Laman Webantu   KM2A1: 3505 File Size: 34.1 Kb *



Siri 32 YTDT: Bila Takbir Datang Bergema
By Marhain Tua

2/1/2001 1:25 am Tue

Siri YTDT: Yang Terbang Dan Terbengkalai Bab: 32

[Prestasi kroni dan Mahathir sendiri pada tahun 2000 ini telah merosot dengan begitu teruk sekali. Sandiwara beliau tidak berakhir dengan ketawa lagi kerana Lunas sudah mengakhiri senyum beliau awal-awal lagi. Dia semakin muram lagi bila abangnya sendiri meninggalkannya buat selama-lamanya.

Kini pasaran saham yang dijangka mencecah 1000 mata rupa-rupanya menjunam di bawah paras 700 mata pada hujung Disember ini. Sebelum itu Tajuddin Ramli terpaksa diselamatkan dengan tawaran saham lebih dua kali ganda manakala Halim Saad sudah beroleh sesuatu sebelum tahun baru. Tentu kita tidak lupa penyerahan Putra Jaya secara tergesa-gesa untuk diratah oleh anak-anaknya. Seperti biasa Mahathir tidak akan menyalahkan suku-sakatnya bila ekonomi negara musnah dan punah ranah. Dia akan terus membebel lagi dan lagi tetapi kebangkitan rakyat sudah tidak dapat dibendung dengan pelbagai perutusan itu ini.

Kini semua pelabur luar dan rakyat marhaen sendiri, tidak kira apa kaum mereka sudah tidak tahan lagi. Apabila rakyat bangkit semua polis dan mereka yang mendekati Mahathir akan mula meminggirkan diri mereka kerana arus itu akan menumbangkan dan membicarakan sesiapa sahaja yang bersekongkol dengannya. Yang menarik ia berlaku menyusuri hari lebaran kerana orang yang senang berhutang akan senang juga untuk tumbang. - Editor ]




YANG TERBANG DAN TERBENGKALAI

BAB 32 : BILA TAKBIR DATANG BERGEMA




BILA TAKBIR DATANG BERGEMA

Penangkapan YB Azmin Ali dan juga Ketua Pemuda Keadilan, Ezam selepas mengerjakan umrah, bukannya sesuatu yang memeranjatkan. Azmin pernah menjadi pengarah pilihanraya di Lunas dan Ezam turut membantunya. Kalau Hj. Roslan Kassim, Tian Chua dan N. Gobalakrishnan boleh ditangkap untuk dilokap dulu sebelum dihadapkan ke mahkamah takkan Azmin dan Ezam boleh terlepas begitu sahaja. Cuma, waktu penangkapan itu dibuat melanggar etika politik kerana mereka hanya dituduh melakukan rusuhan dan belum didapati bersalah oleh mahkamah.

Inilah yang saya katakan dulu, betapa manusia sudah dirobotkan oleh Mahathir. Setiap pegawai tinggi kerajaan dan juga wakil rakyat yang beragama Islam mendahului jawatan mereka dengan mengangkat sumpah setia dengan bermulakan ungkapan "Dengan nama Allah" Tetapi, apabila diarahkan menangkap Azmin dan Ezam mereka lupa bahawa keesokan harinya ialah Hari Raya Aidilfithri. Siapa sangka batasan keceriaan Azmin dan Ezam itu ialah di dalam lokap? Apabila manusia dirobotkan semacam ini, apakah orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia amnya masih menaruh kesetiaan kepada Mahathir dan kerajaannya? Bukankah Mahathir itu seorang wakil rakyat?

Saya fikir penangkapan itu adalah berbentuk serampang tiga mata: Satu untuk memalukan Azmin dan Ezam serta menakutkan rakyat. Kedua, untuk memperkuatkan inti pati ucapan Mahathir pada hari Krismas kelmarin. Ketiga ia ada unsur-unsur mempergiatkan kemarahan rakyat terhadap Paklah, yang kini dianggap sebagai duri dalam daging perancangan Mahathir untuk terus berkuasa. Paklah harus menyedari perkara ini sebagai satu rencana licik untuk melunturkan apa juga bentuk populariti yang ada padanya di kalangan rakyat jelata.

Kerja-kerja merobotkan manusia memang sudah menjadi satu taktik Mahathir yang amat licik. Masih ingatkah kita betapa kes Al-Maunah mula dilancarkan? Bukankah ketika itu Majlis Raja-Raja bersidang di Ipoh, Perak? Apakah berita hangat ketika itu kalau bukan menuduh Al Maunah mahu menyerang Ipoh untuk menculik raja-raja? Tetapi apakah kesudahannya? Mereka berpecah sehingga tiba di ibukota untuk mengebom kilang arak dan sebuah kuil Hindu, kononnya.



Hari Raya Yang Paling Malap

Seperti yang saya tulis kelmarin, sambutan lebaran kali ini adalah satu sambutan yang malap dan semakin berkurangan serinya. Ramai orang Melayu yang tidak pulang ke kampung ataupun pergi ke mana-mana kerana mahu menjimatkan belanja. Di bandar-bandar, ramai orang Melayu memilih sambutan yang sederhana kerana memberi kepentingan kepada perbelanjaan sekolah anak-anak. Mereka yang bekerja di kilang-kilang, sudah semakin tertekan memikirkan kurangnya pendapatan kerja lebih masa (overtime). Lagipun, wang untuk berbelanja di perjalanan itu lebih baik dikirimkan sahaja untuk kegunaan saudara-mara yang lebih memerlukannya.

Di kawasan luar bandar terutama sekali di rancangan tanah, suasana lebaran memang tidak seperti dulu lagi. Maklumlah harga komoditi sudah turun menjunam untuk menyenakkan para peneroka. Tetapi, apakah yang ditulis oleh The Straits Times pada hari ini di muka surat 2 di bawah ruang News Analysis :



Iktibar Daripada Masalah Yang Dihadapi Peserta Felda
"Lesson To Be Learnt From Financial Predicament Of Felda Settlers"


"Ketika menemani Dr. Ling Liong Sik, menteri pengangkutan melawat Pelabuhan Kuantan pada Disember 2 dulu, pengarah jabatan pengangkutan, Datuk Ali Ahmad, telah didengar berkata betapa dia tidak fikir pegawainya akan menghadapi tugas yang mencabar ketika cuti Hari Raya nanti. Dia berpendapat, jalanraya negeri tidak akan sesak seperti dulu kerana ramai warga Felda yang merupakan satu pertiga daripada penduduk negeri itu tidak akan terlibat dengan kegiatan dan budaya mudik (budaya balik kampung) di hari lebaran itu.

"Keadaan memang menyiksa mereka, terutama sekali disebabkan harga minyak sawit dan getah. Lebaran yang disusul oleh pembukaan sekolah menyebabkan para peserta berjimat di hari lebaran. Para peniaga di gerai Jalan Mahkota, Kuantan memang mengeluh betapa bezanya sambutan hari raya tahun ini. Di tahun yang lepas-lepas para peserta Felda membanjiri gerai mereka berbondong-bondong untuk membeli jualan yang berkualiti dan berharga patut.

"Ah Chin peniaga pakaian yang sudah terpakai, menyatakan bisnes sungguh teruk kali ini. Peserta Felda di sekitar Kuantan adalah pelanggan kami yang penting. Perniagan kami pun turut terjejas disebabkan penderitaan mereka.

"Inilah gambaran keadaan rancangan Felda kali ini. Memang amat suram keadaan sambutan hari raya mereka itu. Tetapi, mereka harus menyalahkan diri sendiri. Mereka tidak sepatutnya menjadi begini kalau mereka tahu berjimat di masa yang lalu.

"Ketika ekonomi merudum pada 1998, kebanyakan golongan masyarakat dihimpit kegawatan dan merintih untuk terus hidup. Para peneroka menerima durian runtuh disebabkan harga komoditi yang melambung tinggi dan kerajaan pula mengenakan kawalan kewangan yang berpilih-pilih. Kawalan terhadap tukaran matawang telah melonjakkan harga sawit daripada RM300 dan RM350 pada satu tan. Malahan pada satu ketika harga mencecah paras RM400. Ketika itu para peneroka dilapurkan menerima pendapatan sebanyak RM3,000 dan RM4,000 per bulan. Tetapi ramai yang lupa betapa harga minyak sawit memang tidak menentu. Kalaulah para peserta berjimat ketika itu, mereka tentu tidak terhenyak seperti kini. Tetapi ada juga peserta yang beringat dan tidak pun terjejas ketika ini.

"Para peserta Felcra yang menerima dividen Hari Raya berjumlah RM108 juta ke semuanya daripada Felcra Bhd. harus mengambil iktibar daripada pengalaman rakan mereka di Felda. Pengurus kumpulan Felcra (estet dan industri) telah memberi amaran bahawa harga minyak sawit tidak akan berubah untuk naik sehinggalah di bahagian kedua tahun hadapan. Ini akan menjejaskan keupayaan Felcra membayar dividen kepada para peserta yang menyertai skim tersebut pada tahun ini. Dia menjangkakan harga minyak sawit yang berlegar di antara RM80 hingga RM110 per ton akan berterusan hingga tahun hadapan.

"Ibrahim berkata, pada tahun ini Felcra berjaya mengeluarkan dividen itu kepada 54,000 peserta kerana harga sawit tahun 1998 yang tinggi di antara RM300 hingga RM350 per ton. "Kita ada wang berlebihan" katanya sambil menyerahkan dividen 1999 sebanyak RM 27 juta kepada wakil peserta FELCRA di Pahang. Jumlah yang diterma oleh setiap peserta bergantung kepada luas tanaman ataupun jumlah saham mereka."


Kalau peserta FELDA merupakan satu pertiga penduduk Pahang, kita juga boleh buat andaian bahawa satu pertiga umat Islam dan bangsa Melayu di negara ini sedang dihenyak kemiskinan. Ini bererti, ekonomi orang Melayu sedang tergugat amat kuat kerana masyarakat Melayu di luar bandar adalah merupakan pusat yang menyediakan sumber tenaga 'buruh kasar' dan juga sumber calon pelajar di institusi pengajian tinggi, sejak bertahun lamanya. Kegawatan ekonomi peserta Felda merupakan kegawatan ekonomi orang Melayu pada keseluruhannya. Sekaligus ini merupakan tamparan yang paling hebat terhadap kepimpinan Mahathir menerajui negara, kerana dia telah lama berjanji untuk melepaskan jawatannya "sebaik sahaja ekonomi negara kembali pulih."



Kepincangan Mahathir Memimpin Negara Di Alaf Baru

Kita selalu berkata: Mahathir boleh merancang apa sahaja di negara ini, kuasa veto tetap berada pada Allah swt. Kita juga selalu berkata: Malaysia akan terus mencungap selagi Mahathir tidak sedar dan masih rakus mahu mengekalkan kuasanya. Apa yang berlaku kepada ekonomi Malaysia kali ini adalah gambaran betapa Mahthir sudah terlalu lama melampaui tarikh pupus kepimpinannya.

Azran Aiz yang menulis artikel mengenai Felda di atas harus sedar akan beberapa perkara penting, sebelum dia memutarkan minda pembaca tulisannya di lain kali:



  1. Durian runtuh yang dinikmati oleh peserta Felda pada tahun 1998 bukan dinikmati oleh semua peserta Felda. Ia hanya dinikmati oleh peserta yang mempunyai ladang yang mengeluarkan hasil. Ramai peserta ketika itu tidak pun merasakan 'durian runtuh' itu kerana ladang mereka baru ditanam semula. Ramai juga yang sedang menggila ketika itu kerana ladang mereka sudah dibeli oleh pemaju perumahan dengan membayar wang pendahuluan. Ketika itu mereka yang menerima pendahuluan ataupun mereka yang sudah pun menjual ladang mereka memanglah berlagak sakan. Ada yang beristeri baru dan ada pula yang bercakaran sehingga si isteri menggunting-gunting wang sekarung menjadi 'bunga rampai'.

  2. Ketika peserta yang menerima durian runtuh itu mereka terpaksa membantu ahli keluarga yang menjadi peserta ladang yang baru ditanam semula. Itulah budaya perserta sejak dulu lagi, saling bantu-membantu. Ramai yang menyimpan di ASN dan di Tabung Haji untuk dijadikan bekalan hari tua ataupun perbelanjaan anak-anak yang bersekolah. Ramai yang membeli ASJ tetapi mengeluh kini kerana harganya yang sudah lama merudum.

  3. Kerajaan pimpinan Mahathir tidak berapa menggalakkan peserta memeram wang, kerana mahukan mereka berbelanja sakan untuk menggerakkan aktibiti ekonomi negara yang amat memerlukannya, ketika itu.

  4. Disebabkan kerakusan kerajaan, makanya para pemikir dan peneraju masyarakat Felda tidak mampu melakar satu skim di mana wang berlebihan peserta Felda ketika itu digembelingkan untuk rencana yang lebih baik lagi. Bahananya, semakin peserta di Rancangan Bukit Goh dan persekitarannya yang tersepit dalam kancah dadah. Malahan, kalau kita mahu cerita masalah peneroka Felda itu mungkin kita akan memerlukan ruang yang panjang. Memadailah kalau kita catatkan di sini masalah sosial dunia Felda akan terus membara seperti yang berlaku ketika ramai kaum wanitanya yang bekerja di Singapura satu ketika dulu yang berakhir dengan perceraian yang tinggi. Ini disebabkan terlalu ramai yang bekerja di kilang di siang hari dan menjadi 'rama-rama' di sebelah malam. Perkara ini amat difahami oleh orang UMNO tetapi tidak mampu memperbaikkinya sehinggalah ramai masyarakat Felda menubuhkan cawangan PAS di kawasan mereka.

  5. Kini warga wanita Felda sudah kurang bekerja di Singapura kerana beralih kerja di kilang-kilang di kawasan perindustrian dalam negara. Masalah sosial yang sama masih berkekalan dan kecanggihan IT terutama sekali kemudahan telefon bimbit memudahkan kegiatan malam itu sebagai membantu pendapatan kerja di kilang-kilang. Kesannya, masalah sosial warga peneroka rancangan tanah masih lagi di takuk lama.


Pada tahun 1974 hingga 1977 (tiga tahun lamanya) saya dan beberapa teman professional menulis beberapa artikel kepada kerajaan menyatakan masalah sosial ini sebagai 'bom jangka' yang akan menghenyak masyarakat Melayu dan juga warga luar bandar. Saya ada menyebut betapa perlunya kerajaan membangunkan bandar di dalam kawasan Felda dan bukannya di pinggir kawasannya. Kami telah menyarankan agar kajian menyeluruh dilaksanakan untuk mengkaji kepentingan menubuhkan industri kecil dan sederhana dalam 'rancangan' bukannya di pinggirnya. Semua cadangan itu ditolak tepi kerana orang politik tidak nampak peluang untuk membalun wang rakyat kalau rencana seperti itu dilaksanakan.

Oleh kerana sebahagian besar tulisan itu dibaca dan diglamorkan oleh kebanyakan wakil rakyat yang membentangnya, cadangan saya itu dibincangkan dengan hangatnya. Tetapi, apabila selesai kongres dan persidangan ekonomi Melayu itu, semua cadangan itu diperam untuk ditelan zaman sahaja. Orang politik amat benci cadangan seperti itu kerana kepada mereka kalau ada perindustrian yang mahu dibuka ia mesti dibuka di mana orang Cina dan asing akan menerajuinya dan orang Melayu hanya menjadi kuli batak sahaja. Itu sebabnya apabila peneroka Felda menerima durian runtuh dulu, tidak banyak usaha kerajaan untuk membendung nafsu mereka dan dijadikan satu tabung dana yang dapat diperam (snowball) dan dibesarkan menjadi satu dana memerangi masalah orang Melayu. Bayangkan kalau lima puluh persen dana belebihan dulu itu diinstitusikan dan digunakan untuk membeli saham agihan IPO (initial Public Offerings - keluaran ulung), kesan skim itu sudah mampu menyediakan dana bernilai lebih satu bilion di hari ini. Tetapi wakil rakyat mana yang mahu mendengar cadangan seperti ini? Kalau cadangan itu dipraktikkan, tidak ada seorang pun peneroka Felda yang merempat di hari ini. Malahan, peneroka FELDA boleh merupakan pemegang saham terbesar dalam setiap institusi IPTS (instiitiut Pengajian Tinggi Swasta) di hari ini kalau tanah 'tersepit' di pinggir gagasan FELDA dijadikan tapak penubuhan IPTS dan setiap koperasi FELDA diberikan keutamaan memegang sehingga 50% saham lembaga IPTS yang diwujudkan itu. Bayangkan berapa ramai anak Melayu yang akan tergolong sebagai cerdik pandai? Bayangkan kejituan idea ini jika dibandingkan dengan kemegahan yang dapat dirasakan daripada pemergian seorang anak Melayu mengelilingi dunia dengan kapal layar, ataupun sekumpulan Melayu terjun bebas di Khutub Utara dengan sebuah kereta Wira.


Kini, ramai peserta yang sudah tua-tua dan tidak mampu menoreh lagi ataupun mengait tandan. Kerja-kerja ladang sudah dipawahkan kepada orang yang mendatang. Ada yang masuk secara sah dan ada yang masuk secara tanpa izin. Pendapatan rendah tidak memungkinkan tuanpunya tanah menerima sebarang pendapatan untuk dirinya lagi. Cuma sain buku pendapatan setiap bulan. Kalau ada pendapatan pun ia perlu diberikan kepada pekerja yang menguruskan ladang. Yang paling menyedihkan semakin ramai peneroka Felda yang telah menggadaikan tanah mereka kepada orang luar. Inilah yang saya sebut sebagai sebahagian 'time bomb' (bom jangka) yang kini meledak dalam masyarakat FELDA.

Kerajaan pimpinan Mahathir memang bersalah dalam perkara ini. Mereka hanya memandang masyarakat FELDA itu sebagai sumber undi mudah untuk pemimpin UMNO. Inilah juga anggapan MIC terhadap pekerja kaum India di estet.


Kegawatan Ekonomi yang melanda negara adalah kesan perancangan pembangunan negara yang gila dan menggilakan. Apabila kegilaan ini disalut dengan segala tipu muslihat dan pembohongan besar untuk menjolok naik sekumpulan kroni, anak-anak dan suku-sakat agar menjadi kumpulan yang kaya-raya dan rakus-menikus, bahanaya kini mesti ditanggung oleh rakyat jelata. Dr. Mahathir dan para kroninya tidak akan mengaku bahawa kali ini negara gawat kerana kesalahan perancangan mentadbir dan bukan disebabkan keadaan ekonomi negara luar yang menggugat. Saya ingin merakamkan satu ucapan Mahthir kira-kira lapan bulan yang lalu, untuk renongan kita bersama:


Cubaan Sabotaj Ekonomi Bumiputra - Mahathir Mohamad 21/4/00


Berita Harian terbitan 21.4.00 ada memaparkan pojok di atas:

"Kuala Lumpur. Khamis: Dauk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan, orang asing yang kecewa kerana tidak dapat mengambil alih syarikat dan bank Malaysia ketika kegawatan ekonomi akan berusaha menggagalkan pemulihan ekonomi Bumiputra. Perdana Menteri berkata, kecenderungan orang asing melabelkan sebarang pemulihan sebagai tindakan menyelamat, jelas menunjukkan mereka ingin melihat semua syarikat Bumiputera, kecil dan besar, berkubur.

"Malah orang asing juga ingin menggagalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana mereka melihatnya sebagai penghalang kepada peluang mereka untuk menguasai ekonomi negara ini. Dr. Mahathir berkata, walaupun mereka akan menyangkal dakwaan itu, semua bukti menunjukkan di mana-mana mereka berjaya mencetuskan kegawatan dan melemahkan negara, mereka dapat membeli bank dan perusahaan pada harga murah kerana Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) memaksa pembukaan ekonomi 100 peratus sebagai syarat memberi pinjaman kepada negara bermasalah.

"Sementara mereka mengecam apa yang diiktiraf sebagai 'bail-out' oleh kerajaan di negara kita, tanpa segan silu mereka mengadakan 'bail-out' untuk syarikat mereka," katanya ketika melancarkan Minggu Saham Amanah Malaysia dan Skim Amanah Saham Malaysia di Pusat Dagangan dunia Putra (PWTC) di sini.

Dr. Mahathir berkata, majoriti rakyat Malaysia tidak menyedari kegawatan dan bahaya besar yang baru dilalui kerana kerajaan berjaya menangkis serangan terhadap ekonomi dan politik sehingga kesannya tidak begitu dirasai.

"Jika rakyat tidak memahami cara serangan ini dan tidak menyusun barisan pertahanan, besar kemungkinan negara akan tertewas dan dikuasai penjajah jenis moden ini. Orang asing sedang mengumpulkan bala tentera mereka melalui penyatuan syarikat gergasi mereka yang menjadi begitu besar sehingga boleh meranapkan syarikat dan bank tempatan apabila mereka dapat menembusi sempadan negara dalam proses globalisasi," katanya. Pada masa yang sama, dagangan moden melalui syarikat dotcom, akan menjadikan kebanyakan syarikat tempatan tidak berperanan dengan cara syarikat dotcom menjual terus kepada pembeli di negara ini.

"Kerajaan bukan sahaja akan kehilangan cukai import tetapi juga cukai korporat kerana syarikat tempatan tidak berniaga lagi. Peluang pekerjaan akan hilang. Walaupun harga barangan impot lebih murah, penganggur tidak akan mempunyai wang untuk membelinya," katanya sambil mengajak rakyat bersama-sama mengukuhkan ekonomi negara.

"Perdana menteri berkata, DEB mesti dilaksanakan dengan bijak supaya tidak ada sesiapa yang berasa mereka tidak mendapat bahagian. Pada masa yang sama, kecekapan Bumiputra dalam bidang perniagaan dan pengurusan perlu ditingkatkan.

"Sebenarnya kejayaan dalam bidang perniagaan bergantung kepada disiplin dan kesanggupan mengamalkan cara pengurusan yang dikenali sebagai pengalaman cara-cara terbaik. Beliau berharap satu hari nanti Bumiputra tidak perlu bergantung kepada saham amanah untuk pengagihan ekonomi. Matlamat itu boleh dilihat dalam jangka masa singkat dengan usaha gigih dan keyakinan akan kebolehan sendiri.

"Sebenarnya amatlah memalukan apabila kita perlu perlindungan di negara kita sendiri. Orang ramai harus mengambil kesempatan daripada minggu amanah saham ini untuk meningkatkan pengetahuan mengenai saham serta selok-belok perniagaan dan pengurusan."



Demikianlah yang diucapkan oleh Mahathir satu minggu selepas perisitwa Gelita 14. Untuk melihat keadaan ekonomi negara setakat ini cuba perhatikan angka yang dirakamkan oleh BSKL pada dua tarikh yang berbeza.












Indeks Pada: 23 Mach, 1996 21 April, 2000 26 Disember 2000
Emas 321.75 231.03 159.77
Komposit 1150.65 895.27 679.64
Perusahaan 2043.72 1536.45 1217.28
Con. Prd. 222.00 - 146.58
Ind Prd 168.39 - 65.35
Constr. 457.39 - 156.26
Trd. Srv. 186.44 - 103.32
Finance 8642.62 - 5070.62
Properties 2375.09 - 632.54
Plantn. 2657.37 - 1361.59
Mining 478.45 - 193.38
Papan Kd. 439.19 252.84 131.71



Satu ketika dulu Mahathir meramalkan Komposit Indeks BSKL akan ditutup di akhir tahun di antara 800 hingga 1000 mata. Sekarang macam mana? Apa pula kata Daim dan Rafidah dan Mustapha Yakob? Apa pula kata Nordin Sofee, Zainuddin Mamak Maidin, Dolah Komunis dan Yahaya Ismail? Apakah BSKL tidak disintuk-limau secukupnya untuk menghadapi millineum yang baru?

Kalau dilihat angka-angka di atas kita boleh buat bermacam andaian untuk menilai keadaan BSKL dan keadaan ekonomi negara. Oleh kerana kebanyakan penggerak ekonomi itu adalah syarikat yang tersenarai di BSKL, kita boleh buat bayangkan betapa ekonomi akan merudum lagi. Sayang, catatan kita pada 21 April 2000 kurang lengkap kerana masalah teknikal, tetapi ia memberikan kita satu gambaran betapa Mahathir tidak memahami keadaan ekonomi negara yang sebenar ataupun memang sudah tidak peduli sangat akan ekonomi negara kita itu. Di antara 23 Mach, 1996 hinggalah 26 Disember 2000 keadaan angka petunjuk di BSKl sudah menunjukkan penurunan yang hampir 50%. Ini bererti kecairan di BSKL sudah turun begitu jauh ke bawah diluar jangkaan kita. Selalunya apabila pasaran dana dan wang tunai menurun ia adalah pemangkin kepada merudumnya pasaran saham. Kerana itu kita tidak hairan kenapa peserta Felda tidak mampu senyum selalu masakini.


Sampai Bila Mahu Menipu?

Kini, Mahathir sedar betapa dia tidak berjaya menaikkan ekonomi negara seperti yang dijanjikannya. Dia akan terus mencungap laksana ikan yang hidup di air yang kotor dan kekurangan oksijen. Kita boleh nampak apakah yang menjadi fokus Mahathir masakini. Dia sedang memberikan fokus utama terhadap menyelamatkan segala perusahan para kroni yang sedng mencungap juga. Halim Saad dan Tajuddin Ramli sudah pun diselamatkan. Ting Tukang Batang Penyapu sudah pun diselamatkan juga. Tinggal Vincent Tan, dan beberapa nama kumpulan KEJAM yang masih dirancangnya.


Dalam dia merancang untuk terus membalun harta rakyat dan khazanah negara sambil menyelamatkan KEJAM itu, Mahathir terlupa masalah yang dihadapi oleh para pengundi yang menaikkan namanya selama ini di Kubang Pasu. Inilah kumpulan yang pernah kita tulis, secara berkias dalam "siri Lunas" baru-baru ini. Seperti juga penduduk FELDA, mereka yang menjadi petani dan pekerja kampung hidup tertekan juga. Kali ini mereka akan berpiket dan berdemo terhadap Mahathir dan Kerajaan Kedah di halaman mereka sendiri. Apakah Mahathir akan menggunakan FRU dan menggunakan belantan dan air asid terhadap golongan yang dianggap taat setia selama ini?

Apabila Rakyat Kedah Bangkit Menyanggah Mahathir

Kebangkitan orang Kubang Pasu ini memang sudah saya jangka akan berlaku juga. Tidak payah kita mengapi-apikan mereka lagi, kebangkitan rakyt di Lunas sudah menjadi penggeraknya. Mahathir dan Syed Razak akan terus tercungap lagi. Sayang, kebangkitan rakyat Kedah ini tidak dimulakan ketika Menteri Mat Jenin masih lagi berkuasa. Kalau tidak, alangkah elok kalau ada penunjuk perasaan wanita nanti yang menyiapkan lada pipisan untuknya?

Yang paling menyeronokkan, kebangkitan rakyat Kubang pasu ini ialah usaha mereka itu yang diatur oleh orang Kubang Pasu sahaja. Tidak perlu orang luar lagi. Tidak perlu dibawa penduduk luar dalam bas sebagai penyokong hantu. Yang lebih menarik sekali tunjuk perasaan itu nanti adalah dilakukan di halaman sendiri. Kita mahu lihat tergamakkah Mahathir mengarahkan polis bersikap ganas kepada pengundinya selama ini?

Menteri Besar Kedah sudah meminta agar para pengundi Kubang Pasu tidak melakukan demonstrasi itu kerana 'Bernas sudah pun menyelesaikan masalah yang berlaku.' Akhbar The New Straits Times bertarikh 27 Disember, 2000 ada melaporkan betapa risalah telah diedarkan meminta para petani berhimpun di hadapan Wisma Darulaman pada hari Jumaat dan Sabtu membantah penurunan harga padi. Cerita ini menunjukkan betapa orang Melayu sudah meluat dengan UMNO dan Mahathir. Kisah ini akan mengerakkan satu semangat protes kalangan para petani di negara ini dan kita boleh menjangkakan Mahathir akan mula dihantui satu gelombang reformasi rakyat yang pernah saya tulis satu ketika dulu. Inilah yang saya maksudkan sebagai pergerakan rakyat yang boleh disamakan dengan gerakan pekerja arang batu di Poland pada satu ketika dulu. Ironinya saya pernah membuat ramalan ini di dalam siri 'Suasana Lebaran Pencetus Minda' di bulan Syawal tahun yang lalu. Ia akan tercetus di hari lebaran juga, nampaknya.

Di zaman teknologi IT ini, sepatutnya para petani negara ini tidak perlu bersusah payah kalau ada tekanan harga terhadap hasil tani mereka. Sudah terlalu banyak negara barat yang mempunyai rencana stokpail keluaran hasil tani mereka untuk menyerap penurunan harga yang akan meranapkan taraf hidup mereka. Kerajaan menyerap hasil tani berlebihan itu tanpa menjejaskan harga pasaran. Stokpail itu diberikan sebagai 'grant' ataupun dalam bentuk pinjaman kepada negara dunia ketiga. Malangnya semua teknik dan taktik itu tidak pernah dilaksanakan di negara ini, kerana Mahathir hanya memimpin secara syok-syok sendiri.

Kerajaan Kedah umpamanya lebih berminat membuat muzium padi dan menganjurkan teknik menanam padi di atas bumbung daripada melakukan rencana terbaik untuk menampan penurunan harga hasil tani dan memajukan masyarakat petani di negara itu. Menteri Besar 'Mat Jenin' membina kilang sembelihan terbesar di dunia (selepas di Arab Saudi) tetapi tidak serius melancarkan ladang ternakan untuk menyediakan bahan sembelihan kilang itu. Dia lebih selesa menaja peraduan lembu cantik. Nasib baik tidak ditajanya peraduan mencabut janggut kambing dan mengukur panjanganya ekor lembu serta mengajak penganjur 'Malaysia Book Of Records' menyertainya.

Kini, Mahathir dan pemimpin UMNO harus sedar, gelombang yang dimulakan oleh rakyat marhaen adalah lebih berbisa daripada segala drama dan sandiwara yang ditaja oleh Mahathir seperti Al-Maunah, Episod Sipadan, Suqui dan GPMS serta Pemuda UMNO. Gelombang rakyat adalah laksana air yang pecah daripada ampangan. Ia bermula secara sedikit demi sedikit, tetapi impaknya akan menghancurkan ampangan itu akhirnya. Kalau pihak FRU dan Polis dilaksanakan seperti ampangan itu, kita menjangkakan pasukan itu pun akhirnya akan menyebelahi gelombang rakyat itu juga.

Sama ada petani Kedah akan berdemo esok hari atau pun tidak, adalah satu persoalan lain. Penyibaran risalah mengenainya seperti yang disebut oleh Menteri Besar Kedah adalah satu tanda bahawa rakyat marhaen sudah bangkit secara berpasukan. Satu ketika dulu rakyat ibukota bangkit untuk menyerahkan memorandum kepada YDP Agong, tetapi tidak ada pun kesannya kerana masyarakat Raja-Raja Melayu sudah menyimpang jauh daripada peranan mereka yang sebenar. Mereka lupa kebangkitan rakyat marhaen ketika British merancang Malayan Union dulu. Inilah golongan yang tidak tahu malu dan tidak mengenang jasa rakyatanya. Jika tidak, masakan ada cucu-cucu raja yang berkeliaran di Kelab Malam di bulan puasa?


Apabila Rakyat Marhaen Bangkit

Setahun yang lalu saya sudah menulis mengenai kebangkitan rakyat marhaen dan saya pernah berkata kalau gelombang tentangan rakyat meledak, tidak ada sesiapa yang mampu menahannya. Selama ini Mahahtir cuba memecah-belahkan semua kaum di negara ini. Kemudian diperibadikannya semua institusi kerajaan yang ada. Dia berjaya membuatkan pihak polis menjadi musuh rakyat kerana mahukan polis memihak kepadanya. Tetapi dia lupa polis adalah sebahagian rakyat juga.

Rakyat marhaen memang marah dengan pihak polis, Tetapi, sabar dulu!!! Polis Malaysia adalah warga negara Malaysia. Mereka adalah pasukan beruniform yang mengikut perintah. Kalau anda tidak mampu hidup di Kuala Lumpur ataupun bandar besar dengan gaji bersih (take home pay) sekitar RM500 apakah anda fikir anggota polis itu mampu hidup selesa? Kenapakah anggota polis menerima gaji yang rendah, seperti juga anggota bomba, kastam dan imigresen? Kerana itulah muslihat si diktator tua agar mereka ini menjadi satu golongan yang boleh dirobotkan. Lihat dulu kepada anggota polis di Lunas. Ramai pegawai kanan mereka yang terhimpit kerana menjalankan kerja yang mengikut peraturan. Ada pegawainya yang ditukarkan dengan notis 24 jam dan ada yang dihantar ke tempat yang menyukarkan hidup mereka. Semua itu gara-gara menjalankan tugas ketika bas pengangkut pengundi hantu datang membantu BN di Lunas.

Proses putaran minda pihak polis sudah berjalan lama di negara ini. Budaya korupsi seperti yang ditonjolkan oleh program TV mengenai peranan polis Amerika adalah salah satu caranya. Masyarakat diajar 'menyuap' anggota polis kalau ada masalah kecil-kecil. 'Hulur-menghulur' menjadi satu budaya untuk menyelesaikan masalah dengan polis. Kalau kereta anda kerosakan di jalanraya kos khidmat kereta tarik (tow truck) melebihi RM200, untuk tarik kereta itu ke garaj. Si penarik kata: "mesti ada perkiraan di pihak tertentu di balai..!!." Inilah sebabnya kita tidak boleh menarik sendiri "kerana tidak ada permit khas."

Penderitaan anggota polis berpangkat rendah harus memalukan orang Melayu. Bayangkan perasaan mereka melihat betapa mewahnya pemimpin negara yang mereka lindungi setiap masa? Interaksi di antara polis dan rakyat jelata melalui pemimpin Barisan Alternatif perlu diperbetulkan kerana inilah jurusan yang paling lemah sekali dalam proses rakyat mahu mengganyang Mahathir. Rakyat mesti ingat kita berperang dengan Mahathir Mohammad dan kepimpinannya. Orang awam mudah menuduh pegawai polis korup, tetapi berapa ramaikah pegawai polis yang memilikki kereta mewah seperti 'BMW' seperti yang digunakan oleh pegawai JPJ ataupun pemimpin Pemuda UMNO? Berapa ramaikah orang kita yang sedar bahawa gaji bulanan seorang CPO (Ketua Polis Negeri) adalah lebih tinggi daripada gaji bulanan seorang menteri besar tetapi bayangkan bagaimana seorang Menteri Besar mampu melarikan wang sekitar 2.4 juta ringgit ke luar negara?

Saya dapat menghidu kemarahan rakyat marhaen selepas episod Jalan Kebun. Tetapi percayalah, masih ramai pegawai polis yang lebih berpihak kepada rakyat marhaen. Masih ramai pegawai polis di Bukit Aman yang berpangkat tinggi dan berpendidikan baik-baik yang masih memakai Proton Saga dan Proton Wira sebagai kereta peribadi mereka. Golongan ini enggan terbabit dengan rasuah sehinggakan sanggup tidak dinaikkan pangkat kerana ketaqwaan dan kesedaran terhadap keadaan bangsa yang dihimpit oleh diktator tua.

Aidilfitri baru sahaja menghembuskan bayunya. Takbir yang berulang masih lagi bergema. Rakyat marhaen akan terus keliru dengan segala tipu helah, sandiwara dan propaganda yang disogokkan. Terpulanglah kepada semua warga muda negara ini memahami keadaan sebenarnya dan bertahan dengan penuh ketaqwaan untuk menyelamatkan negara daripada terus ditekan dan dihina oleh satu kumpulan bajingan yang berpusat di Putrajaya, yang bukan kepalang bahayanya.

-marhaintua-
28.12.2000


Status: 302 Found Location: /bin/error?error=Your%20script%20produced%20this%20error%3A%20%3Cbr%3E%27chmod%27%20trapped%20by%20operation%20mask%20at%20%2Fm%2FKM2%2Fidx%2Ffdb.pl%20line%20129.%3Cbr%3ECompilation%20failed%20in%20require%20at%20%2Fm%2FKM2%2Fidx%2Ffz.cgi%20line%20340.%3Cbr%3ECompilation%20failed%20in%20require%20at%20forum.cgi%20line%2020. URI: /bin/error?error=Your%20script%20produced%20this%20error%3A%20%3Cbr%3E%27chmod%27%20trapped%20by%20operation%20mask%20at%20%2Fm%2FKM2%2Fidx%2Ffdb.pl%20line%20129.%3Cbr%3ECompilation%20failed%20in%20require%20at%20%2Fm%2FKM2%2Fidx%2Ffz.cgi%20line%20340.%3Cbr%3ECompilation%20failed%20in%20require%20at%20forum.cgi%20line%2020. Content-type: text/html