu akan pincanglah persembahan lakonannnya. Apatahlagi kalau dia berlakon itu hanya di satu pentas sahaja kerana pentas yang lain sudah tidak lagi mampu menarik penonton untuk menyaksikan lakonannya yang sudah basi dan meloyakan itu.


-marhaintua-
Februari 15,2001.



Status: 302 Found Location: /bin/error?error=Your%20script%20produced%20this%20error%3A%20%3Cbr%3E%27chmod%27%20trapped%20by%20operation%20mask%20at%20%2Fm%2FKM2%2Fidx%2Ffdb.pl%20line%20129.%3Cbr%3ECompilation%20failed%20in%20require%20at%20%2Fm%2FKM2%2Fidx%2Ffz.cgi%20line%20340.%3Cbr%3ECompilation%20failed%20in%20require%20at%20forum.cgi%20line%2020. URI: /bin/error?error=Your%20script%20produced%20this%20error%3A%20%3Cbr%3E%27chmod%27%20trapped%20by%20operation%20mask%20at%20%2Fm%2FKM2%2Fidx%2Ffdb.pl%20line%20129.%3Cbr%3ECompilation%20failed%20in%20require%20at%20%2Fm%2FKM2%2Fidx%2Ffz.cgi%20line%20340.%3Cbr%3ECompilation%20failed%20in%20require%20at%20forum.cgi%20line%2020. Content-type: text/html