Laman Webantu KM2A1: 3548 File Size: 5.4 Kb * |
Istilah 'Gugur' dalam Bernama By Kapal Berita 7/1/2001 10:49 pm Sun |
Saya mengepilkan rencana Bernama ini untuk menunjukkan bagaimana
media menggunakan perkataan 'Gugur' itu untuk mengelirukan pembaca.
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya
Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) bersetuju untuk menggugurkan
tuntutannya berhubung tujuh perkara yang menyentuh kedudukan dan hak
serta keistimewaan kaum bumiputera. Pengumuman itu dibuat dalam satu kenyataan bersama oleh Ketua Pemuda
Umno Datuk Hishammuddin Hussein dan Pengerusi Jawatankuasa Suqiu Quek
Suan Hiong selepas satu mesyuarat kedua-dua pihak di sini hari ini.
"Pemuda Umno dan Jawatankuasa Suqiu bersetuju tujuh perkara tersebut
diketepikan memandangkan ketegangan etnik yang wujud.
Hak, kedudukan dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera mana-mana
negeri Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di dalam peruntukan
perlembagaan Persekutuan 153 dan peruntukan lain yang berkaitan, tidak
dipersoalkan," kata Hishammuddin ketika membacakan kenyataan itu pada
sidang berita selepas mesyuarat berkenaan.
Quek turut hadir pada sidang berita itu.
Beliau berkata, tujuh perkara dalam rayuan yang dikenal pasti menyentuh kedudukan dan hak keistimewaan kaum bumiputera itu adalah:
Dengan Quek berada di sebelahnya, Hishammuddin berkata mereka beriltizam untuk membincangkan 76 rayuan yang lain dan merealisasikan perkara-perkara yang diterima oleh kedua-dua pihak. Katanya, kedua-dua pihak juga melahirkan rasa kesal terhadap reaksi yang
tidak diingini di kalangan masyarakat Melayu dan Cina yang berpunca
daripada tujuh perkara serta insiden-insiden berikutnya.
Beliau berkata Pemuda Umno dan Jawatankuasa Suqiu menghargai keamanan,
keharmonian, kerjasama dan sikap menghormati sesama sendiri yang
diamalkan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan
budaya. "Kedua-dua pihak juga beriltizam untuk terus mempertahan dan
memperkukuhkan nilai-nilai murni tersebut," kata Hishamuddin.
Pemuda Umno turut diwakili oleh naib ketuanya Datuk Abdul Aziz Sheikh
Fadzir, Penolong Setiausaha Pemuda Zulkifli Alwi dan beberapa pemimpin
lain pada mesyuarat hampir sejam itu. Pemimpin kanan Jawatankuasa Suqiu yang menghadiri mesyuarat itu pula
termasuk Timbalan Pengerusi Puan Chew Saw Eng, Ketua Pentadbiran Jiao
Zong Puan Yao Li Fang dan Ketua Pentadbiran Suqiu Wong Chin Huat.
Hishammuddin berkata Jawatankuasa Suqiu mengulangi bahawa 83 rayuan
tersebut dibuat atas dasar kepentingan perpaduan dan kemajuan negara dan
komited sepenuhnya untuk membentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu
padu. Beliau berkata, ia juga bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri Datuk
Seri Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi supaya sebarang isu yang boleh menyebabkan
ketegangan kaum perlu dihentikan segera.
Selain itu, kedua-duanya mahu mana-mana kumpulan yang telah membuat
kenyataan sensitif sehingga boleh menimbulkan kemarahan atau keresahan
kaum dilarang daripada mengulangi kenyataan itu dengan serta-merta.
Beliau berkata, Jawatankuasa Suqiu mengulangi bahawa 83 perkara rayuan
itu hendaklah dipandang dari perspektif yang betul dan rayuannya itu
merangkumi keprihatinannya dalam pelbagai aspek.
Hishammuddin berkata jawatankuasa itu menekankan bahawa selama ini ia
tidak mempersoalkan atau mencabar hak serta kedudukan istimewa orang
Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Selepas membacakan kenyataan bersama itu, Hishammuddin yang juga Menteri
Belia dan Sukan berkata, Pemuda Umno telah menunaikan tanggungjawabnya
dan kini menyerahkan kepada pucuk pimpinan negara untuk meneruskan usaha
itu. Ketika ditanya bilakah perbincangan mengenai 76 perkara lagi akan
diadakan, beliau berkata : "Berilah kami sedikit masa untuk rehat
selepas bekerja keras selama tiga minggu." Quek berkata kedua-dua pihak
memulakan usaha untuk menyelesaikan perkara itu sejak 24 Dis lepas dan
kini telah mencapai keputusan yang diharap dapat memuaskan hati pihak
yang terbabit. "Kenyataan bersama ini menjadi perkara yang baik kepada semua rakayt
Malaysia," katanya. Quek berkata beliau berharap Pemuda Umno dan Jawatankuasa Suqiu akan
bekerja rapat untuk kebaikan semua. -- BERNAMA |